Sumpah Setia Gunung Cheroh: Sejarah Pembukaan Bandar Raya Ipoh adalah sebuah kisah benar yang ditulis dalam bentuk syair. Kisah dan peristiwa itu dikarang khusus dalam bentuk puisi lama mencantumkan sejarah, legenda dan mitos yang berlaku di Lembah Kinta pada suatu masa dahulu sekitar tahun 1830-an. Baiah tersebut merupakan sebuah Kontrak Sosial antara orang asli dengan orang Melayu di Lembah Kinta. Syair yang tergubah sebenarnya menceritakan kisah penerokaan dan pembukaan bandar Ipoh oleh orang Melayu yang bergelar Kulop Kinta. Peneroka ulung ini dikatakan seorang “kapten” dan pedagang yang berasal dari Sumatera yang kemudian melabuhkan kapalnya di Gunung Cheroh beberapa dekad yang lalu.
Ilham menulis syair dan kisah ini timbul secara kebetulan dan sangat menarik untuk diceritakan agar menjadi suatu kenangan atau nostalgia pada kemudian hari. Pada mulanya, penyair telah membaca beberapa buah buku di perpustakaan dan terbaca juga beberapa risalah berkaitan dengan Bandar Raya Ipoh. Penyair mendapat maklumat yang mengatakan bahawa bandar Ipoh pada suatu ketika dulu dibuka dan diteroka oleh insan yang bernama Kulop Kinta.
Suatu perkara yang perlu disebut dan amat memeranjatkan adalah perihal diri penyair sendiri. Penyair terkejut dan tersedar bahawa dirinya sendiri mempunyai darah keturunan Kulop Kinta—Panglima Kinta, iaitu juragan yang dikatakan melabuhkan kapalnya di Gunung Cheroh dahulu. Kini, penyair berusia 79 tahun dan merupakan cucu Kulop Kinta yang terakhir yang namanya masih berkaitan dengan juragan tersebut. Selama ini, penyair tahu yang dirinya ialah cucu Kulop Kinta (seorang pawang besar Kinta pada suatu masa dahulu) tetapi tidak dapat membuktikan kebenaran “kenyataan itu” sehingga tertulisnya sebuah buku yang berjudul Lord of Kinta oleh Rogayah Eusoff.
Penyair mempunyai bukti yang kukuh berkaitan dengan insan yang diperkatakan itu. Ibunda penyair sendiri ialah anak Kulop Kinta berdasarkan sekeping Sijil Kelahiran dan sekeping gambar lama yang tersimpan. Sebagai cucu Kulop Kinta yang terakhir, penyair cuba mengesan sejarah datuknya berdasarkan fakta yang tertulis yang terdapat dalam beberapa buah buku dan risalah yang tersiar. Menyingkap sedikit sejarah perjalanan Kulop Kinta didapati banyak “liku” dan “simpul” yang perlu dikaji dan dibuat penyelidikan bagi mengesan dan menjelaskan lagi kebenarannya. Orang Melayu ini ada kaitan dengan penerokaan dan pembukaan awal perkampungan Melayu sekitar Ipoh berdampingan dengan petempatan orang asli yang sedia ada sekitarnya dulu. Penerokaan ini berlaku sekitar tahun 1830-an yang lalu.
Kulop Kinta dianggap sebagai pengasas dan pelopor perkampungan Melayu sekitar Ipoh. Perkara ini sesuai dan tepat dengan apa-apa yang diperkatakan oleh seorang mining prospector berbangsa Perancis bernama De Morgan dalam tahun 1886 dulu. (De Morgan described Ipoh as a Malay or Sakai Village). Di sini, penyair ingin menemukan kisah ringkas Kulop Kinta untuk memudahkan pemahaman pembaca seorang juragan dari Sumatera merantau jauh meredah Selat Melaka menyelusuri Sungai Perak dan Sungai Kinta hingga sampai ke Gunung Cheroh. Di situ, nakhoda (kapten) ditemui orang asli dan golongan jin-bunian dan ketua golongan itu melantik kapten atau juragan menjadi “ketua” dan “raja” mereka dengan memberikan gelaran Kulop Kinta dan nama sandangan pangkat Panglima Kinta.
Kulop Kinta kemudiannya memainkan peranan penting dalam bidang ekonomi dan sosial di sekitar Ipoh yang kaya dengan bijih timah seawal tahun 1830-an sehingga awal era pengaruh Inggeris di negeri Perak. Kulop Kinta dikatakan peneroka ulung dan orang Melayu yang pertama membuka perkampungan Melayu di sekitar Ipoh berdampingan dengan petempatan orang asli yang sedia wujud di situ. Begitu sekali berpengaruh orangnya dan menjadi sahabat dan “raja” bagi orang asli sekitar daerahnya dan kemudiannya bergelar “maharaja Kinta”. Juga dikatakan Panglima Kinta berkahwin dengan Tuk Temong (adik seorang pembesar terkenal di Hulu Perak bernama Tun Saban). Perkahwinannya dengan Tuk Temong (atau nama sebenarnya Tuk Puan Puteh) menambahkan pengaruh dan kekuasaannya di Kuala Temong atau Reman ketika itu (Karai sekarang). Kulop Kinta selaku Panglima Kinta menjalankan tugas yang penting dan utama bagi pihak isterinya, Tuk Temong.
Kulop Kinta—Panglima Kinta dikatakan melawan dan menentang Inggeris di daerahnya dan lari sebagai orang buruan dengan menyamar memakai pelbagai nama samaran. Beliau terus menghilangkan diri tanpa dikesan hingga akhir hayatnya. Makamnya telah ditemukan cucunya yang terakhir di kaki Gunung Bubu—sebuah perkampungan terpencil bernama Sungai Lubuk di Trong (Mukim Bukit Gantang, Perak). Kajian yang dibuat oleh cucunya yang terakhir—membuktikan Kulop Kinta ada pertalian keluarga dengan Long Jaafar—orang yang dikatakan “peneroka Larut”. Jurai keturunannya dapat dikesan daripada buku “Biografi Ringkas Orang Kaya Menteri Paduka Tuan (Tengku Menteri) Ngah Ibrahim bin Long Jaafar” (Allahyarham Dr. Talib Samat).
Mereka berasal dan berketurunan bangsawan dan jutawan Melayu abad kesembilan belas dulu dan hartanah mereka telah dirampas oleh penjajah Inggeris. Semua gambar dan bukti sejarah telah dihapuskan dan dipadamkan oleh pihak Inggeris dengan membakarnya. “Penerokaan Lembah Kinta” atau Sumpah Setia Gunung Cheroh seterusnya menggambarkan Perang Perak 1875 di semua medan secara ringkas dan diperturunkan sepintas lalu persepsi peperangan itu mengikut liputan akhbar luar negara pada masa itu. Diakhiri kisahnya dengan coretan kenangan jasa Dato’ Panglima Kinta—Haji Mohamad Eusoff bin Kulop Alang Yusuf sebagai Dato’ Panglima Kinta ke-14 dulu.
Reviews
There are no reviews yet