Sesayup Jalan merupakan sebuah kumpulan puisi pertama Zurinah Hassan yang ditulis dari tahun 1967 sehingga 1973. Tahun 1967 merupakan tahun yang penting dalam riwayat pengkaryaan penulis. Pada tahun tersebut sajak-sajak penulis telah mula menembusi akhbar-akhbar mingguan iaitu Utusan Zaman, Warta Mingguan, Berita Minggu, serta majalah bulanan seperti Mastika, Dewan Masyarakat dan Dewan Sastera. Tahun 1967 bukanlah tahun penulis mula berkarya. Penulis berkarya sejak tahun 1962 iaitu seawal usia 12 tahun dan menghantar sajak, pantun, coretan-coretan kecil ke rancangan kegemarannya, iaitu rancangan Taman Kanak-Kanak yang dikelolai oleh Siti Hawa Zain di Radio Malaya yang dipancarkan dari Singapura.
Jumlah sajak yang penulis hasilkan dan terbitkan dari tahun 1967 hingga 1973 lebih daripada jumlah yang dimuatkan dalam Sesayup Jalan. Penulis tidak memasukkan semuanya ke dalam kumpulan ini kerana sebagai karya awal penulis merasa ada yang tidak layak dibukukan. Pada keseluruhannya sajak-sajak ini merupakan suara hati seorang anak muda, dan dibahagikan kepada tiga tema terbesar. Bahagian Pertama dimulakan dengan sajak-sajak tentang USM yang menyatakan keindahan kampus dan misi sebuah universiti. Sajak-sajak di Bahagian Kedua adalah perjalanan diri yang resah mencari erti kehidupan dan Bahagian Ketiga bertema kemasyarakatan khasnya penderitaan rakyat yang dilalui di dalam negara dan di serata dunia.
Reviews
There are no reviews yet