Kehormatan Agama Islam Kepada Akal 18 July 2018 – Posted in: Book Excerpts
Agama Islam adalah menghormatkan akal1 dan menanggungkan ke atasnya pada mengetahui adanya Allah Subhanahu Wataala dan kudrat kuasa-Nya di dalam kejadian alam yang luas ini.
Agama Islam adalah menyeru manusia pada mengaku adanya Tuhan yang telah menjadikan segala alam ini serta mengaku akan ketunggalan-Nya. Adapun seruan-Nya kepada perkara yang amat besar ini dihadapkan kepada akal semata-matanya. Dijaga-Nya akal sekalian manusia yang telah lama di dalam ketiduran mereka beberapa lama masanya yang lampau; digemarkan-Nya akal tiap manusia itu pada mengerjakan kewajipannya kemudian daripada lalainya beberapa masa yang lama: ditunjuk-Nya akal tiap-tiap manusia pada jalan menggunakan kiasan-kiasan yang benar, memperhatikan kejadian alam yang maha besar ini dengan menjalankan fikiran atas apa-apa yang terkandung di dalam tiap-tiap kejadian Tuhan, yang sangat-sangat halus peraturannya dan amat ajaib susunannya dengan bergantung tiap-tiap suatu sebab kepada mensebabkan dia.
Selalu ditunjukkan oleh agama Islam akan akal manusia itu kepada berfikir atas kejadian-kejadian langit dan bumi, memperhatikan apa-apa yang ada di dalam tiap-tiap satu daripada perkara-perkara dan kejadian-kejadian yang membawa ibarat kiasan dan tanda-tanda yang menunjukkan bahawa tiap-tiap suatu itu ada yang menjadikan dia, kerana yang demikian adalah tujuan-Nya hendak menggemarkan akal manusia itu kepada membahas dan menyiasat akan asal tiap-tiap suatu perkara atau hal yang ada atau berlaku di dalam peredarannya dan mengetahui apa yang sebenar tujuan dan peraturannya.
Allah Taala berfirman di dalam Quran-Nya, demikian lebih kurang maknanya: “Jikalau ada di dalam kedua-dua (yakni, bumi dan langit ini) beberapa tuhan yang lain daripada Allah Taala nescaya binasalah kedua-duanya sekali.” Kerana telah termaklum oleh akal yang sejahtera bahawa tiap-tiap sebuah pemerintahan atau kerajaan jika ada dua raja yang kedua-duanya berkuasa menjalankan kuatkuasa mereka di dalam pemerintahan atau kerajaan itu, maka tidak syak lagi binasalah pemerintahan atau kerajaan itu.
Oleh sebab perjalanan alam ini adalah dengan peraturan yang satu dan tetap, selama-lamanya tidak berubah walau sedikit jua pun melainkan dengan sebab-sebab yang telah ditentukan itu, maka telah memastikan akal manusia itu menerima akan kebenaran bahawa yang mengedari alam ini dan yang berkuasa di dalamnya hanyalah satu dan tunggal, tiada sekutu bagi-Nya sekali-kali. Firman Tuhan di dalam Quran Al-Aziim, menyeru akan akal manusia kepada memperhatikan kudrat kuasa-kuasa ketuhanan-Nya pada kejadian alam ini dan peredarannya adalah seperti berikut maknanya lebih kurang:
“Bahawasanya di dalam kejadian segala perkara yang di sebelah atas (langit) dan bumi, dan perselisihan yang senantiasa di antara malam dan siang hari, dan perjalanan segala perahu-perahu dan kapal-kapal di dalam lama dengan memberi beberapa kegunaan kepada sekalian manusia, dan barang yang diturunkan oleh Allah dari langit daripada air hujan, maka menghidap dengannya akan bumi dan menghamburkan padanya daripada serba jenis binatang, yang hidup dengan sebab tumbuh-tumbuhan daripada bumi yang tumbuh, kerana kedatangan hujan itu, dan bertiup sena beredar angin dan awan yang berjalan di antara langit dan bumi itu, ialah sesungguhnya menjadi tanda-tanda ada-Nya dan tunggal-Nya serta kuatkuasa Tuhan bagi sekalian kaum yang berakal.”
Tiadalah, agaknya, berkehendak lagi kepada huraian yang lebih lanjut lagi di sini kerana tentulah sekalian ahli-ahli akal boleh mendapati dengan ujian akal fikirannya sendiri bahawa kejadian-kejadian langit dan bumi, malam dan siang yang bergilir-gilir datangnya setiap hari dengan tiada pernah berubah walau sekalipun selama beribu-ribu tahun sudah, dan perjalanan segala perahu-perabu dan kapal-kapal di dalam lautan yang besar itu dengan senang sahaja, dan kedatangan hujan dari langit yang amat memberi guna bagi muslihat kehidupan yang mendiami di muka bumi ini, pada menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang menjadikan makanan bagi kehidupan, segala binatang dan manusia, dan berdegar pula angin daripada satu pihak dengan peredaran awan yang sangat-sangat mudah nampaknya berjalan di awang-awang itu, maka tidak syak lagi sekaliannya ini boleh menjadi senyata-nyata tanda alamat yang mempersaksikan benar bahawa segala hal-hal kejadian ini tidak boleh jadi dengan sendirinya jika tidak yang menjadikannya.
Maka sudah tentulah akal akan berkata dan mengaku benarnya bahawa yang menjadikan segala perkara-perkara yang sangat-sangat ajaib ini tentu sekali daripada yang sangat-sangat ajaib ini tentu sekali daripada yang sangat-sangat berkudrat kuasa lagi tunggal keadaan-Nya di dalam pemerintah-Nya dan yang wajib dipertahankan dan ditaati akan segala tegahan larangan-Nya serta merendahkan diri ke hadrat-Nya dengan sepenuh ketulusan hati. Firman Tuhan lagi di dalam Quran, demikian lebih kurang maknanya: “Apa tidakkah melihat sekalian mereka yang telah mengingkarkan ketuhanan-Nya bahawasanya langit dan bumi ini adalah kedua-duanya bercantum, maka telah Kami ceraikan keduanya, dan telah Kami jadikan daripada air yang terbit daripada bumi dan yang turun daripada langit itu tiap-tiap suatu itu hidup daripadanya, maka apa tidakkah juga hendak percaya mereka akan ketuhanan Kami yang tunggal pada mengedari alam ini?”
Setelah sempurna keyakinan atas yang demikian, maka dapatlah akal itu menjalankan lagi fikirannya dengan menaruh kepercayaan atas bahawasanya yang menjadikan langit dan bumi inilah yang telah menceraikan di antara keduanya itu dan menjadikan bahagian-bahagian di sebelah atas dan di sebelah bawah dan kemudian dijadikan-Nya sekalian kehidupan-kehidupan yang mendiami di muka bumi Ini.
Apa, dapatkah lari lagi akal yang menuntut kebenaran, daripada mengaku bahawa sebenar-benarnya ada Tuhan yang sangat-sangat berkuasa atas tiap-tiap suatu dengan sebab ada segala tanda-tanda kudrat kuasa-Nya itu dipandang dan dapat dirasa serta dapat diperhatikan dengan mata kepala dan mata hati yang menggunakan akal.
Sebenar-benarnya segala ayat-ayat Quran itu diturunkan oleh Tuhan kepada Rasul-Nya, Sayyidina Muhammad (s.a.w) kerana menyeru sekalian manusia supaya masing-masing menggunakan akalnya dengan jalan menggunakan kekuatannya yang semula jadi, ertinya dengan kebebasan kekuasaannya sendiri—bukan dengan paksaan orang-orang yang berkuasa—supaya dengan yang demikian mengetahuilah ia, dengan petunjuk dan pendapatan akalnya yang bebas bahawa bagi segala kejadian alam yang sangat-sangat elok dan sangat-sangat tetap susunan peraturannya itu tak dapat tiada tentulah ada yang menjadikannya, kerana mustahil sekali boleh jadi sesuatu benda itu dengan sendirinya dengan tidak ada yang menjadikannya.
Bahkan tidak syak lagi bahawa yang menjadikan alam yang sangat-sangat elok besar dengan susunan peraturannya yang amat elok pula itu tentu sekali wajib ada-Nya dan tunggal keadaan-Nya, tiada sesiapa yang bersekutu dengan-Nya di dalam kekuasaan-Nya. Oleh sebab itulah maka tetap susunan peredaran perjalanan alam ini daripada mula jadinya tiada pernah berubah atau berselisih melainkan atas kadar menurut segala sebab-sebab yang telah dijadikan-Nya kerana yang demikian. Bahkan sabitlah pada akal bahawa yang menjadikan alam yang sangat-sangat pelik ini ialah Tuhan yang wajib dipertuhankan oleh tiap-tiap manusia yang berakal, kerana Tuhan inilah yang hidup, tunggal, berkudrat, mengetahui akan tiap-tiap suatu dan wajib ada-Nya. Bahkan Tuhan ini tentu sekali bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan.
Apabila telah didapati oleh akal biasa dengan kuatkuasanya yang sepenuh yang demikian ini nescaya tunduklah segala selera anggota seseorang yang mempunyai akal itu, dengan sendirinya, kepada hak kebesaran Tuhan Yang Maha Tinggi ini dan beragamalah dia dengan tiada dapat tiada akan segala hukum-hukum yang dihukumkan oleh Tuhan itu.
Beginilah kehendak agama Islam dan demikianlah tuntutannya dan dengan sebab inilah Tuhan telah berfirman di dalam Quran-Nya, demikian lebih kurang ertinya: “Tiada paksa pada agama Islam sekali-kali.” (Kehendaknya: Adalah pekerjaan agama ini hanya dengan seruan yang memasukkan ke dalam akal seseorang, yang cukup sempurna kebebasannya pada menerima apa-apa yang dikata oleh akalnya). Dan firman-Nya lagi demikian lebih kurang maknanya: “Katalah olehmu, ya Muhammad, bermula benar itu daripada Tuhan kamu, maka barang siapa yang suka biarlah ia beriman dan barang siapa yang tidak suka biarlah ia jadi kafir.” (Kehendaknya: Serulah atau terangkanlah apa-apa yang datang daripada Tuhan engkau, hai Muhammad, sehingga diterima oleh akal orang-orang yang mendengarnya, kerana kebenaran itu terhimpun di dalam apa-apa yang telah diturunkan oleh Tuhan ke atas engkau, kemudian tinggalkanlah kebebasan tiap-tiap seorang itu menjalankan akalnya, jikalau suka ia, biarkanlah ia beriman dan jika tidak biarkanlah ia tinggal di dalam keingkarannya).
Di dalam pada itu pun tiadalah agama Islam ini terhenti sehingga yang tersebut itu sahaja, ertinya setakat menyeru akan akal manusia itu sahaja, akan tetapi telah diberinya kepada akal tiap-tiap manusia itu suatu perkara yang lebih besar lagi, iaitu telah disuruh dan dijadikannya berfikir dengan akal segala perkara yang dijadikan oleh Tuhan orang-orang yang memperingatkan Dia pada masa duduk, berdiri dan berbaring, yakni beribadat akan Dia, kerana dengan sebab perhatiannya itu tentulah seseorang itu akan mengetahui wujudnya Tuhan, yang sangat-sangat berkudrat kuasa sehingga boleh mengaku ia akan kesucian Tuhan itu daripada tiap-tiap perkara yang boleh bersekutu dengan Dia dan mengetahui ia akan kegunaan tiap-tiap suatu kejadian yang dijadikan oleh Tuhan itu adalah bagi kebajikan sekalian manusia, dan berseru-serulah ia kelak akan Tuhannya memohon memelihara akan dia daripada azab-Nya di dalam akhirat.
Demikianlah sedikit daripada beberapa banyak kenyataan-kenyataan, yang boleh dapat diketahui oleh orang-orang yang hendak membahas dan memeriksa bangunan agama Islam, yang dibawa oleh Junjungan kita Muhammad ibn Abdullah, alaihi wa-ahlihi afdhalussalaatu wassalaam, ini daripada permulaannya bagaimana ia menaburkan benih iman itu dengan senangnya diterima oleh ahli-ahli akal yang sempurna pada zamannya. Oleh itu maka hendaklah tiap-tiap manusia menggunakan akal di dalam tiap-tiap amalan agama ini terlebih dahulu daripada yang lainnya kerana tiap-tiap amalan yang tiada diterima oleh akal itu sia-sia sahaja.
1. Petikan fasal (bab) pertama buku Agama Islam dan Akal (1931)
Excerpt Source
Samat, T. (1992). Syed Syeikh Al-Hadi: Sasterawan Progresif Melayu. 1st ed. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, pp.140-144.