The Parthenon of Books: Sebuah Simbol Penentangan Terhadap Pengharaman Buku! 15 October 2017 – Posted in: Buzz
Sebuah seni monumen yang dinamakan sebagai ‘The Parthenon of Books’ baru-baru ini telah dibina bersempena acara Documenta 14—sebuah acara kesenian kontemporari—yang berlangsung di Kassel, German.
Ia telah dinamakan bersempena dengan sebuah bangunan bersejarah di zaman Athens, Greek yang dinamakan sebagai Parthenon sekaligus menjadi simbolik kepada kerjasama erat di antara 2 bandar ini—Kessel dan Athens—dalam menjayakan acara Documenta kali ke-14 ini.
‘The Parthenon of Books’ ini telah dibangunkan oleh seorang artis dari Argentina, Marta Minujin dengan menggunakan lebih 100 000 salinan buku dari 170 tajuk buku yang sebelum ini telah diharamkan dan sebahagiannya masih diharamkan sehingga kini.
Ia menjadi satu simbol kepada pertentangan terhadap penapisan (censorship)—pengharaman buku, filem, karya seni atas apa sahaja alasan.
Monumen ini juga telah didirikan di atas tapak peristiwa pembakaran buku-buku di zaman Nazi dahulu. Paling kurang hampir 2000 buah buku telah dibakar oleh Nazi dalam peristiwa yang berlaku pada 19 Mei 1933 itu.
Apa yang lebih menarik, orang ramai boleh mengambil mana-mana sahaja buku yang telah digantung bersama monumen tersebut dengan percuma.
Acara ini telah berlangsung sehingga 17 September yang lalu.
Melihat kempen hebat sebegini, aktivis di Malaysia juga sudah boleh untuk mengambil langkah yang lebih proaktif untuk mengangkat tema kebebasan berkarya ini oleh sebab mutakhir ini pun banyak buku yang telah diharamkan tanpa sebab yang jelas dan munasabah.
Boleh tonton video terbitan Conde’ Nast Traveler ini untuk melihat ‘The Parthenon Of Books’ dengan lebih dekat.