Pemikiran Politik Islam dalam Sejarah Persuratan Alam Melayu memberikan fokus secara khususnya kepada buah pemikiran Islam yang berkaitan dengan politik dan pemerintahan yang pernah dihasilkan para ulama dan cendekiawan Alam Melayu. Penghasilan karya ini lebih menjurus kepada matlamat untuk memaparkan kepada masyarakat pembaca mengenai sumbangan persuratan Melayu Islam dalam memberikan warna baru kepada falsafah dan pemikiran politik dan pemerintahan rantau ini.
Usaha penulisan buku ini juga merupakan sebagai langkah hendak mengisi ruang-ruang kosong dalam penelitian tentang perkembangan tamadun Islam di rantau Alam Melayu dalam hal-hal berkaitan secara khusus dengan perubahan arus sistem politik dan pemerintahan dengan kedatangan Islam. Soal arus perubahan ini yang te|ah mencirikan kesultanan Melayu dan membentuk entiti politi Melayu Islam sudah agak banyak diperkatakan tetapi buku ini cuba menyorot dengan lebih jauh kepada pendedahan gagasan dan pemikiran pemerintahan dan politik Islam yang menyerap masuk dalam proses petumbuhan dan pembentukan tamadun Islam di Alam Melayu.
Usaha ini memerlukan penggalian ke atas buah fikiran dan gagasan pengajaran yang dikemukakan oleh ulama-ulama tempatan menerusi karya-karya mereka mengenai pemikiran pemerintahan dan politik Islam. Dalam usaha penggalian ini terdapat suasana bertimbal-balik antara usaha menjejaki karya-karya berkaitan dalam khazanah persuratan Melayu Islam di satu pihak dengan usaha mengenal pasti serta menghalusi perjalanan hidup tokoh-tokoh ulama Alam Melayu yang pernah menyumbang kepada genre penulisan ini di satu pihak yang lain.
Penulisan Pemikiran Politik Islam dalam Sejarah Persuratan Alam Melayu ditumpukan kepada buah-buah pemikiran politik dan pemerintahan yang dihasilkan oleh tujuh orang tokoh ulama. Mereka ialah Bukhari al-Jauhari, Sheikh Nuruddin al-Raniri, Sheikh Faqih Jalaluddin al-Asyi, Abdullah aI-Misri, Raja Ali Haji, Haji Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin (Tok Sheikh Duyong) dan Sheikh Wan Ahmad Zain al-Fatani. Kesemua mereka telah mengemukakan gagasan dan pemikiran politik masing-masing yang amat perlu dan relevan untuk direnungi dan diteliti sebagai usaha memahami serta menghalusi arah kecenderungan pemikiran mereka selain mengenang jasa dan sumbangan setiap mereka kepada sejarah persuratan dan pembinaan tamadun Islam di rantau Alam Melayu.
Kelahiran karya-karya ketatanegaraan Islam yang dihasilkan oleh para ulama tempatan tersebut adalah perluasan daripada satu genre penulisan yang pernah mencipta nama dalam sejarah kecendekiawanan Islam dan seterusnya ikut menyumbangkan saham kepada perkembangan pemikiran tamadun Islam di rantau ini. Dengan gambaran ini sejarah pemikiran politik dan pemerintahan Islam di rantau Alam Melayu telah berlangsung dalam persekitaran yang selari dengan apa yang berlaku pada induknya berpusat di Asia Barat.Yang agak ketara berbeza ialah usaha penyelidikan tentang genre pemikiran ini di Alam Melayu masih tidak banyak dihasilkan.
Dalam sejarah persuratan Melayu klasik memang terdapat karya-karya ketatanegaraan.Tetapi ia kerap lebih dikenali sebagai hasil kesusasteraan yang selalunya dikelompokkan sebagai kitab-kitab ketatanegaraan. Biasanya karya-karya yang sering ditonjolkan apabila memperkatakan genre ini ialah dua karya terkenal dalam kesusasteraan Melayu klasik iaitu Taj us-Salatin dan Bustan us-Salatin. Buat sekian lama kedua-dua karya ini hanya dikenali dalam bidang sejarah kesusasteraan Melayu lama sebagai mewakili kitab ketatanegaraan dan historiografi tanpa ada kesungguhan untuk menyelidiki setiap satu karya ini dengan lebih mendalam dari sudut pengajian Islam.
Pada hakikatnya idea-idea pemikiran politik dan pemerintahan Islam terdapat dalam timbunan khazanah persuratan Melayu Islam yang selama ini tidak begitu diserlahkan seolah-olah tersembunyi dalam selimut kajian dari aspek-aspek kesusasteraan untuk sekian lama. Hal ini jelas didapati berlaku kepada Thamarat al-Muhimmah, sebuah karya Raja Ali Haji selain kepada Taj us-Salatin dan Bustan us-Salatin. Buat sekian lama Thamarat al-Muhimmah terbiar begitu sahaja sebagai bahan kajian kesusasteraan yang kurang diperkatakan berbanding dengan Tuhfat al-Nafis dan karya-karya Raja Ali Haji yang lain.
Paparan pada bab-bab dalam Pemikiran Politik Islam dalam Sejarah Persuratan Alam Melayu diharap dapat membongkar serta membantu dalam memahami serta menghayati dengan lebih mendalam lagi tentang warisan daripada khazanah penulisan ketatanegaraan Melayu Islam yang pernah berkembang subur dalam sejarah tamadun Islam di Alam Melayu. Lebih-lebih lagi karya-karya tersebut dilihat masih relevan dengan zaman sekarang kerana kandungannya masih ada hubung kait dengan persoalan pemerintahan dan dunia pengurusan hari ini.
Bahkan dipercayai juga dapat membuka minda bagi masyarakat pembaca yang berminat ingin menggali warisan pengurusan daripada peradaban bangsa kerana banyak aspek pemikiran yang diperkatakan adalah ideaidea dan persoalan yang masih berkaitan dengan aspek-aspek ilmu pengurusan moden. Banyak gagasan yang dihuraikan oleh tokoh pemikir tersebut boleh dijadikan bahan renungan dan buah pemikiran mereka dapat dipetik sebagai noktah perbandingan dengan pemikiran pengurusan kontemporari.
Reviews
There are no reviews yet