Kamus Kata Bahasa Melayu Malaysia – Bahasa Indonesia disusun bertujuan untuk memudahkan komunikasi antara penutur bahasa Melayu (Malaysia) dengan penutur bahasa Melayu (Indonesia). Sejak kemerdekaan Indonesia dan Malaysia, bahasa Melayu di kedua-dua negara berkembangan dengan acuan dan keperluan masing-masing. Untuk saling faham-memahami komunikasi antara kedua-dua belah pihak, para penutur mesti mempunyai pengetahuan bahawa terdapat perbezaan dalam kedua-dua bahasa dari segi pilihan kata, bunyi kata dan makna kata.
Bahasa Melayu (Malaysia) masih kukuh unsur kemelayuannya walaupun dilanda arus pemodenan bahasa. Walau bagaimanapun, bahasa Indonesia yang asalnya ialah bahasa Melayu yang sama seperti bahasa Melayu Malaysia semakin diresapi kata-kata daripada bahasa lain yang ada di Indonesia sendiri terutamanya bahasa Jawa (yang paling ramai penutur aslinya).
Selain kata serapan daripada bahasa Belanda, banyak kata bahasa Inggeris diindonesiakan menyebabkan banyak kata Bahasa Melayu yang ada dalam Bahasa Indonesia semakin terpinggir dan dilupakan. Variasi/dialek geografis bahasa Melayu juga mewujudkan satu kumpulan kata yang sama tetapi berbeza maknanya dalam kedua-dua Bahasa tersebut sehingga menimbulkan salah faham yang serius.
Kamus Kata: Bahasa Melayu Malaysia – Bahasa Indonesia disusun sebagai panduan untuk orang-orang yang mahu berkomunikasi dengan baik dan lancar. Kamus ini diusahakan supaya dapat memberitahu para pengguna bahasa di Malaysia dan Indonesia bahawa terdapat perbezaan yang mesti mereka ketahui. Perbezaan itu diterangkan secara takrifan dan padanan kata supaya apa-apa yang berbeza dalam kedua-dua bahasa tersebut dapat diketahui untuk mengelakkan banyak idea yang tidak terungkap, banyak keinginan yang tidak tercapai dan banyak pula niat yang disalahertikan. Bagi memudahkan pembaca memahaminya, buku ini disusun dalam tiga bahagian yang dinamakan:
Kategori 1: Lain Padang, Lain Belalangnya (Bentuk Kata Berbeza tetapi Makna Sama)
Kategori 2: Sama tetapi Tidak Serupa (Bentuk Bunyi Kata Berbeza Sedikit (Variasi Bunyi) tetapi Makna Sama)
Kategori 3: Yang Tersurat dan Yang Tersirat (Bentuk Kata Sama tetapi Makna Berbeza)
Kamus Kata: Bahasa Melayu Malaysia – Bahasa Indonesia sesuai untuk sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui perbezaan makna kata yang ada antara kedua-dua bahasa. Sasaran utama ialah para pelajar Indonesia yang sedang belajar di Malaysia dan para pelajar Malaysia yang sedang belajar di Indonesia yang perlu menyesuaikan diri dengan bahasa setempat secepat mungkin bagi memudahkan kehidupan sosial dan akademik mereka. Selain itu, ianya juga sesuai untuk para majikan di Malaysia yang mempunyai pekerja dari Indonesia dan sebaliknya supaya dapat mewujudkan satu komunikasi yang lancar dan bebas daripada salah faham.
Penerbitan kamus ini diharapkan dapat memberi sumbangan ke arah mewujudkan hubungan yang lebih erat antara Malaysia dengan Indonesia dalam aspek komunikasi dalam bidang sosial, ekonomi, mahupun politik. Dalam masa yang sama dapat pula memberi ilmu kepada pengguna bahasa Melayu di negara-negara lain tentang persamaan dan perbezaan bahasa Melayu Malaysia dengan bahasa Indonesia. Kesimpulannya bebas daripada salah faham dalam komunikasi bahasa ialah sasaran utama Kamus Kata: Bahasa Melayu Malaysia – Bahasa Indonesia.
Reviews
There are no reviews yet