Karya Hemingway Ini Mengajar Untuk Kita Lebih Menghargai Karya Anak-Anak Seawal Usianya! 12 October 2017 – Posted in: Buzz
Karya ‘Kita akan pergi ke Eropah’ mungkin menjadi permulaan kepada karya fiksyen pertama Ernest Hemingway. Karya ini ditemui pada bulan Mei di Florida dan dipamerkan kepada awam pada bulan lepas dalam arkib yang disimpan oleh keluarga yang rapat dengan keluarga Hemingways. Satu halaman dalam buku nota bertarikh ‘Sep 8 ‘09′ kelihatan seperti catatan diari Hemingway yang berumur 10 tahun pada ketika itu.
Sandra Spanier, profesor bahasa Inggeris dan editor umum Hemingway Letters Project, melihat buku catatan tersebut pada bulan Mei yang lalu dan menyedari bahawa itu bukanlah catatan travelog, sebaliknya ialah imaginasi Hemingway. Pada usia semuda itu, tulisan Hemingway tersebut telah menunjukkan ciri-ciri seorang penulis.
Hemingway juga ada mengatakan bahawa kaedah yang digunakannya adalah untuk mencipta dari pengalaman dan dia sering meletakkan watak-wataknya dalam landskap yang digambarkan secara realistik.
Dengan penemuan ini menjadikan sebuah lagi karya berharga telah berjaya ditambah ke dalam senarai karya artistik yang dicipta oleh kanak-kanak. Kesemuanya ini membuatkan kita merasakan bahawa kita sepatutnya bermula lebih awal.
Di sini adalah contoh-contoh terbaik lagenda lain untuk kita perhatikan :
Jane Austen
Karya-karya awal Jane Austen bermula dari sewaktu dia berusia 11 atau 12 tahun dan meliputi pelbagai kisah dan parodi yang digambarkan sebagai ‘kisah-kisah ekspresionistik seksual yang menyalahi undang-undang – tentang wanita mabuk dan keganasan’.
Menurut Prof Kathryn Sutherlanda dalam tulisannya untuk Perpustakaan British, bukan susah untuk menemui jejak heroin hebat dari eksperimen awal ini dalam novel-novelnya selepas itu.
Melalui karya-karya tersebut, ia jelas menunjukkan betapa teliti dan betapa awal pembacaan kritikal menunjukkan wataknya sebagai seorang penulis.
Mozart
Mozart mencipta karya muzik pertamanya sewaktu berusia empat hingga lima tahun. Ianya merupakan karya pendek yang dicatat oleh bapanya.
Beliau menghasilkan Symphony No 1 hanya sewaktu berusia lapan tahun.
Ian Page – konduktor muzik yang kini memulakan misi memainkan semula kesemua muzik-muzik Mozart – pernah mengulas tentang muzik pertama Mozart dengan mengatakan karya tersebut seolah-olah tidak asli, seakan salinan daripada karya sempurna rakan-rakan baiknya, namun ia tetap mempunyai gaya dan keasliannya yang tersendiri.
Virginia Woolf
22 Hyde Park Gate, London, rumah yang didiami Virginia (Woolf), Vanessa (Bell) dan adik mereka Thoby Stephen sewaktu kanak-kanak – juga merupakan pejabat editorial Hyde Park Gate News, iaitu majalah yang dihasilkan oleh tiga beradik ini.
Majalah ini digambarkan dengan dipenuhi pelbagai perkara dan penuh semangat dengan cerita-cerita komik, gosip dan teka-teki, ia diterbitkan dari tahun 1891 – ketika Virginia berusia 10 tahun – hingga 1895.
Beberapa tema dan peristiwa yang kemudiannya dibawa ke novel Virginia boleh dikenalpasti dan menurut penulis biografi Hermione Lee, “Ianya jelas, nyata, dan menarik, yang menunjukkan tanda awal salah seorang penulis diari terhebat dunia.”
Pablo Picasso
Salah satu daripada lukisan pertama Picasso adalah patung Hercules yang dimiliki oleh bapanya, dicipta ketika dia berusia sembilan tahun.
Picasso sendiri pernah menegaskan bahawa beliau tidak pernah membuat lukisan kanak-kanak. Beberapa lukisan zaman kanak-kanaknya yang lain juga masih selamat disimpan.
“Ianya amat menarik untuk melihat hasil seni yang hebat dalam karya Picasso. Ianya adalah sesuatu yang dijangkakan dari seorang kanak-kanak yang sangat berbakat,” tulis John Richardson dalam biografi tentang Picasso.
Dahulu, karya kanak-kanak tidak selalunya dilihat sebagai tanda genius. Apapun, berbaloi untuk menggantung lakaran, ukiran tembikar ataupun karya puisi anak-anak anda, agar para ilmuwan dapat memberikan kritikan pada masa akan datang apabila bakat sebenar mereka muncul.
Dengan sedikit olahan dari artikel asal bertajuk Can A 10-Year-Old Be A Genius? What Hemingway’s First Short Story Tells Us oleh Nur Azyyati Abdullah. Artikel asal diterbitkan oleh The Guardian bertarikh 2 Oct 2017.