Memoir Rashidah Ismail: Pendeta Za’ba dan Kisah Silam mengungkap suara hati wanita yang terjun ke dunia kewartawanan dan rencah kehidupannya serta langgam dunia pemberitaan dan kewartawanan cuba dikongsi oleh Rashidah untuk generasi ‘selepas’ kelahirannya. Kehadiran memoir yang digarap dalam 10 bahagian ini menjadi lengkap kerana pengarangnya turut memancang-mancang cerita sehingga menjadi 73 tema yang berlainan. Keperitan zaman Jepun turut mengisi slot memoir ini. Pembaca akan dapat mengenali pengarang setelah selesai mengikuti kisahnya bersama Pak Long dan Mak Long, kenangan zaman Jepun, kehidupan pada zaman kanak-kanak dan zaman remaja.
Rentetan gelombang kehidupan ketika ‘zaman ubi kayu’ sekaligus turut menjadi bayangan ngeri oleh Rashidah. Dalam bahagian ini pengarang memberi pendedahan kepada pembaca mengenai kegetiran hidup dan hubungan kekeluargaannya ketika itu. Turut diceritakan tentang kehidupan Pendeta Za’ba dan keluarganya dari kaca mata pengarang yang jua mesra menyapa Za’ba sebagai Pak Long. Menerusi bahagian ini juga pembaca boleh meneladani tentang kegigihan Pak Long Za’ba yang dianggap garang, namun disulam pula dengan sikapnya yang pandai bergurau oleh Rashidah dalam mendidik anak-anaknya sehingga berjaya dalam pelajaran. Pengarang merakamkan kecintaannya yang mendalam terhadap keluarga Pendeta Za’ba.
Turut menghiasi jalur cerita kepengarangan Rashidah adalah tentang rencah keindahan catatannya bersama-sama saudara-maranya. Amat manis lagi Rashidah turut menyulam cerita dengan memaparkan kehidupan dunia orang surat khabar yang sebahagiannya telah mendarah daging di dalam jiwanya. Rashidah juga beranggapan bahawa bekerja sebagai wartawan di surat khabar adalah kerja yang paling mencabar dan susah. Namun pekerjaan itulah yang dilakukannya selama hampir 35 tahun.
Berkat kecekalan hati dan berbekalkan semangat juang yang tinggi dengan disulam oleh azam yang kuat beliau berjaya mengharungi pelbagai dugaan ketika menelusuri bidang yang diminatinya itu. Tugasannya yang tidak menentu waktu dan ruang juga banyak membawa dan menemukan beliau dengan tokoh penulis/kewartawanan tersohor seperti Yusof Ishak, Abd. Wahab Muhammad, Mustafa Suhaimi, Hashim Hassan, A. Samad Ismail, Osman Wok, Said Zahari dan lain-lain, Pengalaman di dunia kewartawanan banyak mengajar Rashidah untuk hidup berdikari yang tidak ada kena-mengena dengan dunia wartawan.











Reviews
There are no reviews yet