Za’ba dan Melayu membincangkan pemikiran Za’ba dalam hubungannya dengan perkembangan serta perubahan sosial, ekonomi dan politik Tanah Melayu pada zamannya. Kajian ini memberi pendedahan awal terhadap pemikiran penting Za’ba berhubung dengan pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu dan Islam umumnya. Ini mendorong penulis membuat kajian lanjutan agar sumbangan pemikiran dan perjuangan sebenar Za’ba boleh difahami, bukan berdasarkan pendapat popular atau salah tanggapan, tetapi berasaskan kepada suatu kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh mengenai Za’ba.
Perbincangan dalam Za’ba dan Melayu dimulakan dengan biografi ringkas Za’ba. Ini membolehkan kita mengetahui riwayat serta pengalaman dan liku-liku hidup yang dilalui oleh Za’ba di sepanjang hayatnya. Tujuan utamanya untuk membantu kita memahami latar belakang di sebalik kelahiran beberapa pemikiran Za’ba seperti akan dibincangkan dalam tulisan itu selanjutnya.
Perbincangan mengenai pemikiran Za’ba dilakukan dalam beberapa bab. Sebelum aspek tersebut dibincangkan dengan lebih lanjut, satu perbincangan khas dilakukan dengan tujuan untuk memahami asas-asas yang mendasari dan mendefinisikan pemikiran beliau. Za’ba adalah seorang Islam. Dalam masa yang sama beliau seorang Melayu. Sungguhpun Za’ba mendapat pendidikan Islam secara tradisional di kampungnya, beliau berpendidikan Inggeris tertinggi (Senior Cambridge) pada zamannya. Za’ba berminat membaca dan melakukan kerja-kerja penyelidikan sejak di bangku sekolah lagi. Ini mendedahkannya bukan sahaja kepada ajaran reformis Islam di Tanah Melayu, tetapi gerakan reformis Islam antarabangsa juga.
Za’ba mempunyai pendirian yang jelas dan tegas mengenai fahamannya itu. Tanpa ragu-ragu, beliau mengisytiharkan dirinya sebagai anggota dalam gerakan tersebut. Za’ba terlibat secara langsung dalam perjuangan Islam. Za’ba adalah satu mata rantai yang menjadi tali penyambung kepada suatu gerakan Islam antarabangsa yang aktif menghadapi kolonialisme dan imperialisme dewasa itu, tetapi tumpuan Za’ba lebih banyak kepada masyarakatnya, Melayu dan Muslim di Tanah Melayu. Dengan itu, perbincangan mengenai pemikiran Za’ba dari segi mencari kemajuan untuk orang Melayu dan Muslim umumnya, seperti dalam aspek pendidikan, bahasa Melayu, ekonomi dan politik akan dilihat dari perspektif tersebut.
Satu penilaian terhadap pemikiran Za’ba telah dilakukan oleh penulis. Tujuannya untuk melihat sejauh manakah beberapa pemikiran Za’ba, selaras ataupun terkesamping akibat dari perkembangan serta perubahan sosial, ekonomi dan politik Tanah Melayu pada 1950-an. Ini dilakukan dengan melihat pemikiran dan perjuangan Za’ba dalam hubungannya dengan arus aliran perkembangan pemikiran tentang kemajuan Melayu dan Muslim seperti terpancar melalui pemikiran beberapa individu sejak Abdullah Munsyi hingga ke zaman Za’ba sendiri. Diharapkan tulisan ini dapat memberi suatu gambaran yang lebih munasabah tentang pemikiran dan perjuangan sebenar Za’ba dalam mencari kemajuan bangsa di sepanjang hayatnya.
Reviews
There are no reviews yet