Pameran Alegori: Ekspresi Seni Kontemporari Berasaskan Manuskrip Melayu bertujuan menampilkan peranan manuskrip Melayu dan sumber bertulis sebagai khazanah kearifan Melayu yang kaya, mencakupi pelbagai bidang umpamanya pertukangan, pelayaran, undang-undang dan ketatanegaraan, serta meneroka unsur kesenian sumber-sumber ini. Salah satu contoh yang baik khazanah ini ialah cap mohor Melayu yang pada zaman silam berfungsi seperti kartu nama pada hari ini yang mempamerkan, melalui teks dan lukisan grafik, citra yang ingin diunjurkan seseorang ke dunia luar, malah sering juga menyampaikan lebih daripada apa yang ditulis.
Pameran ini meneroka pemikiran metaforika Melayu seperti yang tertera dalam penulisan manuskrip Melayu dan hasil karya daripada kepandaian orang Melayu dalam bidang pertukangan dan pembuatan. Karya-karya yang dihasilkan daripada dua tradisi ini meliputi pelbagai bidang ilmu yang menjadi asas kepada pandangan alam, sekali gus membentuk dasar identiti bangsa Melayu.
Sejumlah 10 karya seni instalasi yang menampilkan kesatuan dalam interpretasi terhadap tradisi oleh beberapa seniman nusantara akan dipamerkan. Melalui karya-karya mereka, Nasirun, Alwin Reamillo, Titarubi, Htein Lin, Nguyen Phuong Linh, Samsudin Wahab, Mohd Azlan Mohd Latib, Andrialis Abdul Rahman, Nur Aniza Mohd Lazim, Intan Natasha Abdul Azim, Fadzil Idris dan Syafiq Ali’am mengungkapkan bahawa seni instalasi tidak hanya wujud dalam dunia seni Barat, tetapi telah berakar umbi dalam korpus kepandaian bangsa Melayu semenjak sekian lama. Justeru, karya-karya dalam pameran ini adalah ekspresi-ekspresi kritis yang menjentik khalayak mengambil bahagian dalam meninjau semula nilai estetika budaya sendiri.
Reviews
There are no reviews yet