Warisan Keilmuan Ulama Alam Melayu: Tokoh, Karya, dan Pemikiran menawarkan data yang kaya dan baharu berkenaan khazanah keilmuan Islam di Alam Melayu dengan menghimpunkan 31 tokoh ulama yang memainkan peranan penting dalam menyuburkan budaya ilmu di Alam Melayu berserta karya-karya yang dihasilkan sebagai interaksi nyata pemikiran mereka dengan lingkungan kehidupannya. Karya-karya tersebut memuat hasil seni menilai kebenaran sesuatu teori atau pendapat secara perbincangan dan perdebatan yang terdiri daripada butir-butir pemahaman keislaman yang akhirnya menjadi sifat dan ciri keislaman di Alam Melayu itu sendiri.
Oleh sebabnya itu, tidak jarang ditemui daripada karya-karya tersebut memuatkan fatwa, amalan, dan polemik atas karya lain. Pada pengamatan penulis, terkhusus kitab-kitab yang memuat polemik panjang itulah yang menjadi salah satu penyebab pembahagian kelompok ulama Kaum Tua dan Kaum Muda, terutamanya pada awal abad 20 Masihi dalam lingkup ulama Minangkabau, baik yang berada di Haramain mahupun di tanah Minangkabau sendiri. Di wilayah ini juga, kegiatan keilmuan Islam bergerak secara dinamik di antara dua kelompok tersebut.
Bahagian pertama buku ini membahaskan tentang tokoh ulama Nusantara dari generasi abad 18 sampai 20 dengan penekanan kepada aspek usia yang dikenal pasti melalui tahun kelahiran mereka. Sumber rujukan setiap tokoh adalah karya-karya yang memuatkan biografi ulama, sama ada berbahasa Indonesia mahupun Arab, dan juga wawancara kepada ahli waris dan keturunan mereka, secara langsung mahupun di dunia maya dengan media sosialnya. Selain itu, setiap biografi ulama, akan disertai nota penjelasan karya setiap ulama dengan jumlah kitab mencapai 106 (seratus enam), yang dicetak di pelbagai tempat seperti Haramain, Mesir, Jawa, Minangkabau, Medan, Malaysia, Singapura, dan lainnya di Nusantara.
Di bahagian kedua, penulis memetakan pemikiran-pemikiran Islam di Kepulauan Melayu; akan dibahas secara khusus butiran-butiran pemikiran yang merupakan bentuk perbincangan ulama yang dimaksud dengan pemandangan kehidupan lingkungannya ataupun perdebatan dengan ulama lainnya.
Reviews
There are no reviews yet