Za’ba, dalam Mencapai Keluhuran Budi menghujahkan bahawa kebahagiaan, ketinggian dan kecemerlangan manusia perlu digarap melalui agama. Agama dapat membentuk, mendidik dan membesarkan manusia, sesuai dengan keadaan pada hari ini dan akan datang. Maka itu, 10 rencana Za’ba yang dikumpulkan dalam buku ini merupakan karya penting dalam meningkatkan nasib bangsa Melayu di tanah airnya sendiri, di dunia dan juga akhirat. Apabila orang Barat menolak agama, dengan sangkaan bahawa agama adalah suatu kepercayaan karut dan menentang kaedah dan penemuan sains, maka ramailah orang Islam yang mengikut pendapat tersebut secara melulu. Begitu juga halnya apabila orang Barat memperkenalkan fahaman sekular, ramai orang Islam yang terikut-ikut dengan fahaman tersebut tanpa mengkaji buruk baiknya.
Za’ba, amat peka dan menyedari bahawa masa depan bangsa Melayu akan musnah jika orang Melayu terus mengikut aliran Barat yang tidak menentu arahnya. Za’ba, tanpa menolak kebaikan yang didatangkan dari Barat, telah mengkritik fikiran Barat yang merugikan. Za’ba adalah di antara orang Melayu terawal yang cuba mempertahankan bahawa agama Islam itu amat penting bagi manusia. Tidak semua benda di dunia ini yang mampu dan dapat diukur melalui akal dan pancaindera yang menjadi asas sekularisme. Perkara yang tinggi-tinggi dan tidak dapat dijejaki akal manusia biasa akan hanya dapat dikesan oleh manusia pilihan dan bertaraf tinggi dikenali dengan nabi atau rasul, yang membentuk dan menyebarkan ajaran kepada manusia biasa.
Za’ba, secara jelas, menghujahkan bahawa kebahagiaan, ketinggian dan kecemerlangan manusia perlu digarap melalui agama. Agama dapat membentuk, mendidik dan membesarkan manusia sesuai dengan kehidupan-kehidupan lain di dunia ini, bagi menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan mereka. Hujah-hujah Za’ba, walaupun telah diucapkan lima puluh tahun dahulu, masih ampuh dan sesuai dengan keadaan pada hari ini dan akan datang. Maka itu, sepuluh rencana Za’ba yang dikumpulkan dalam Mencapai Keluhuran Budi merupakan karya-karya penting dalam meningkatkan nasib bangsa Melayu di tanahairnya sendiri, di dunia dan juga di akhirat. Kebanyakan rencana ini pernah disiarkan dalam majalah Qalam. Sebagai hasil penulisan seorang pendeta bahasa Melayu, maka bahasa dan gaya bahasa Za’ba sengaja dikekalkan. Tujuannya untuk menjadikan keseluruhan karya ini pengganti dirinya dalam usaha membangunkan bangsanya. Semoga segala usaha baktinya dibalas Allah dengan kebaikan.
Reviews
There are no reviews yet