Memperkasa B40: Isu dan Strategi Sains Sosial mengandungi himpunan 10 bab hasil kajian penyelidikan pemerkasaan B40 secara 360° yang membincangkan isu dan strategi pembangunan golongan isi rumah B40. Secara definisi, golongan B40 merujuk kepada golongan 40 peratus terbawah dalam agihan pendapatan, atau dianggap sebagai golongan berpendapatan rendah, berbanding golongan M40 (pertengahan 40 peratus) dan T20 (atas 20 peratus).
Buku ini terbahagi kepada dua bahagian perbincangan iaitu Bahagian 1 mengandungi bab-bab yang membincangkan isu dan permasalahan pembangunan golongan B40 manakala Bahagian 2 mengandungi bab-bab yang menganjurkan strategi dan pelaksanaan pembangunan golongan B40. Buku ini boleh menjadi naskah utama serta panduan untuk pelbagai pihak untuk melihat ontologi, isu dan strategi serta halatuju pengupayaan golongan B40 supaya meningkat menjadi golongan kelas menengah M40. Peralihan golongan B40 menjadi isi rumah M40 perlu direalisasikan menjelang tahun 2030 dan diharapkan nisbah golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus ke bawah ini dapat dikurang seperti nisbah berikut iaitu B20:M60:T20 demi Malaysia menjadi negara maju.
Jika nisbah ini tercapai, maka bermula Malaysia baharu menjadi 20 negara termaju menurut UNDP. Sasaran pembaca adalah penyelidik sains sosial dan mereka yang terlibat di dalam pemerkasaan golongan B40 di Malaysia pada masa kini.
Namun begitu semua yang dicita-citakan sukar tercapai jika pengupayaan golongan B40 hanya mengharapkan pihak kerajaan semata-mata. Pihak swasta, NGO, pihak awam dan Universiti perlu bertindak dalam konsep quadruple helix sebagai pendekatan inovasi untuk merancang, membangun dan menyelia pembangunan golongan B40. Ada baiknya seperti mana strategi pembangunan B40 yang telah dibincangkan, pengupayaan golongan B40 perlu diberi perhatian supaya golongan ini dapat menjauhkan diri dari fenomena mempan pembangunan.
Sehubungan itu, untuk mengeluarkan golongan B40 daripada fenomena masyarakat mudah terancam (mempan) pembasmian kemiskinan mesti bersifat multi-disiplin seperti membasmi kemiskinan harta, kemiskinan minda, kemiskinan peluang serta membasmi kemiskinan persekitaran sosial dan fizikal.
Memperkasa B40: Isu dan Strategi Sains Sosial boleh menjadi naskhah utama untuk pelbagai pihak melihat ontologi, isu dan strategi pembangunan untuk pengupayaan golongan B40.
Reviews
There are no reviews yet