Peranan Intelektual

Usman Awang (12 Julai 1929 – 29 November 2001) ialah seorang Sasterawan Negara Malaysia. Terkenal dengan nama penanya Tongkat Warrant, beliau ialah seorang penyair dan ahli drama yang prolifik ketika hayatnya. Usman Awang mula membentuk namanya dalam dunia persuratan Melayu Moden dengan menulis sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Beberapa buah sajaknya menjadi bahan yang amat menarik. Bukan sahaja di kalangan masyarakat terbanyak yang cintakan puisinya tetapi menjadi mainan bibir di kalangan anak-anak sekolah pada waktu itu dalam sebarang upacara mendeklamasi sajak. Antara sajaknya yang cukup popular adalah “Pak Utih”, “Ke Makam Bonda”, “Nasib Buruh”, “Bunga Popi”, “Gadis Di Kuburan”, dan “Salam Benua”.

Pramoedya Ananta Toer (Blora, Jawa Tengah 2 Februari 1925 — Jakarta 30 April 2006) secara luas dianggap sebagai salah satu pengarang yang produktif dalam sejarah sastra Indonesia. Pramoedya telah menghasilkan lebih dari 50 karya dan diterjemahkan ke dalam lebih dari 41 bahasa asing. Selain pernah ditahan selama 3 tahun pada masa kolonial dan 1 tahun pada masa Orde Lama, selama masa Orde Baru Pramoedya merasakan 14 tahun ditahan sebagai tahanan politik tanpa proses pengadilan. Beliau dilarang menulis selama masa penahanannya di Pulau Buru, namun tetap mengatur untuk menulis serial karya terkenalnya yang berjudul Bumi Manusia, serial 4 kronik novel semi-fiksi sejarah Indonesia.

Ahmat Adam adalah Profesor Emeritus dalam bidang sejarah, bekas Felo Penyelidik Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan Felo Pelawat di Oxford Centre for Islamic Studies, Oxford University. Penyelidikan akademik beliau meliputi sejarah Indonesia moden, gerakan kebangsaan di Asia Tenggara dan sejarah persuratkhabaran berbahasa Melayu. Antara karya yang dihasilkan beliau adalah Hikayat Hang Tuha (atau Hikayat Hang Tua), Batu Bersurat Terengganu: Betulkah Apa yang Dibaca Selama Ini?, Suara Minangkabau: Sejarah Dan Bibliografi Akhbar Dan Majalah Di Sumatera Barat 1900-1941, Sejarah Awal Pers dan Kebangkitan Kesadaran Keindonesiaan, dan Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia.

Rustam A. Sani (12 Ogos 1944–23 April 2008) merupakan pensyarah sains sosial di Universti Malaya. Beliau terlibat dalam penulisan dan syair. Dalam politik, beliau ialah Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia yang kemudian bergabung menjadi Parti Keadilan Rakyat. Bapanya Ahmad Boestamam seorang ahli politik sebelum merdeka dan menjadi ahli Parlimen Setapak serta banyak kali ditahan/dipenjara di bawah ISA. Beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaya (1970), mendapatkan Diploma Sosiologi di Universiti Reading, England (1973) dan Sarjana Pengajian Asia Tenggara di Universiti Kent, England (1975). Pada 1978, beliau memperoleh ijazah Sarjana Sastera (1981) dan Sarjana Falsafah (1982) dalam bidang Sosiologi Politik di Universiti Yale.

Syed Husin Ali (Batu Pahat, 1936—) mendapat ijazah B.A. Hons serta M.A. (Universiti Malaya) dan Ph.D. (LSE). Menjadi Timbalan Presiden keADILan 2003-2010; sebelum itu Presiden PRM selama 13 tahun mulai 1990. Akibat penglibatan aktif dalam politik, beliau dipaksa meletakkan jawatannya sebagai Profesor di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya (UM), selepas berkhidmat di UM selama hampir 30 tahun. Telah menulis dan mengedit hampir 20 buah buku, menyediakan lebih 100 buah kertas untuk jurnal dan persidangan antarabangsa serta tempatan dan artikel-artikel untuk media tempatan. Antara bukunya: “Pimpinan Masyarakat Kampung”, “Masa Depan Orang Melayu”, “Kemiskinan dan KelaparanTanah di Kelantan” dan “Dua Wajah”. Syed Husin ditahan di bawah ISA selama enam tahun (1974-80) tanpa bicara, berikutan tunjuk perasaan petani-petani di Baling dan pelajar-pelajar di Kuala Lumpur.

SIRD (2016)
139 halaman
ISBN 9789670960104

RM18.00

In stock

Buku Peranan Intelektual ialah sebuah kumpulan yang mengandungi empat buah karangan, oleh empat orang tokoh terkenal, tentang intelektual dan peranannya. Mereka ialah: Usman Awang, seorang sasterawan Malaysia ternama, terutama kerana sajak-sajaknya yang mudah, indah akan tetapi sangat berisi; Pramoedya Ananta Toer, pejuang dan novelis agung Indonesia yang pernah ditahan selama 10 tahun di Pulau Buru tanpa bicara; Rustam A. Sani, ahli akademik serta pengkritik sosial yang pernah diiktiraf sebagai intelek awam penting di Malaysia; dan Ahmat Adam, juga seorang ahli akademik, yang mengkhusus dalam bidang sejarah. Karangan-karangan ini sudah agak lama, kesemuanya diselesaikan sebelum terbitnya sinar abad ke-21.

Tulisan Usman “Peranan Intelektual” berdasarkan sebuah ucapannya kepada pelajar-pelajar Malaysia dan Singapura di London, yang disampaikan pada 25 Mei 1970. Karangan Pramoedya, bertajuk “Sikap dan Peranan Kaum Intelektual di Dunia Ketiga” merupakan petikan dari teks ceramahnya di Universitas Indonesia atas undangan Senat Mahasiswa universiti itu; malang tarikhnya tidak tercatat. Agak signifikan kedua-dua penulis ini berucap tentang peranan intelektual di hadapan para mahasiswa, kerana bukankah mahasiswa sering dianggap sebagai satu golongan intelektual yang penting?

Sebagai ahli akademik, Rustam sering menulis bagi persidangan ataupun jurnal ilmu. Esei Rustam “Tradisi Intelektual Melayu dan Pembentukan Bangsa Malaysia: Beberapa Persoalan Sosial” berasal sebagai salah sebuah kertas yang diterbitkan dalam Kertas Kadangkala Bil. 5 pada tahun 1989. Akan artikel Ahmat Adam pula, yang bertajuk ‘Sang Intelektual di Kawasan Nusantara: Suatu Tinjauan Historis”, ia diterbitkan juga dalam kertas kadangkala Bil. 15, bersama kertas Rustam.

Sungguhpun terdapat penumpuan yang agak berbeza di antara keempat-empat tulisan di sini, namun, kita dapat mengesan adanya kaitan di antara mereka.

Usman Awang memulakan pembicaraannya dengan takrifan agak panjang dan boleh dikatakan lengkap mengenai intelektual. Baginya, intelektual tidak semestinya seorang yang berpendidikan tinggi. Bahkan ia merupakan seorang yang mempunyai pengetahuan yang sentiasa dikembangkan. Ia pemikir yang mengembangkan ida. menggunakan ilmu untuk “mengkaji, menganalisis dan merumuskan segala perkara dalam kehidupan manusia’ mengenal kebenaran serta kebebasan, dan berani berjuang untuk menegakkannya.

Pada pandangan Usman, yang penting bagi intelektual ialah sikapnya. Usman berkata intelektual harus memihak kepada kemajuan ilmu pengetahuan sains dan teknologi, menegakkan “kebebasan berfikir, semangat perwira dan jiwa besar”, menghapuskan kemiskinan serta penyakitan dan menentang penindasan oleh golongan berkuasa serta kaya ke atas yang lemah serta miskin.

Dalam hubungan ini, kata Usman, “Peranan intelektual ialah mengenali masyarakat dan sistemnya dengan sedalam-dalamnya melihat dengan sikap kritis segala sebab dan akibat”. Sebagai contoh, untuk mengetahui masalah kemiskinan di kampung dalam konteks lebih luas; perlulah intelektual sejati menyelami masyarakat itu dan bukan dengan meninjau sebagai seorang pelancong cuma. Tidak boleh dengan mudah saja disimpulkan seorang petani itu miskin kerana mereka malas dan keadaan kemiskinan kampung memang sudah “natural”. Ada orang malas, tidak perlu bekerja tetapi hidup serba mewah dalam istana.

Bidang perbicaraan Pramoedya Ananta Toer kelihatan hampir sama dengan Usman, namun Pramoedya menumpu lebih khusus kepada peranan intelektual dalam Dunia Ketiga. Beliau bermula dengan memberi takrifan tentang Dunia Ketiga serta intelektual dan kemudian membicarakan peranannya. Huraian yang diberikan oleh Pramoedya tentang intelektual lebih ringkas daripada Usman, dan ada persamaannya. Pramoedya menganggap bahawa dalam diri intelektual itu “terdapat gudang ilmu dan pengetahuan, terutama pengalaman nasionnya, juga ia dengan isi gudangnya dapat memilih yang baik dan yang terbaik untuk dikembangkan.”

Pramoedya merujuk kepada “Kata Sahibul Hikayat” untuk memberi makna bahawa intelektual adalah kaum yang menempatkan nalar (pertimbangan akal) sebagai kemampuan pertama yang diutamakan, yang melihat tujuan akhir upaya manusia dalam memahami kebenarannya dengan penalarannya. Seterusnya beliau merujuk kepada Hinduisme, yang mempunyai sistem berkasta, untuk meletakkan kedudukan intelektual itu. Katanya “Kaum intelektual berada dalam kasta Brahmin. Hanya bezanya kaum Brahmin moden menempati kedudukan sebagai jambatan pada hari depan”.

Mengenai Dunia Ketiga pula, Pramoedya menyatakan bahawa kebanyakannya adalah negara-negara yang telah bebas daripada penjajahan. Antara penjajah terbesar dunia dalam sejarah ialah Portugis, Sepanyol, Inggeris dan buat seketika Jepun. Perkembangan penjajahan tiga-tiga kuasa Barat itu didorong oleh tujuan untuk menguasai ekonomi, pada peringkat awalnya perdagangan misalnya monopoli perdagangan rempah di Nusantara. Bangsa-bangsa dijajah kerana tidak mampu menghadapi perkembangan kegiatan Barat oleh kerana kemajuan teknologi perang Barat dan juga kerana adanya golongan dalam negara dijajah yang sanggup bersuhabat dengan penjajah untuk menakluki negara mereka.

Penjajahan telah menimbulkan kekayaan dan kemajuan kuasa penjajah dan mengakibatkan keterbelakangan masyarakat dan kemiskinan rakyat di Dunia Ketiga. Untuk mengatasi imej kaya-miskin yang dikaitkan dengan negara penjajah dan Dunia Ketiga, telah ditimbulkan konsep-konsep seperti negara-negara Utara-Selatan dan juga diberi “nama manis” sebagai negara membangun. Secara ironis Pramoedya menyatakan: “Nama-nama yang lentur dan dilenturkan ini tidak lain daripada satu persetujuan tak terucapkan bahawa Dunia Ketiga berterima kasih pada bantuan yang menguntungkan dari Barat, sebaliknya Barat dengan bantuannya pada Dunia Ketiga mendapat keuntungan lebih besar lagi”. Di sinilah terletaknya kedudukan Dunia Ketiga yang mencabar sikap dan peranan kaum intelektual.

Pendekatan Rustam A. Sani dan Ahmat Adam berbeza daripada Usman dan Pramoedya. Rustam dan Ahmat Adam tidak merumuskan apa seharusnya sikap dan peranan intelektual dalam masyarakat, sebagaimana yang dilakukan oleh Usman dan Pramoedya. Bahkan mereka memerikan apa yang telah berlaku dalam masyarakat dan apa peranan yang berjaya atau tidak berjaya dilakukan oleh intelektual yang wujud ketika itu.

Rustam menumpukan perhatiannya kepada soal pembentukan negarabangsa, iaitu satu soal yang penting bagi kebanyakan bangsa yang telah bebas daripada penjajahan. Dalam hal ini kelihatan dua aliran, satu yang menekankan pulang kepada peribadi atau identiti nasional berasaskan tradisi dan satu lagi mementingkan upaya menyerap bahkan meniru budaya dunia moden khususnya dari Barat. Imbangan dan persaingan di antara kedua-dua natijah ini sering menimbulkan dilema di kalangan intelek politik yang mahu menegakkan negara bangsa. Dalam gerakan sejarah nasionalisme, terdapat kelompok tertentu yang “menjulang dan mengungkapkan simbol-simbol tertentu sebagai alat untuk menyatukan dan menggembleng kesetiaan para anggota kelompoknya…”

Di Malaya dulu terdapat kelompok Melayu yang menyuarakan cita-cita atau hasrat untuk menegakkan nasionalisme Melayu. Ada yang membataskan wilayah politik yang dicita-citakan itu bukan saja kepada negeri tradisional akan tetapi meliputi wilayah budaya dan politik lebih luas, iaitu Melayu Raya. Pada umumnya, tradisi pemikiran yang mencorakkan politik moden Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai perantaraan. Melalui bahasa, ini telah dikembangkan persuratan Melayu yang menyalut serta mengembangkan unsur-unsur bahasa, budaya, kepercayaan dan peradaban Hindu, Islam dan juga Barat. Akan tetapi ini “tidaklah semestinya melibatkan penyerapan unsur-unsur pemikiran dan tradisi intelektual yang mendalam. Walaupun pengaruh Islam paling kuat di kalangan orang Melayu, namun penghayatannya lebih banyak dari segi hukum serta ritual daripada falsafah atau pemikiran.”

Berpaling kepada Ahmat Adam, kita melihat beliau menyusur galur sejarah lampau Nusantara untuk memahami peranan yang dimainkan oleh intelektual di rantau ini. Beliau memetik ahli sosiologi, Bottomore, untuk memberi takrifan kepada konsep intelektual. Mengikut Bottomore, intelektual merujuk kepada “kelompok kecil yang secara langsung menyumbang terhadap penciptaan, pancaran, dan kritikan idea-idea.” Ahmat mengaitkan para intelektual dengan penulis di sepanjang zaman.

Ahmat Adam menympulkan “peranan elit pribumi Melayu yang mendapat pendidikan Barat melalui sekolah Inggeris, kecuali segelintir orang, hampir tiada dalam mengutarakan visi sebuah Tanah Melayu yang merdeka dan anti-kolonial”. Ketandusan ini ketara dalam sejarah pembangunan nasionalisme sebelum perang di Malaya.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Dimensions 13.3 × 1.2 × 19.6 cm
Edition

Format

ISBN

9789670960104

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Peranan Intelektual”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

You may also like…