Tujuh Hari Panjang: Saga Sheraton adalah memerihalkan episod bersejarah dalam politik Malaysia iaitu krisis penjajaran semula politik negara atau lebih dikenali umum dengan pelbagai nama seperti Krisis Sheraton, Langkah Sheraton, Operasi Sheraton atau Kudeta Sheraton. Pergolakan “Tujuh Hari Panjang” tersebut menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru sahaja memegang tampuk pemerintahan negara selama dua puluh dua bulan ke tangan gabungan politik baru yang dikenali dengan nama Perikatan Nasional (PN).
Krisis Sheraton mencipta sejarah dan kontroversi apabila buat pertama kalinya, peralihan kuasa tidak dilakukan menerusi mekanisme lazim iaitu pilihan raya umum. Tindakan Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan secara mengejut telah memulakan mega plot yang dipenuhi ketidaktentuan, pergelutan, kecelaruan dan kekeliruan. Tidak berhenti di situ, krisis politik ini disusuli pula dengan krisis kesihatan paling mencabar selepas kemerdekaan iaitu wabak Covid-19. Pertembungan krisis politik dan krisis kesihatan ini memberikan dimensi timbal balik yang mendalam terhadap trejektori politik Malaysia.
Tujuh Hari Panjang: Saga Sheraton ditulis bagi merenung dan mentafsir perkembangan yang berlaku sebelum, sewaktu dan selepas berakhirnya tujuh hari panjang tersebut. Ia memfokuskan kepada isu-isu utama yang banyak diperbahaskan masyarakat umum seperti apakah motif atau motivasi yang mendasari Krisis Sheraton? Siapakah “Keyser Soze” iaitu individu yang menggerak atau menjadi pencatur utama dalam menjayakan pembentukan kerajaan PN?
Bagaimana pendirian dan peranan Sarawak dan Sabah dalam perancangan tersebut? Apakah implikasi Krisis Sheraton terhadap politik dan perundangan di Malaysia? Apakah keunikan peranan yang dimainkan oleh Yang Di-Pertuan Agong dan Institusi Raja dalam menyelesaikan krisis yang tidak pernah berlaku itu? Apakah perlantikan Perdana Menteri Interim yang disandang oleh Mahathir selama tujuh hari itu sah di sisi-sisi undang-undang?
Bagaimanakah DAP berperanan dalam membuka jalan terhadap krisis tersebut? Sejauhmana media sohor kini memberikan jawapan terhadap teka-teki yang wujud sepanjang berlangsungnya krisis? Apakah sumbangan yang dimainkan oleh gabungan Muafakat Nasional? Bagaimana golongan muda seperti mahasiswa memberi reaksi mereka terhadap krisis yang berlangsung dan tidak ketinggalan, bagaimana krisis Covid-19 dihujahkan menjadi ‘penyelamat’ kepada legitimasi perdana menteri baru, Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN yang dipimpinnya.
Ditulis dengan pendekatan akademik dan popular dan dibantu dengan maklumat-maklumat primer, buku ini diharap dapat menjadi rujukan preliminari mengenai saga yang telah mencipta enigma tersendiri.
Reviews
There are no reviews yet