Pedagang Melayu di Sulawesi Selatan: Identiti dan Kuasa membincangkan sejarah masyarakat pedagang Melayu yang telah berhijrah dan menetap di bandar Pelabuhan Makassar dan bermastautin di beberapa wilayah Sulawesi Selatan sejak tahun 1600. Sejarah awal petempatan masyarakat Melayu di Sulawesi Selatan bermula setelah Melaka ditakluki oleh Portugis dan sebahagian para pedagang Melayu telah berhijrah ke beberapa kerajaan tempatan, seperti Siang, Sandrabone, Gowa, dan Tanete. Kerajaan tempatan di Sulawesi Selatan ini menerima kehadiran mereka dan membenarkan mereka menetap di sini.
Geografi Pulau Sulawesi yang berada dalam kedudukan yang strategik dalam jaringan pelayaran dan perdagangan kepulauan rempah, terutamanya pada abad ke-16 hingga abad ke-17, telah menjadikannya tempat persinggahan utama bagi para pedagang yang belayar di antara pelabuhan Melaka dengan Kepulauan Maluku. Sebuah daripada bandar pelabuhan utama di Pulau Sulawesi, iaitu bandar pelabuhan Makassar yang terletak di Sulawesi Selatan merupakan bandar persinggahan utama para pedagang ke kepulauan Maluku, Ternate dan Tidore dalam usaha mereka mendapatkan sumber rempah-ratus yang amat berharga.
Jaringan perdagangan ini disokong oleh sistem keteraturan angin monsun yang membuatkan wilayah di pesisir pantai Semenanjung Sulawesi Selatan serta Pelabuhan Makassar dikunjungi oleh para pedagang dan saudagar dari Tanah Melayu untuk menuju ke Kepulauan Rempah.
Dalam laporan Portugis pada tahun 1545, dicatatkan bahawa terdapat ramai orang Melayu telah ditemui dan menetap di wilayah pesisir barat daya pantai Selat Makassar, terutama di wilayah di bawah kekuasaan kerajaan Siang yang terletak di Sulawesi Selatan. Setelah kerajaan Siang dan beberapa kerajaan kecil di persekitarannya ditakluki oleh kerajaan Gowa semasa pemerintahan Raja Gowa ke-10, iaitu Karaeng Tunipalangga Ulaweng (1546-1565), sebahagian besar saudagar dan pedagang, termasuk para ulama dan pembesar Melayu, kemudiannya turut berpindah ke Gowa.
Hal ini seterusnya memberikan impak yang besar kepada sejarah sosial dan ekonomi serta landskap politik di wilayah ini. Masyarakat Melayu yang berhijrah ini masih meneruskan kemahirannya sebagai pedagang dan sebahagian daripada mereka menjadi pegawai pentadbir, seperti syahbandar, guru, jurutulis dan pendakwah serta Pendakwa Raya di mahkamah pentadbiran kolonial Belanda.
Hubungan ini terus berlangsung semasa zaman VOC sehingga pemerintahan kolonial Belanda. Komuniti Melayu yang menetap di wilayah ini menjadi sebahagian daripada unsur penting kepada perubahan landskap sosioekonomi dan politik tempatan serta mempunyai impak yang besar dari segi pentadbiran negeri dan kerajaan tempatan.
Penulisan Pedagang Melayu di Sulawesi Selatan: Identiti dan Kuasa menggunakan sepenuhnya sumber arkib Belanda dan tempatan serta berjaya membongkar sejarah masyarakat Melayu di wilayah ini. Walaupun bangsawan Sulawesi Selatan sangat menjaga kemurnian keturunannya, tetapi hubungan keakraban yang terjalin lama telah mewujudkan kelompok Melayu-Bugis-Makassar. Bangsawan campuran Melayu-Bugis-Makassar ini juga kemudian telah memainkan peranan penting sebagai pemerintah dan elit baharu serta menguasai jawatan dalam kerajaan yang sebelum ini dikuasai oleh Belanda serta berjaya menyerap ke dalam sistem pentadbiran kolonial Belanda.
Oleh itu, kuasa dan identiti mereka telah berubah semasa pentadbiran Belanda yang mengutamakan pendidikan moden sehingga menjadikan mereka elit baharu dalam sejarah Sulawesi Selatan.
Reviews
There are no reviews yet