Out of stock

Detik-Detik Diri di Daerah Daif

SHAHNON AHMAD (1933–2017) adalah seorang penulis Malaysia yang mendapat gelaran Sasterawan Negara pada 1982 serta merupakan bekas Ahli Parlimen. Beliau juga merupakan seorang Profesor Emeritus di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

DBP (Cetakan Kelima, 2018)
189 halaman

RM20.00

Out of stock

ISBN: 9789836221117 Product ID: 4373 Subjects: , Sub-subjects: ,

Detik-Detik Diri di Daerah Daif menyingkap pengalaman dan liku-liku hidup seorang Sasterawan Negara secara jujur, dan berterus terang. Sikap hidup masyarakat Banggul Derdap yang daif, tetapi kaya dengan semangat bergotong-royong membawa suatu nostalgia yang manis dan mengharukan rasa kepada penulis. Autobiografi ini merupakan tunjang daya kreativiti Shahnon Ahmad. Setiap hasil karyanya dapat disingkap menerusi autobiografi Detik-Detik Diri di Daerah Daif. Semalam, rumahku didatangi dua orang tetamu; gemulah bapa dan gemulah emak. Bapa berpakaian putih dan mukanya berseri suci murni. Emak juga berpakaian putih dan mukanya pun berseri suci murni juga. Bapa tidak berkata apa-apa, tidak memberi salam, tetapi tersenyum lebar. Emak juga tidak berkata apa-apa, tidak memberi salam, tetapi tersenyum lebar juga. Kemudian, mereka berpaling, berjalan pergi dan tidak paling-paling. Aku terjaga. Dinihari begitu sepi, begitu lengang. Aku tidak menerima salam daripada bapa, juga daripada emak dan aku juga tidak berupaya memberi salam kepada bapa, juga kepada emak.

Besoknya, aku mulalah mencatat apa yang teringat olehku tentang diriku sewaktu kecil di kampung. Ingatan-ingatan itu sering putus-putus, sering robek-robek dan sering berbaur berkabur. Kampung kelahiranku itu terlalu banyak membijaksanakan aku. Dan gemulah bapa, bersama-sama gemulah emak, bersama-sama gemulah-gemulah lain serta alam sekitar tidak jemu-jemu menjiwai kampung kerdil kami yang daif itu dengan kebijaksanaan, penderitaan dan kelucuan yang memaknakan kehidupan ini.

Inilah, aku namakan catatanku ini Detik-detik Diri di Daerah Daif sebagai salam-salam untuk bapa dan emak yang tidak sempat aku memberinya pada dinihari itu. Juga salam untuk gemulah-gemulah lain yang telah banyak memberi erti kepadaku tentang makna angin dan badai, kemarau dan banjir, tanah dengan cacing-cacingnya, bukit bukau dengan kehijauannya dan gunung-ganang dengan puncak dan lurah-lurahnya.

Gemulah bapa! Gemulah emak! Gemulah-gemulah! Datangilah lagi rumahku dan berilah salam. Aku akan menerima salam itu dan aku akan memberi pula salamku. Sementara bertemu lagi terimalah dulu Detik-detik Diri di Daerah Daif ini sebagai salamku. Ingat-ingatku, kampung kelahiranku ini sudah begitu wajahnya. Begitu kulit belulangnya dan begitulah isi perutnya. Rumah-rumah yang berdindingkan papan sayung dan beratapkan bertam dengan tangga-tangga yang dibuat daripada buluh sigai atau batang kayu yang ditebuk-tebuk takahnya, atau sekadar dua batang kayu bulat bersilang berselerak di kaki bukit, tapi bukit ini pun hanya sebelah saja membentengi kampung kami itu; malah ia bukan sangat bukit, juga bukan sangat tanah mendatar. Ada bonggol-bonggolnya. Ada cunggang-cunggitnya. Ada pula payanya. Jauh ke dalam, banyak pula harimau, babi dan pelanduknya yang kadang-kadang keluar masuk kampung kami mencari habuan.

Tapi, bukit yang tidak bukit dan paya yang tidak paya ini, banyak benar meninggalkan kenangan yang manis-manis. Dan juga yang pedih-pedihnya. Di sinilah kami berdenak tekukur, menciding atau menepuk pelanduk atau napuh, naik mencari rotan saga, kayu api, kayu meranti membuat tiang rumah. Kadang-kadang terjerembab harimau akar, lari lintang-pukang terjun paya dan terjun bukit.

Tetapi begitulah Banggul Derdap yang terasing, yang terletak dalam daerah Sik, dalam negeri Kedah Darul Aman. Daerah yang paling luas sekali, tapi juga paling tidak membangun. Ingatan masa lampau benar-benar mengharukan kerana Banggul Derdap banyak memberi makna yang asas tentang kehidupan yang penuh pancaroba ini. Tentang berjuang siang malam untuk sesuap nasi, tentang ketawa yang panjang dan juga tangisan yang bersambungan, tentang kematian lepas seorang, seorang. Tentang sungai yang hidup memberi makna yang luas berkaitan pengalaman, tentang kerbau lembu yang gemuk, tetapi juga menjadi mangsa dicurah cuka getah apabila datang fiil untuk bergocoh disebabkan hal-hal kecil yang remeh-temeh. Tentang kemarau panjang yang meretakkan kulit kepala dan kemudian tentang hujan yang lebat yang melemaskan segala. Tentang ramainya apabila berkenduri-kendara, bergotong-royong membuat titian buluh berkampuh, tentang seronoknya apabila berendoi atau masuk jawi, tentang sedihnya apabila orang tua mati dan mati berpenyakit busung, cacing kerawit dan demam kepialu.

Banggul Derdap menyambut kedatangan pagi dan kedatangan malam penuh kesepian. Dan apabila azan maghrib dan subuh dilaungkan oleh bilal Lebai Debasa berkumandang dari balaisah tua yang terletak di pinggir bukit yang agak rata, anak buah Banggul Derdap pun turut menyembah Allah. Datang untuk berjemaah di balaisah yang telah lama didirikan. Tetapi, banyak juga yang tidak sembahyang. Asyik dengan denak tekukur, jebak napuh, dan ragau ikan sehingga lupakan Allah. Atau banyak juga yang cangkung-cangkung atas bendul mengampu kemaluan masing-masing. Tetapi, Banggul Derdap hidup dan berkembang sehinggalah sekarang ini. Telah banyak yang terhakis peribadinya; dihakis dan dilumatkan oleh kemajuan dan pembangunan, kononnya. Di Banggul Derdap yang serba daif dalam segala hal inilah ibu melahirkan aku.

Weight0.230 kg
Dimensions21.5 × 14 × 1 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

5.0
Based on 2 reviews
5 star
100
100%
4 star
0%
3 star
0%
2 star
0%
1 star
0%
  1. Anonymous (store manager)

    (0) (0)
  2. Muhammad Hazim (Verified Reader)

    (0) (0)

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.

More from this Author

  • Weltanschauung: Suatu Perjalanan Kreatif

    Weltanschauung: Suatu Perjalanan Kreatif

    RM60.00
  • Tivi

    Tivi

    RM15.00
  • Sutan Baginda

    Sutan Baginda

    RM18.00
  • Seketul Hati Seorang Pemimpin

    Seketul Hati Seorang Pemimpin

    RM25.00