Teater Filem dan Pengurusan Seni merupakan himpunan pemikiran, pengalaman, dan pengetahuan Hatta Azad Khan yang meliputi aspek kreatif dan pengurusan dalam teater, filem, muzik, dan penulisan. Buku kecil ini sewajarnya menjadi keperluan bukan sahaja bagi pelajar jurusan seni kreatif, tetapi juga para pentadbir, pengurus, pengamal industri kreatif artistik tanah air.
Seni pentas atau seni persembahan (performing arts) merangkumi drama, tari dan muzik. Teater adalah istilah yang merangkumi elemen dari ketiga-tiga genre ini yang memberikan hasil yang disebut sebagai muzikal, dramatari, opera dan mima (mime). Asasnya adalah lakonan, gerak (tari), bunyi (muzik/lagu).
Sejarah seni pentas Malaysia bermula dengan hanya penglipur lara atau tukang cerita. Istilah yang sering digunapakai berbeza mengikut daerah, Awang Batil dan Awang Belanga di daerah utara dan Tok Selampit di daerah pantai timur Semenanjung. Tradisi yang sama wujud di negara-negara Asia seperti China, India, Iran serta juga di negara-negara di Asia Tenggara seperti Thailand, Burma, dan Indonesia.
Lazimnya tukang cerita ini adalah individu cacat penglihatan atau buta, tetapi mempunyai kemampuan bercerita dengan suara yang berbeza tekanan tinggi rendahnya dan boleh pula memainkan alatan muzik mengiringi penceritaan dan menjadikan persembahannya bertambah menarik. Daripada hanya seorang pencerita dengan alatan muzik yang mudah inilah drama atau cerita yang dilakonkan bermula.
Kalau si tukang cerita awal itu buta dan menarik, tentunya sahaja seorang pelakon celik yang boleh bergerak dalam suatu ruang akan jadi lebih menarik, tambah lagi apabila adanya rakan lain yang turut berinteraksi atau membantu memainkan alatan muzik. Dengan sokongan latar dan cahaya tentu sahaja persembahan ini akan jadi lebih memikat.
Begitulah seni pentas di seluruh dunia berkembang: dari yang semudah-mudahnya hinggalah menjadi suatu persembahan besar yang gemilang dan ditonton jutaan penonton. Hari ini orang bercakap tentang teater profesional yang dipasarkan kepada khalayak yang bersedia untuk membayar. Pelakon dan seluruh petugasnya juga sudah ‘bekerja’ dan dibayar dengan upahan yang tinggi. Sebuah produksi tidak lagi berjalan tiga atau empat hari, tetapi berbulan bahkan ada yang sampai puluhan tahun.
Seni pentas di Malaysia mempunyai tradisi yang cukup kuat. Kita mewarisi teater tradisional seperti makyung, wayang kulit, jikey, menora, kuda kepang, mek mulung, hamdolok dan kemudian mewarisi teater moden bangsawan dari wayang Parsi yang dibawa dan diperkenalkan oleh pedagang India. Kemudian muncul tonil dan sandiwara hasil dari gabungan artis Indonesia. Bangsawan juga mempunyai pengamal, pengikut dan peminat yang menjadikannya sebagai teater popular, tetapi kemudiannya tewas oleh kemunculan filem dan akhirnya televisyen.
Reviews
There are no reviews yet