Out of stock

Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi

HUSSAIN OTHMAN adalah Profesor Madya di University Tun Hussein Onn Malaysia.

Penerbit UTHM (Cetakan Pertama, 2011)
221 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM37.00

Out of stock

Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi adalah percubaan untuk menjawab dakwaan sesetengah sarjana dari Barat bahawa orang Melayu dikatakan tidak melihat sejarah secara saintifik dan objektif, ketepatan tarikh dalam menggambarkan fakta sejarah tidak diambil perhatian, kronologi masa dibelakangkan demi untuk memenuhi kehendak penceritaan kisah sejarah sebagai hiburan bagi melupakan kesusahan hidup seharian. Unsur anakronisme tersebar di sana sini di dalam teks sehinggakan menimbulkan kekeliruan dalam mengenalpasti fakta sejarah yang sebenar. Akhirnya penulisan sejarah bangsa Melayu diletakkan setaraf dengan penulisan cerita-cerita rakyat dalam kebanyakan masyarakat purba dan tradisional dunia seperti Jack and the Beanstalk dan Cinderella. Inilah antara tuduhan liar yang sering dilemparkan oleh para pengkaji dan sarjana penjajah Barat.

Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi ditulis bagi menjawab tuduhan-tuduhan tidak berasas yang telah lama berakar umbi dalam pemikiran pengkaji dan pembaca teks-teks klasik sejarah orang Melayu. Perbincangan pada bahagian awal buku ini menyentuh beberapa perkara penting berkaitan perspektif pengkaji dan sarjana penjajah Barat terhadap khazanah penulisan sejarah orang Melayu. Rumusan daripada perbincangan ini kemudiannya membawa pembaca untuk melihat secara mendalam dan teliti terhadap pemikiran sejarah orang Melayu daripada perspektif yang sebenarnya. Beberapa hakikat disingkap untuk memberikan perspektif baharu dan tepat berkaitan konsep pensejarahan orang Melayu.

Ketinggian tahap pemikiran bangsa Melayu adalah berakar umbi daripada zaman awal kehidupan mereka. Hal ini dibincangkan di dalam bab satu yang menyentuh berkaitan susur galur kelahiran dan perkembangan pemikiran sejarah bangsa Melayu sejak zaman purbakala, zaman pra-sejarah. Beberapa penemuan arkeologi dijadikan sandaran untuk menjelaskan bahawa sememangnya sejak dahulu kala orang Melayu mempunyai nilai berfikir yang tinggi. Kedatangan agama besar dunia dari benua India iaitu Hindu dan Buddha bukan sahaja mengubah kepercayaan bangsa Melayu khususnya dalam kalangan raja dan pembesar bahkan juga mengubah rupa bentuk pemikiran sejarah mereka kepada tahap yang lebih tinggi dengan memberikan rupa luaran yang cukup megah.

Banyak khazanah dari tamadun India ini menjadi bahan rujukan kepada golongan sarjana bangsa Melayu pada zaman Hindu-Buddha. Namun begitu tidak banyak daripada khazanah tersebut yang dapat melepasi ujian masa dan dapat sampai kepada generasi hari ini dalam bentuknya yang asli khususnya dari segi bahasa yang digunakan. Teks klasik India Ramayana dapat melepasi ujian masa dan dapat sampai kepada generasi seterusnya. Namun begitu rupa bentuknya berubah dan ditulis di dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi dan diberikan tajuk berunsur Islam iaitu Hikayat Seri Rama. Di sinilah akhirnya ditemui hakikat bahawa kedatangan Islam merubah rupa bentuk pemikiran sejarah bangsa Melayu bukan sahaja dari segi luaran bahkan juga dari segi dalaman. Susur galur pemikiran sejarah bangsa Melayu menemui titik mula kegemilangannya apabila mereka memeluk Islam dan menerima budaya ilmu Islam yang unggul sifatnya. Kecemerlangan berfikir bukan sahaja dikuasai oleh segelintir manusia seperti mana yang berlaku dalam zaman Hindu-Buddha bahkan dikongsi bersama oleh masyarakat umum dalam jumlah yang besar.

Sebagai membuktikan bahawa bangsa Melayu mempunyai tahap pemikiran sejarah yang tinggi, bab kedua Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi mengajak para pembaca untuk mengenalpasti beberapa teks penting sejarah Melayu yang terkandung di dalamnya khazanah pemikiran bangsa. Usaha sebahagian sarjana berjaya menempatkan beberapa teks sejarah Melayu pada kedudukan yang tinggi dalam warisan pemikiran bangsa. Terdapat beberapa teks sejarah orang Melayu yang diterima sebagai Karya-karya Agung atau the Great Books dalam bidang kesusasteraan dan intelektual Melayu. Antaranya ialah Hikayat Raja Pasai, Sejarah Melayu dan Hikayat Merong Mahawangsa. Ketiga-tiga teks ini mempunyai keistimewaan dan kepentingan yang tersendiri.

Teks Hikayat Raja Pasai diterima oleh kebanyakan sarjana dan pengkaji sebagai teks sejarah Melayu tertua yang pernah ditemui. Teks Sejarah Melayu pula menjadi antara teks yang paling banyak dan tak habis-habis dikaji oleh para penyelidik sejak ratusan tahun yang lalu. Teks Hikayat Merong Mahawangsa pula menjadi teks yang paling teruk dikritik disebabkan unsur-unsur mitos, legenda dan khayalan yang terkandung di dalamnya. Dengan gabungan ketiga-tiga latar belakang ini maka dirasakan amat mencukupi bagi penulis memilih ketiga-tiga teks ini sebagai asas perbincangan.

Adalah diyakini bahawa isi kandungan yang dipilih daripada ketigatiga teks ini mewakili sebahagian besar pemikiran sejarah unik bangsa Melayu yang terkandung di dalam teks-teks Melayu yang lain dengan mengambilkira ciri-ciri pensejarahan umum yang dikenalpasti. Hal ini dibuktikan oleh perbincangan di dalam bab ketiga yang secara khususnya ditumpukan kepada ciri-ciri pensejarahan bangsa Melayu. Penelitian para sarjana dan pengkaji membuktikan bahawa terdapat tidak kurang daripada sepuluh ciri utama pensejarahan Melayu yang terkandung di dalam mana-mana teks klasik sejarah Melayu. Setiap satu daripada sepuluh ciri ini dianalisis di dalam bab tiga dan dibandingkan dengan isi kandungan ketiga-tiga teks yang dipilih. Hasilnya menakjubkan, kesemua ciri ini terkandung di dalam teks-teks yang dipilih. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa teks-teks ini mewakili sebahagian besar pemikiran sejarah bangsa Melayu.

Kewujudan ciri-ciri pensejarahan yang unik ini tidak dapat menjelaskan sepenuhnya ketinggian tahap pemikiran sejarah bangsa Melayu kecuali analisis dan pembedahan lebih teliti dibuat. Langkah pertama ke arah proses pembedahan ini ialah mengenalpasti beberapa asas penting yang dapat menjelaskan perspektif pensejarahan sebenar dan ketinggian tahap pemikiran bangsa Melayu. Inilah perbincangan utama di dalam bab keempat buku ini. Untuk itu diperjelaskan kefahaman bangsa Melayu yang unik berkaitan istilah hikayat, sulalat dan sejarah. Ketiga-tiga istilah ini tidak mempunyai perbezaan yang besar kepada bangsa Melayu dalam memberikan makna yang sebenar kepada sejarah.

Selain daripada itu diperjelaskan konsep sebenar mitos, legenda dan khayalan yang dimasukkan oleh para pengarang Melayu di dalam teks-teks sejarah karangan mereka. Perbincangan ini amat penting kerana antara tujuan utama buku ini adalah untuk menyampaikan mesej kepada khalayak pembaca bahawa kewujudan unsur-unsur mitos, legenda dan khayalan dalam karya Melayu bukanlah menunjukkan bahawa tahap pemikiran orang Melayu rendah. Sebaliknya ia menggambarkan tahap pemikiran tinggi yang diwarisi daripada tamadun besar dunia.

Weight0.356 kg
Dimensions22.5 × 15 × 1.4 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.