Mohammad Natsir: Pendidik Ummah merupakan biografi seorang tokoh ulama, politikus, dan pejuang kemerdekaan Indonesia. Lebih dikenali dengan panggilan Bapak Natsir, beliau juga merupakan pendiri sekaligus pemimpin parti politik Masyumi, dan tokoh Islam terkemuka Indonesia. Di politik doemstik, beliau pernah menjawat sebagai menteri dan Perdana Menteri Indonesia, sedangkan di peringkat antarabangsa, beliau pernah dilantik sebagai presiden Liga Muslim se-Dunia (World Muslim Congress) dan ketua Dewan Masjid se-Dunia.
Mohammad Nautsir adalah seorang putera terulung bangsa Indonesia yang dikenali sebagai seorang negarawan, ahli politik, pendakwah, pendidik dan pemimpin umat abad ke-20. Beliau juga adalah seorang insan yang multidimensi. Sepanjang hayatnya beliau telah memberi perkhidmatan dan pengabdian yang cemerlang bukan sahaja kepada bangsa Indonesia, bahkan kepada umat Islam amnya.
Mohammad Natsir mempunyai peribadi mulia yang diakui kawan dan lawan. Beliau adalah seorang pemimpin yang istiqamah dalam mempertahankan prinsip apatah lagi yang berkaitan masalah agama dan umat. Sikap istiqamahnya terpancar dan tercermin dalam perilaku sehariannya, baik sebagai seorang pemimpin politik mahupun sebagai pemimpin umat. Sebagai seorang tokoh pembaharuan dan intelektual Muslim, Mohammad Natsir mempunyai kesedaran yang tinggi untuk memperbaiki fahaman dan pengamalan agama masyarakat Islam di Indonesia. Baginya kemajuan masyarakat Islam hanya dapat dicapai dengan memahami dan mengamalkan ajaran Islam secara murni dan tidak bercampur-aduk dengan bidaah, khurafat dan tahayul.
Dalam usaha pembaharuan pemikiran dan pengamalan Islam di Indonesia, Mohammad Natsir mempraktikkan dengan cara dakwah dan pendidikan. Beliau sentiasa telus dan berfikiran terbuka terhadap kritikan dan saranan yang datang daripada kawan dan lawan, walaupun membawa kepada polemik dan diskusi yang panjang terhadap setiap pemikiran yang dikemukakannya. Menurutnya keterbukaan adalah ibarat mutiara. Apabila tidak ada keterbukaan, maka ia tidak ubah seperti menguburkan mutiara itu. Menerusi cara ini, Mohammad Natsir berperanan sebagai perintis dalam menjana wacana intelektual yang sihat, terbuka dan demokrasi tentang Islam. Beliau tidak pernah mengecam dan mencaci, sebaliknya mengajak orang lain terlibat dalam dialog intelektual secara matang. Di sinilah letaknya keistimewaan dan kekuatan Mohammad Natsir sebagai pemikir dan tokoh pembaharuan Islam.
Semasa pemerintahan orde baru diwarnai dengan perlantikan Soeharto sebagai Presiden Indonesia, beliau tidak henti-henti menyumbangkan buah fikiran, walaupun beliau dianggap tidak sehaluan dengan pemerintah. Pada awal 1980, Mohammad Natsir bersama-sama 50 orang tokoh masyarakat dan pemimpin organisasi keagamaan, menyampaikan petisyen (dikenali dengan nama Petisyen 50) kepada pemerintah orde baru, atas kebimbangan mereka terhadap pembangunan dan demokrasi di Indonesia. Akibatnya segala aktiviti beliau dihadkan dan tidak dibenarkan berkunjung ke luar negara.
Satu perkara yang menarik mengenai sikap beliau, walaupun terjadi perbezaan pendapat antara beliau dengan pemerintah, perbezaan itu tidak membuatnya mengambil langkah yang berlawanan dengan hukum. Secara konsisten beliau mengikuti jalan yang betul, sah dan demokratik. Sebagai pembawa nurani umat dan bangsa dengan berlandaskan keyakinannya, beliau berfungsi sebagai penggerak kekuatan moral walaupun terpaksa menanggung pelbagai risiko.
Pengabdiannya kepada umat Islam telah meninggalkan lakaran indah dan mendalam dalam sejarah Islam di Indonesia. Sibghah atau celupan ajaran Ilahi yang melekat dalam keperibadiannya yang unggul ialah beliau sentiasa bersopan santun dan ini dapat dikesan oleh setiap orang. Sibghah kelslaman, ketakwaan dan keikhlasan sentiasa menghiasi dirinya dalam menunaikan tugasnya sebagai mujahid dakwah dan pendidik bangsa. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jikalau keperibadiannya menjadi simbol dan contoh bagi setiap perjuangan umat Islam di Indonesia, malah beliau dikenali sebagai “Pembawa hati nurani umat”.
Reviews
There are no reviews yet