Keledang mengisahkan pengalaman getir dan cemas—tapi penuh harapan—sekumpulan penduduk kampung yang terjebak dalam cengkaman penjajahan Jepun. Dalam novel ini dipaparkan bagaimana di tengah-tengah ancaman—malah penipuan—penjajah dan warga sendiri, sekelompok orang Kampung Bukit Keledang masih tetap gigih bertahan mengharungi dan meyakini masa depannya. Novel ini adalah antara sekelompok karya seni penulis yang merakamkan pengalaman khusus pada zaman Jepun, satu era yang sangat meresahkan. Selain novel Sungai Mengalir Lesu dan Adik Datang, novel ini secaranya sendiri turut melengkapi pengalaman cemas dan getir kehidupan yang pernah dilalui oleh mereka yang segenerasi dengan penulis pada dekad tersebut.
Berbeza dengan Sungai Mengalir Lesu, novel Keledang lebih menjurus kepada kerenah hidup segolongan bangsa kita sendiri. Gementar oleh ancaman penjajah Jepun, beberapa orang tempatan dapat berubah menjadi tali barut Jepun yang rupa-rupanya turut menindas. Betapapun, tidak semua orang menerima saja kekejaman itu. Dalam novel ini, misalnya, di samping sangat ramai yang cemas dan menyerah, tapi masih tetap ada watak yang gigih lawan, mempercayai bahawa maruah manusia wajar dipelihara dan dipertahankan. Kisah yang penuh gusar ini penulis landaskan secermatnya daripada serpihan pengalaman sebenar yang pernah beliau alami pada dekad yang sungguh menginsafkan itu.















Reviews
There are no reviews yet