Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi

ZURINAH HASSAN (b. 1949 -) merupakan salah seorang penyair dan tokoh Sasterawan Negara dari Malaysia. Beliau dilahirkan di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah, dan telah menghasilkan sebanyak 19 buku antologi sajak, antologi puisi, kajian sastera, autobiografi, memoir, antologi cerpen dan novel. Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Kanan Penerangan di Kementerian Penerangan Malaysia. Beliau bersara daripada tugasnya sebagai Ketua Cawangan Pengurusan Maklumat di Jabatan Perkhidmatan Penerangan untuk menumpukan sepenuh masanya kepada bidang penulisan.

Penerbit UKM (Cetakan ketiga, 2015)
240 halaman, termasuk Indeks dan Bibliografi

RM35.00

In stock

Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi dihasilkan sewaktu penulis menjadi karyawan tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Setelah sekian lama berkarya, Zurinah diberi peluang menumpahkan seluruh pengalaman hidupnya dalam memoir ini. Beliau telah berkarya selama lebih empat dekad iaitu sejak berusia dua belas tahun. Apa yang telah diperolehnya? Apa sumbangan beliau?

Kepada pengarang dari utara ini, pencapaiannya tidak seberapa. Terlalu banyak masa yang dibiarkan tidak terisi. Ada banyak perkara yang dikesali. Banyak pula kesilapan yang telah dilakukannya. Selama ini jiwanya memberontak kerana melihat lelaki lebih beruntung daripada perempuan. Kepada Zurinah, sasterawan wanita sering terbantut perkembangannya. Selepas waktu pejabat, wanita tersepit di celah beban tugas sebagai isteri, suri rumah dan ibu. Kebanyakkan suami pantang melihat rumah berselerak dan pantang pula untuk membantu.

Maka Zurinah memilih bersara awal bagi menumpukan perhatian kepada minatnya-menulis, bersajak, berpuisi. Sejak mula berkarya, Zurinah cuba membawa persoalan universal dalam karyanya. Namun, Hadiah Sastera 1984 yang dimenanginya dikecam hebat oleh pengkritik. Karyanya dikatakan basi dan cliché. Ini membawa kepada pembubaran panel hakim dan Hadiah Sastera diberhentikan selepas itu. Pengalaman itu kepada Zurinah amat pahit tetapi beliau meneruskan perjalanan hidupnya sebagai penulis dan penyair dan lebih kuat berkarya.

Beliau memulakan memoirnya, Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi dengan membicarakan tema puisi atau persoalan yang digarap sejak beliau mula menulis hingga masa kini. Secara sepintas lalu ia boleh dirumuskan dari tahun 1967 hingga kira-kira tahun 1972, Zurinah cenderung kepada aspek kemasyarakatan seperti kehidupan petani dan nelayan. Dari 1972 hingga 1980 adalah peringkat mencari erti kewujudan diri. Pada peringkat ini sajak-sajak Zurinah disifatkan sebagai cuba berfalsafah tentang kehidupan. Pada tahun-tahun 80-an terdapat lebih banyak puisi yang lahir dari persoalan kekeluargaan dan pandangan hidup beliau sebagai isteri dan ibu. Pada tahun-tahun 90-an, beliau lebih diganggu oleh persoalan masa depan bangsa Melayu di negara yang semakin maju.

Beliau turut memberikan serba sedikit suasana atau situasi yang dapat mencetuskan pemikiran dan membenihkan puisi. Zurinah turut menceritakan tentang bagaimana beliau atau seseorang penyair itu mendapat ilham. Puisi telah disuarakan dengan pelbagai gaya dan cara, dan beliau telah memberikan beberapa cara menyuarakan puisi dalam Bab Keempat. Pada Zurinah, penggunaan lambang atau metafora adalah satu aspek yang penting dalam sajak. Oleh itu, beliau memperuntukkan sebahagian yang agak besar dari memoir ini untuk memperkatakan penggunaan lambang dan metafora dari unsur-unsur alam.

Begitulah liku-liku perjalanan dan jejak kembara yang telah beliau lalui sebagai seorang penulis wanita. Sesungguhnya amat banyak yang boleh diperkatakan tentang menjadi sasterawan dan menjadi wanita. Daripada beberapa segi, ini bukanlah satu kombinasi hidup yang mudah atau sentiasa harmonis. Semasa membesar di kampung, Zurinah mula gemar membaca, mendengar radio dan menulis. Kegemaran beliau ini tidak digemari oleh orang-orang tua yang lebih suka melihat anak perempuan memasak, menjahit atau menyulam. Tanpa beliau sendiri sedar, kebiasaan beliau duduk menulis atau berfikir sambil memperhatikan alam telah membimbangkan ibu dan nenek. Seorang gadis yang sering termenung mungkin sudah dirasuki makhluk halus.

Kini sudah lebih tiga puluh tahun Zurinah menceburkan diri di arena penulisan. Sejak itu banyaklah isu yang timbul di sekitar pembabitan sasterawan wanita sepertimana yang dapat dilihat pada akhbar-akhbar dan majalah sastera. Isu yang hangat diperkatakan sedikit masa dahulu ialah penulis wanita tidak bersungguh-sungguh dan mereka biasanya hilang setelah berumah tangga. Hal ini memang ada kebenarannya, kerana Zurinah melihat beberapa nama penulis wanita lewat tahun-tahun 60-an seumpama Maimoonah Haji Omar, Rahimah M.Y., Maznah Ali, Dina M, Maimon Rahman, Halimah Haji Ahmad dan beberapa nama tidak lagi didendang dan didengar karya-karya mereka.

Weight0.369 kg
Dimensions22.6 × 15 × 1.3 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.