Kajian dan Perkembangan Bahasa Melayu

ASMAH HAJI OMAR adalah pakar nahu Bahasa Melayu dan tokoh terkenal dalam bidang perancangan bahasa. Beliau juga Profesor Kerusi Tamadun Melayu Za’ba dan Pengarah Institut Tamadun Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

DBP (Edisi Kedua, 2010)
330 halaman termasuk Indeks

RM45.00

In stock

Kajian dan Perkembangan Bahasa Melayu memperagakan perkembangan bahasa Melayu dan juga perkembangan kajian terhadap bahasa Melayu dari segi sosiolinguistik serta sistemik, di samping mencuba menerapkan beberapa kaedah kepada aspek-aspek tertentu dalam bahasa Melayu. Edisi pertama buku ini diterbitkan dalam tahun 1992. Jangka masa 18 tahun (sehingga tahun Edisi Kedua diterbitkan) yang telah berlalu itu tentulah membawa sedikit banyak perubahan dalam penggunaan bahasa Melayu, terutama sekali dari segi istilah serta idiom yang digunakan oleh penyelidik dan penutur bahasa. Oleh sebab itu, dalam menyelenggarakan edisi kedua ini, beberapa ubahsuai terpaksa dilakukan pada bahasa yang menjadi perantara ilmu yang terkandung dalam bab-bab dalam buku ini. Sedarlah penulis bahawa bahasa Melayu sendiri memerlukan proses kemas kini supaya sesuai dengan zaman.

Walau bagaimanapun, ubahsuai sekadar istilah dan gaya bahasa sahaja; kandungan kesemua bab yang terdapat dalam edisi pertama itu tetap seperti dahulu juga. Agar sesuai dengan nama edisi ini sebagai edisi kedua, empat bab baru telah ditambahkan kepada kandungannya. Ini menjadikan 15 bab semuanya. Keempat-empat bab baru ini merupakan ucap utama yang telah penulis sampaikan dalam seminar-seminar tertentu, dan tidak pernah diterbitkan di mana-mana pun juga. Penulis merasakan perlunya memasukkan bab-bab ini, kerana tiap-tiap satunya mengemukakan aspek-aspek Melayu; dan penyelidikan berkenaan dengan penyakit, penyakit ujaran seperti afasia, dan sebagainya.

Dalam edisi ini, penulis turut menyertakan sebuah esei yang ditulis sebagai penghormatan untuk Pendeta Za’ba, ahli bahasa Melayu yang terkenal itu. Esei ini meninjau pemikiran linguistik yang ada pada tokoh tersebut dan penerapan kaedah linguistik dalam karyanya Pelita Bahasa Melayu, sungguhpun beliau sendiri tidak pernah menggunakan istilah “linguistik”.

Sebelum tahun 1972, sistem ejaan standard belum ada. Universiti Malaya mempunyai sistem ejaan sendiri; Dewan Bahasa menggunakan sistemnya sendiri; di sekolah murid-murid belajar sistem ejaan Za’ba; dan di luar sekolah apa sahaja sistem boleh diterima. Cuma mulai bulan Ogos 1972, kita mempunyai sistem ejaan yang standard yang kita kenal sekarang ini. Dapat dikatakan bahawa setelah mengalami berbagai-bagai liku pelaksanaannya, sistem ejaan itu sudah agak mantap sekarang ini. Kita tidak dapat menafikan bahawa di sana sini ada ejaan kata-kata tertentu yang masih belum mantap, tetapi sistem ejaan manakah yang seratus peratus sempurna?

Kita yang pernah bersama-sama mengharungi zaman “gara-gara” ejaan itu harus berasa lega bahawa zaman itu sudah berlalu, dar bahawa adanya sistem ejaan yang standard itu sangat sangat membantu dalam perancangan bahasa di Malaysia. Pengajaran bahasa Melayu boleh dijalankan dengan baik penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran boleh diterapkan dengan lebih cekap; dan penghasilan bahan-bahan penerbitan boleh dilakukan dengan lebih yakin. Selain dari itu, adanya sistem ejaan yang standard itu sungguh membantu dalam penggubalan istilah. Sungguhpun bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan sejak tahun 1957, tetapi kegigihan dalam pengajaran bahasa Melayu di luar bilik darjah sekolah kebangsaan baru betul-betul kelihatan mulai tahun 1970.

Dalam tahun itu, jika kita masih ingat, Darjah Satu di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Inggeris diajar dalam bahasa Melayu. Inilah takuk permulaan peralihan sekolah-sekolah Inggeris menjadi sekolah kebangsaan. Walau apa pun kelemahan yang didapati dalam rancangan pengajaran bahasa Melayu di berbagai-bagai peringkat, kita tidak seharusnya menafikan kenyataan bahawa kita sudah mencapai kejayaan dalam usaha ini, dalam erti kata bahasa Melayu sudah dapat berdiri sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan.

Kejayaan dalam usaha ini hendaknya tidak diperkecil-kecilkan atau dianggap tidak ada sama sekali semata-mata kerana kita (dengan menggunakan ukuran-ukuran tertentu) tidak dapat menerima apa yang dikatakan “pencemaran-pencemaran” yang berlaku dalam bahasa. Tidak ada bahasa yang tidak tercemar, tidak ada manusia yang tidak membuat kesilapan. Sering juga kita mendengar ulasan-ulasan yang mengatakan bahawa kita harus kembali menggunakan bahasa Sejarah Melayu, supaya kita dapat menggunakan bahasa Melayu yang jati. Seandainya, kita betul-betul mengkaji bahasa Sejarah Melayu, dan kita menganuti konsep “pencemaran bahasa”, maka kita akan dapati bahawa bahasa tersebut adalah di antara bahasa yang paling tercemar, yakni dicemari oleh bahasa Sanskrit dan bahasa Jawa.

Prakata Edisi Kedua
Prakata Edisi Pertama

Bab 1 Falsafah Bahasa Sepanjang Zaman

Bab 2 Kajian Linguistik Melayu Hingga Kini

Bab 3 Penyelidikan Terkini dalam Ilmu Bahasa dengan Tumpuan kepada Pengajaran Bahasa

Bab 4 Perkembangan Bahasa Melayu Masa Kini dan Masa Hadapan

Bab 5 Pemasyarakatan Bahasa Malaysia: Ke Arah Pelaksanaan yang Lebih Berkesan dengan Rujukan Khusus kepada Sarawak

Bab 6 Bahasa Tabii sebagai Bahasa Ilmu: Meninjau Arus Perkembangan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu

Bab 7 Bahasa Baku: Ke Mana Arahnya?

Bab 8 Faktor Psikolinguistik dan Sosiolinguistik dalam Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa

Bab 9 Bahasa dan Perkembangan Mental

Bab 10 Retorik dan Selindungan dalam Bahasa Iklan Perniagaan

Bab 11 Za’ba dan Ilmu Linguistik: Satu Tinjauan Mengenai Aspek-Aspek Bahasa yang Diutarakannya

Bab 12 Bahasa Sebagai Pemangkin Komunikasi

Bab 13 Taksonomi Pertemuan Bahasa: Di Manakah Letaknya Bahasa Rojak?

Bab 14 Kajian Dialek Melayu

Bab 15 Penterjemahan: Pemindahan Sistem Semiotik

Indeks

Weight0.453 kg
Dimensions21.6 × 14 × 1.9 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.