Tunku: Kelana Penuh Cinta menawarkan suatu rangkuman lengkap mengenai kehidupan Tunku, baik dari segi peribadinya mahupun politiknya. Penulis merungkaikan perjalanan hidup Tunku bermula dari zaman kanak-kanak, kependidikannya, segala peristiwa turun naik dalam politiknya, dan sumbangannya yang cukup besar kepada negara, orang Melayu dan Islam. Sepanjang kehidupannya yang berwarna-warni itu—beliau hidup sehingga lanjut usianya, iaitu 87 tahun—Tunku Abdul Rahman Putra terbukti setia kepada sifat semulajadinya yang murah hati, jujur, tidak gentar dan sangat prihatin tanpa mengira keadaan sosiopolitik dan ekonominya ketika itu, Mereka yang mengenali dirinya, sama ada kawan mahupun lawan, turut mengakui sifat-sifat Tunku ini. Menurut Tunku, tiada bezanya sama ada beliau memegang jawatan paling tinggi ataupun menjadi rakyat biasa. Sekiranya pertolongannya diminta, sekiranya kritikan membina dan maklum balas terhadap beberapa dasar awam diperlukan, sekiranya ketidakadilan terjadi kepada yang lemah dan tidak berdaya, sekiranya kerajaan atau masyarakat memerlukan amaran atau peringatan, dan sekiranya kebenaran perlu diperjelaskan kepada penguasa, Tunku akan masuk campur dan terus membuat perkara yang orang lain pasti segan silu, tanpa mengambil kira betapa buruk kesannya kepada diri, kemasyhuran atau nama baiknya.
Tuntas, Tunku ialah ahli politik dan ketua yang luar biasa. Beliau begitu menyayangi rakyat dan negaranya dan partinya, UMNO, pastinya, serta tiada satu perkara pun yang tidak akan dilakukan oleh Tunku untuk salah satu belahan jiwanya ini. Perkara yang paling membezakan beliau dengan rakan-rakannya yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri ialah Tunku satu-satunya Perdana Menteri yang menjadi lebih miskin selepas meninggalkan jawatan tertinggi itu berbanding sebelum beliau melangkah masuk dan mengemudi negara. Lebih “buruk” lagi, sebaik sahaja bersara, Tunku mendapati dirinya mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM80,000 jumlah yang sangat besar pada zaman dahulu. Sebagai ganti, wang persaraan bulanannya sebanyak RM4,000 digantung dan digunakan untuk melunaskan hutang akibat kealpaannya itu. Dengan kiraan mudah, Tunku tidak mempunyai satu sen pun. Beliau sangat bertuah kerana pada saat itulah beliau ditawarkan jawatan Setiausaha Agung untuk sebuah Sekretariat Islam yang baru ditubuhkan.
Ibarat berkayuh sambil bertimba, jawatan ini bukan sahaja menyelesaikan masalah kewangan peribadi tetapi juga memberi Tunku jalan keluar dari negara secara terhormat dan munasabah. Tunku berhijrah demi membolehkan penggantinya yang ketika itu tiada sokongan kukuh meraih gelanggang sosiopolitik negara agar berhasil menerapkan kepimpinan dan gaya pentadbirannya (pengganti Tunku) tanpa takut dibayangi oleh pemimpin sebelumnya yang lebih unggul dan terkenal. Sepanjang berdepan cabaran peribadi dan politik ini, Tunku tetap setia kepada sifatnya yang murah hati dan jujur sebagaimana dirinya yang dahulu. Tunku bahkan meletakkan dirinya sebagai ahli politik dan ketua yang benar serta berbeza. Beliau benar-benar bekerja demi kemaslahatan negara dan rakyatnya, bukannya meraih kekayaan peribadi, penghormatan mahupun pengiktirafan istimewa sebagai balasan–berlawanan dengan ahli politik zaman kini yang sekadar menanam tebu di tepi bibir. Maka tidak hairanlah jika Tunku telah, sedang dan akan terus menjadi pemimpin yang paling disayangi dan dihormati di Malaysia.
Reviews
There are no reviews yet