Wacana Pemikiran Reformis: Jilid III adalah suatu kehadiran yang wajar dan tepat waktunya. Kehadiran itu adalah penolakan terhadap peminggiran dan penahan. Sebuah wacana yang hadir bisa sahaja bersifat edukatif dan transformatif, ataupun secara berlantang dan menggempur. Masing-masing strategi ini sudah terpakai dalam sejarah, namun dimensi yang edukatif mempunyai hayat bertahan yang lebih lama. Inilah rasanya yang telah, dan sedang diikhtiarkan, oleh sidang penulis di Islamic Renaissance Front (IRF) dan siri kumpulan tulisan ini adalah bukti bahawa mereka ingin menuju ke arah wacana yang persistent dan consistent.
Dari permulaan yang sederhana pada dua jilid terawal, jilid yang ketiga ini lebih memperlihatkan kepelbagaian tema dan malahan lapisan hujah, yang ditulis bukan sahaja oleh ilmuwan seperti Dr Farouk Musa dan Dr Ahmad Nabil Amir tetapi juga oleh para aktivis muda seperti Hazman Baharom, Mohd Syazreen Abdullah, Ahmad Muziru Idham dan Shuhaib Ar Rumy Ismail. Medan penulisan para aktivis yang berselera untuk berwacana adalah petanda baik dalam suatu pergerakan wacana. Moga-moga potensi besar yang ada pada muda-muda ini bisa terangkul untuk memberi kepemimpinan intelektual di masa hadapan.
Menulis dalam bahasa Melayu untuk wacana Islam reformis dewasa ini adalah suatu ikhtiar yang jarang mahu dilakukan, mentelah lagi di sfera publik, khasnya dalam suasana kencangnya Islam sangar yang galak berdentum di kalangan ahliahli politik, birokrat dan kepimpinan dalam NGO Muslim yang semakin bercambah hari ini. Islam sangar ini rata-rata bertolak dari sikap berkuasaan, sehingga tak sipu-sipu mengklaim bahawa monopoli dalam tafsiran dan amalan keagamaan mereka itu adalah mutlak dan harus diikut, sedangkan versi yang lain adalah salah dan tersimpang. Jadilah manusia yang tercerah dan bergeraklah dengan penuh kematangan.
Untuk meraih akhiran yang mulia ini, kita harus mengasak dalam apa jua cara, keyakinan bahawa kita mampu memahami dan merealisasikan kehendak maqasid dan membenihkan budaya yang toleran dikalangan yang berani untuk berfikir. Sebarang projek muluk dan megah ke arah pembangunan demokrasi dan jama‘i, atau ke arah pengiktirafan dan pemerkasaan kebebasan-kebebasan beragama dan kebebasan untuk melakar matlamat sendiri—tidak akan tercapai sama sekali selagi mana kondisi ketidak-matangan yang dikenakan sendiri ini tidak dilenyapkan
Hanya sekadar berbicara pada keperluan terhadap reformasi tidak lebih baik daripada berbangga dengan kegemilangan kita yang lampau dan menyanjung kehebatan mereka yang terdahulu daripada kita. Dan membataskan diri kita hanya dengan menarik petunjuk daripada tiga generasi terawal as-salafus shalih, adalah jelas bertentangan dengan semangat dan mesej al-Quran itu sendiri. Sesungguhnya penulisan dalam buku ini merupakan salah satu usaha untuk menyingkapi satu sudut dari sejarah tajdid dan islah di dalam kehidupan umat Islam pada dua kurun ke-20 dan ke-21 Masehi ini.
Sehingga setiap individu Muslim serta golongan intelek dan ulama, kita berani memutuskan penyelesaian dalam masalah yang kita hadapi pada hari ini, dan menilai khazanah yang kita warisi daripada zaman dahulu dengan pandangan dan perspektif yang kritis, tanpa membiarkannya untuk membebankan kita; selagi itulah kebebasan berfikir dan kebebasan bertindak itu-yang merupakan elemen terpenting dalam masyarakat Islam-tidak akan sama sekali tergarap.
Maka disebabkan itu, hampir keseluruhan esei-esei dalam Wacana Pemikiran Reformis: Jilid III mengajukan mesej yang sama iaitu pencerahan dan pemerkasaan akal di samping meninjau pemikiran angkatan mujaddid dan reformis silam yang telah mengerahkan segenap ikhtiar mereka untuk mengembalikan kegemilangan umat ini. Mudah-mudahan segala jasa bakti dan perjuangan mereka untuk mengangkat harakat dan martabat akal yang dikurniakan Tuhan akan meraih balasan yang setimpal daripada Tuhan Rabbul jalil.
Reviews
There are no reviews yet