Magis Muzik: Menuntun Kita Menjadi Siapa
Muzik & Lagu dalam Pembentukan Identiti Malaysia merupakan satu lagi forum dalam Menganyam Nusa II yang membuka ruang perbincangan tentang fungsi muzik dalam kehidupan berbangsa. Perbincangan ini cuba menjangkau anggapan muzik sebagai hiburan kebiasaan kerana para narasumber semuanya percaya bahawa muzik adalah lohong kuasa yang ada magisnya dalam masyarakat.
Ku Syafiq yang memudahcara meletakkan asas perbincangan dengan satu persoalan penting, “Kita mungkin berbincang tentang dasar kerajaan ataupun keadaan masyarakat yang mempengaruhi muzik, tapi kita jarang bincang bagaimana muzik mempengaruhi dasar kerajaan ataupun masyarakat kita.” Soalan Ku Syafiq ini mengubah titik dan menetapkan nada. Ia mengubah muzik daripada objek kepada subjek. Daripada hanya menjadi halwa kuping, kini ia menggegar struktur.
Salah satu premis pemula datang daripada Hasmi Hashim yang mengangkat konsep soft power dalam seni. “Muzik … baik filem, baik teater, atau apa pun kalau dalam sudut pandang politik dia dipanggil sebagai soft power … dan soft power tak boleh diukur perubahan dengan cara-cara lain yang biasa.”
Pandangan ini mengingatkan kita magis muzik bukan pada ukur kuantitatif, seperti undi pilihanraya, tetapi pada upayanya membentuk rasa dan menciptakan perubahan. Muzik dengan magisnya mampu mengubah. Walau dengan cara perlahan tapi mendalam. Ia meresap masuk melalui kehidupan sehari-hari, yang kemudiannya mencipta latar pengalaman bersama.

“Any lifestyle mesti ada muzik. Bola, kereta, memancing—apa saja budaya mesti ada muzik. Jadi susah saya nak setuju bila ada yang kata muzik tak membawa perubahan langsung.” Jelas Altimet.
Muzik dan budaya itu terjalin dan menjadi sebati sebagai satu gaya hidup masyarakat. Dan kerana dekatnya budaya dan muzik, tidak mustahil ia boleh menjadi penggerak kepada perubahan.
Bihzhu pula membawa bersama dimensi peribadi dan emosi. Pengalamannya menukarkan trauma gangguan seksual kepada sebuah lagu menunjukkan bagaimana magis muzik berfungsi. “Saya pernah kena seksual harassment, itu sangat pahit. Tapi sebab saya pemuzik dan penulis lagu, saya tukarkan keperitan itu jadi karya. Bila saya persembahkan lagu itu, ada seorang perempuan datang pegang tangan saya tanpa kata apa-apa. Itu impact paling kuat muzik pada hidup saya.” ‘Tainted Temple’ adalah sebuah lagu yang menjadi ruang sembuh dalam masa sama menyentuh emosi mereka yang mendengar.
Scene yang Terpisah-pisah
Realiti pasaran muzik di Malaysia, pendengar terpecah mengikut scene. Ada scene Melayu, Inggeris, Cina, Tamil dan yang lain juga. Realiti ini menimbulkan persoalan adakah perpecahan ini tanda kelemahan atau ia menjadi satu kekuatan?
Altimet memulangkan semula hal ini kepada individu. “Perpecahan ni persepsi orang. Kalau kau cari perpecahan, kau akan jumpa perpecahan … You nak lihat kepelbagaian ni sebagai satu kekuatan atau satu kelemahan?”
Pandangan Altimet ini sebenarnya mencabar naratif ramai yang melihat kepelbagaian adalah beban. Bagi Altimet, jika ia dilihat dengan semangat keterbukaan, kepelbagaian akan menjadi sumber kreativiti dan inovasi. Malah, Altimet juga secara sengaja merentasi pelbagai aliran muzik untuk belajar dan berkembang.
“Saya sendiri merentasi scene—hip hop, nasyid, pop. Dari situ saya belajar.”
Kenyataan ini menjelmakan satu hakikat iaitu kepelbagaian budaya dan bahasa di Malaysia tidak harus dianggap sebagai penghalang, sebaliknya peluang untuk membentuk identiti Malaysia yang lebih kaya dan berwarna.
Seperti apa yang dikatakan Bihzhu, “Malaysia memang berbilang bahasa. Kita tak ada monobahasa. Tapi kalau kita boleh ambil keunikan ini sebagai kekuatan, bukan kelemahan, itu akan jadikan kita special.”


Bihzhu, walau bagaimanapun tak ternafi pernah berhadapan dengan getir cabaran pasaran yang terpisah-pisah mengikut scene ini. “Bila saya buat lagu cover Melayu, contohnya ‘Cendering’, tiba-tiba profile saya naik. Baru nampak peluang lain terbuka.” Selain itu Bihzhu juga pernah ditolak daripda menyertai festival antarabangsa kerana “muka saya Cina, dianggap tak cukup Malaysian.”
Memori Kolektif menjadi Jambatan Emosi
Selain pengalaman individu dan kepelbagaian scene, identiti Malaysia juga terbina melalui apa yang Hasmi sebut sebagai memori kolektif. “Dalam sosiologi politik, kita tahu ada collective memory. Suatu bangsa itu terbangun kerana ingatan kita bersama.”
Memori ini bukan sahaja lahir daripada pengalaman sejarah, tetapi juga daripada budaya seharian seperti makanan, bahasa dan lagu-lagu ikonik seperti karya P. Ramlee. “Akhirnya yang akan menyatukan kita adalah lagu yang menjadi ingatan kolektif kepada seberapa ramai orang.” Lagu-lagu sebeginilah yang menjadi jambatan emosi yang mengikat masyarakat menjangkau garis perbezaan.
Hasmi Hashim juga mengajak untuk kita mempunyai sudut pandang yang berbeza dalam melihat identiti. “Saya tak minat dengan definisi identiti versi Dewan Bahasa. Tetapi tidak bermakna kita tak ada identiti. Kita perlu cari sudut pandang lain tentang identiti.”
Hal ini bertitik tolak daripada Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971—sebuah dasar yang berteraskan kebudayaan Melayu—sebagai salah satu percubaan untuk membentuk identiti nasional yang kesannya “melahirkan satu dikotomi berlebihan antara kaum” terlihat sehingga hari ini.
Menuntun Kita Menjadi Siapa
Akhirnya forum ini menegaskan satu perkara: Muzik mungkin tidak akan mampu mengubah dunia, tetapi ia mengubah manusia. Dan melalui manusia, dunia perlahan-lahan berubah.
Dari perspektif peribadi Bihzhu, Altimet dan Hasmi, kita belajar bahawa muzik ialah ruangan identiti Malaysia yang sentiasa dirunding dan diperbaharui. Sama ada ia melalui emosi, memori kolektif, kerencaman budaya atau dasar kerajaan, muzik akan terus berfungsi sebagai pengikat.
Sebagaimana yang dirumuskan Ku Syafiq, persoalannya bukan sekadar bagaimana dasar dan masyarakat mempengaruhi muzik, tetapi bagaimana muzik mempengaruhi dasar dan masyarakat. Di sinilah letaknya magis sebenar muzik dalam pembentukan identiti Malaysia. Ia tidak sekadar mencerminkan siapa kita, tetapi juga menuntun kita menjadi siapa.
