Nilai Sastera Ketatanegaraan dan Undang-Undang dalam Kanun Syarak Kerajaan Aceh dan Bustanus Salatin membandingkan sastera undang-undang dan ketatanegaraan dalam Kanun Syarak Kerajaan Aceh dengan sastera undang-undang dan ketatanegaraan Bustanus Salatin karangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Kanun Syarak Kerajaan Aceh pada zaman Sultan Alauddin Mansur Syah berpandukan syarak Allah s.w.t. dan syariat Nabi s.a.w. dan merupakan pedoman dasar kepada syarat-syarat pemilihan pegawai kerajaan dan tata aturannya. Bahkan lebih jauh lagi kandungannya menjadi pedoman kepada kanun kerajaan Aceh yang mesti dimengerti dan diamalkan oleh seluruh rakyat dan bangsa Aceh. Kanun Syarak Kerajaan Aceh pada zaman Sultan Alauddin Mansur Syah dikarang atau ditulis pada 1270 Hijrah (Tengku di Mulek 1270 Hijrah). Pengarang naskhah ini ialah Said Abdullah ibn Ahmad ibn Ali ibn Abdul Rahman ibn Usman ibn Hasan ibn Wandi Muelek Said Laila Habib Syarif Abdullah ibn Sultan Jamalul alam, Badrul Munir Jamalullail yang berlakab Tengku di Meulek (Tengku di Mulek 1270 Hijrah).
Kanun Syarak Kerajaan Aceh pada zaman Sultan Alauddin Mansur Syah (yang memerintah mulai 1257) (Tengku di Mulek 1270 Hijrah), ialah naskhah kajian dan persoalan yang terkandung di dalamnya membincangkan tata aturan pemilihan pegawai kerajaan, bemula daripada pimpinan yang terendah sampai kepada sultan yang disertai dengan atur cara dan syaratnya. Di samping itu, ikut dibicarakan tentang sifat kepemimpinan sultan yang adil dan wasiat kepada bangsa dan rakyat Aceh.
Kanun Syarak Kerajaan Aceh mengandungi nilai sastera undang-undang dan ketatanegaraan. Nilai sastera undang-undang yang terdapat di dalamnya lebih banyak dibandingkan dengan sastera ketatanegaraan. Di samping itu dengan gaya sastera yang terdapat di dalamnya menguatkan sifatnya sebagai sebuah naskhah lama. Ini terbukti dengan gaya penulisan sastera kitab serta diiringi sastera undang-undang dan ketatanegaraan. Tafsiran sastera undang-undang dan ketatanegaraan di dalamnya boleh dijadikan bahan kajian sejarah. Dalam perbandingan sastera undang-undang dan ketatanegaraan Kanun Syarak Kerajaan Aceh dengan Bustanus Salatin didapati bahawa kedua-duanya mempunyai nilai sastera. Namun demikian, Kanun Syarak Kerajaan Aceh mengandungi lebih banyak sastera undang-undang berbanding Bustanus Salatin. Daripada perbandingan tersebut didapati kedua-dua naskhah tersebut mempunyai pengaruh dari segi gaya bahasa sastera undang-undang dan ketatanegaraan sedangkan kandungan di antara kedua-duanya berbeza. Walaupun di antara kedua-duanya dapat ditafsirkan mempunyai pengaruh dari segi nilai sastera undang-undang dan ketatanegaraan, tetapi gaya bahasa yang digunakan oleh kedua-dua naskhah lama tersebut memang berbeza.
Penulis berpandangan bahawa naskhah ini dapat memberi manfaat kepada mereka yang gemar membuat pengkajian terhadap naskhah lama, walaupun ia merupakan salinan yang dikarang pada 1270 Hijrah. Naskhah ini merupakan saduran daripada kitab Tazkirah tabakah yang telah ditulis pada masa Sultan Alauddin Johan Ali Ibrahim Mugahyat Syah memerintah pada 913 Hijrah. Penulis berpendapat dengan pengkajian naskhah ini, kita dapat mengetahui tentang sastera undang-undang dan ketatanegaraan yang menjadi acuan kedaulatan kerajaan Aceh masa silam, mula berdiri kerajaan tersebut pada tahun 913 Hijrah.
Bertitik tolak daripada ini, penulis merasakan bahawa pengkajian ini dapat memberikan faedah yang besar, baik sebagai nilai akademik mahupun praktik dalam merealisasikan nilai kandungan Kanun Syarak Kerajaan Aceh.
Diharapkan hasil kajian ini kiranya dapat memudahkan pemahaman secara sistematis dalam membandingkan sastera ketatanegaraan Kanun Syarak Kerajaan Aceh pada zaman Sultan Alauddin Mansur Syah dengan Bustanus Salatin karangan Nuruddin ar-Raniri yang masyhur itu.
Dalam Hikayat Aceh, oleh (T. Iskandar 1969), Hikajat Atjeh die Erzahlung Von Der Abkunft Und Den Jugendjahren Des Sultan Iskandar Muda Von Atjeh (Sumatra) oleh (Hans Penth 1969), Atjeh Algeneen Samanvattend Overzicht Van Land En Volk Van Atjeh En Onderhoorigheden (J . Kreeme 1923), Le Sultana D’Atjeh Autemps D’ Iskandar Muda 1607 1636 (Denys Lombard 1967), dan kajian-kajian lainnya, belum pernah membuat ulasan berkenaan kajian teks Kanun Syarak Kerajaan Aceh pada zaman Sultan Alauddin Mansur Syah serta nilai sastera undang-undang dan ketatanegaraannya.
Reviews
There are no reviews yet