Shahnon Ahmad

Shahnon Ahmad sebagai pengarang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia kesusasteraan Melayu. Beliau bukan sahaja terkenal kerana novelnya Ranjau Sepanjang Jalan dan Rentong, atau kerana kerap kali memenangi Hadiah Karya Sastera, atau kerana beliau seorang sarjana di Universiti Sains Malaysia, tetapi kerana beliau ialah seorang penulis berbakat, serius dan mempunyai falsafahnya sendiri. Shahnon bukan menulis hasil-hasil kesusasteraan hanya untuk bersastera semata-mata, tetapi beliau adalah seorang pencari yang sentiasa mencuba memperbaiki seninya dengan pelbagai gaya dan pendekatan, meneroka ke alam fikiran untuk memperkayakan lagi isi karangannya, dan sentiasa mempertimbangkan falsafahnya sebagai seorang penulis Sehingga benar-benar mencapai kebenaran.

Pendidikan awal yang diterimanya adalah di sekolah Melayu di Sik dan lulus darjah V pada tahun 1946. Kemudian beliau melanjutkan pelajarannya di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, hingga lulus Sijil Persekolahan. Beliau menjadi guru dan mengajar di Grammar English School, Kuala Terengganu pada tahun 1954. Dari tahun 1955 hingga tahun 1956, beliau bertugas sebagai Pegawai Tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan. Satu kemalangan telah menyebabkan beliau berhenti daripada lapangan tentera dan bertugas semula sebagai guru dan mengajar bahasa Inggeris di Sekolah Melayu Gunung dan Sekolah Bukit Besar, Kedah dari tahun 1957 hingga tahun 1959. Pada tahun 1960, Shahnon menjadi guru bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid hingga tahun 1963. Kemudian beliau berpindah ke Jenan, mengajar sastera di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim hinggalah ke tahun 1967.

Pada tahun 1968, beliau berangkat ke Canberra, Australia dan bertugas sebagai pegawai penyelidik di Australian National University. Beliau mengambil kesempatan itu untuk terus menuntut di sana sehingga memperoleh ijazah sarjana muda pada tahun 1971. Sekembalinya ke tanah air, Shahnon menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim dan tidak lama selepas itu, ditawarkan berkhidmat di Universiti Sains Malaysia sebagai pensyarah pada tahun 1974. Di sinilah beliau memperoleh Sarjana Sastera pada tahun 1975. Shahnon kemudiannya dilantik menjadi Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan sejak awal tahun 1979. Mulai Jun 1980, Shahnon dilantik sebagai Profesor Sastera Universiti Sains Malaysia. Pada tahun 1982, Shahnon dilantik pula menjadi profesor penuh di universiti yang sama. Kemudian Shahnon dilantik menjadi Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia.

Shahnon Ahmad dalam kesusasteraan Melayu moden merupakan tokoh penulis yang penting dan yang amat banyak diperkatakan. Karya awalnya berupa terjemahan tersiar dalam majalah Mastika dan selepas itu, terus bergiat dalam dunia penulisan terutama cerpen, novel, dan esei serta kritikan. Walaupun Shahnon telah meneroka hampir kesemua bidang penulisan, tetapi beliau mengaku bahawa menulis puisi dan drama dirasakannya amat canggung. Kekuatan beliau ternyata terletak dalam penulisan cerpen dan novel dan akhir-akhir ini pula dalam bidang esei dan kritikan.