Hakikatnya Israel Menjajah Palestin—Ini Permasalahan Sebenar
Permasalahan Israel-Palestin bukan konflik. Bukan krisis. Bukan juga pertikaian. Menggunakan istilah konflik, krisis mahupun pertikaian hanya meremehkan hakikat permasalahan yang cukup gawat dan serius itu. Istilah pendudukan juga tidak cukup tuntas untuk menggambarkan realiti sebenar. Apa yang dilakukan oleh Israel ke atas Palestin adalah sebuah penjajahan. Noktah.
Menggunakan istilah yang tepat bersesuaian dengan fakta dan proses sejarah penjajahan yang telah terjadi ke atas bumi Palestin adalah suatu bentuk pengungkapan peristiwa sebenar. Ia turut mencerminkan nilai dan pendirian politik kita sebagai individu, masyarakat, NGO, kerajaan mahupun media massa dalam menanggapi permasalahan tersebut.
Hakikatnya Palestin dijajah oleh Israel. Penjajahan bukan sekadar konflik, krisis atau pertikaian. Tidak juga semata-mata pendudukan tetapi pendudukan yang dilakukan secara haram.
Dalam takrifan yang lebih menyeluruh penjajahan adalah penguasaan sebuah bangsa asing secara fizikal ke atas sebuah wilayah geografi yang bukan miliknya secara licik, tipu muslihat, kekerasan dan pemaksaan.
Penjajahan bukan hanya melibatkan penguasaan wilayah geografi tetapi juga merangkumi kawalan dan penguasaan sebuah bangsa asing ke atas kebebasan dan kemandirian masyarakat peribumi yang dijajahnya itu.
Dengan kata lain masyarakat peribumi kehilangan kemandirian untuk menentukan masa depannya sendiri akibat daripada penjajahan tersebut. Itulah yang telah dilakukan oleh Israel ke atas Palestin. Justeru, tidak ada istilah lain yang lebih tepat untuk memerikan permasalahan Israel-Palestin melainkan penjajahan.
Menelusuri penjajahan Israel ke atas Palestin akan menemukan kita dengan peranan Kerajaan British khususnya dan Tentera Berikat amnya. British telah mengisytiharkan Deklarasi Balfour pada 2 November 1917, yakni suatu perjanjian bertulis yang menyatakan keazaman mereka untuk membantu orang-orang Yahudi Zionis yang berpusat di Eropah khususnya untuk menzahirkan cita-cita Zionisme, yakni menubuhkan sebuah negara khas buat bangsa Israel di wilayah Palestin.
Berikut adalah petikan daripada Deklarasi Balfour—sepucuk surat yang diutus oleh Arthur Balfour kepada Lionel Walter Rothschild yang menyatakan sokongan empayar British kepada cita-cita pembentukan sebuah negara “Yahudi” bertarikh 2 November 1917:
His Majesty’s Government view with favour the establishment in Palestine of a national home for the Jewish people, and will use their best endeavours to facilitate the achievement of this object, it being clearly understood that nothing shall be done which may prejudice the civil and religious rights of existing non-Jewish communities in Palestine, or the rights and political status enjoyed by Jews in any other country.
Jika diteliti dengan intim Deklarasi Balfour tersebut, kita akan mendapati bahawa istilah “Orang Arab” yang pada ketika itu merupakan lebih daripada 90% penduduk wilayah Palestin, langsung tidak disebut. Hanya dua istilah yang merujuk kepada komuniti manusia ditulis dalam dokumen tersebut yakni “Orang Yahudi” dan “Bukan Yahudi”.
Siapa “Bukan Yahudi” tidak dinyatakan. Suatu bentuk pemadaman atau penghilangan nama khas sebuah bangsa yang merupakan sebahagian besar daripada penduduk di wilayah tersebut di dalam sebuah dokumen rasmi penjajah.
Daripada ayat yang digunakan dalam deklarasi tersebut jelas menunjukkan bagaimana British dan Zionis secara liciknya menafikan kewujudan komuniti Arab yang bukan sahaja merupakan lebih daripada 90% penduduk tetapi juga sudah ribuan tahun hidup, melahirkan generasi, dan bertapak di wilayah Palestin sebagai “homeland” atau tanah air mereka.
Memetik kata-kata Edward Said, seorang intelektual Palestin berketurunan Arab Kristian, Deklarasi Balfour adalah sebuah perjanjian “made (a) by a European power, (b) about a non-European territory, (c) in a flat disregard of both the presence and the wishes of the native majority resident in that territory, and (d) it took the form of a promise about this same territory to another foreign group, so that this foreign group might, quite literally, make this territory a national home for the Jewish people.”1
Secara intinya Deklarasi Balfour dibuat oleh sebuah kuasa Eropah mengenai suatu wilayah yang bukan Eropah tanpa sekelumit pun mempedulikan kewujudan dan kemahuan majoriti penduduk peribumi di wilayah tersebut.
Dalam konteks tersebut, wilayah Palestin yang merupakan tanah air buat bangsa Arab Palestin sejak ribuan tahun digantikan dengan sebuah negara baru khas buat bangsa Yahudi tanpa merujuk kepada penduduk peribumi yang sudah pun mendiami wilayah itu sejak sekian lama.
Untuk menjayakan aspirasi British dan Zionis tersebut, maka bermulalah perpindahan atau migrasi secara besar-besaran orang-orang Yahudi khususnya daripada Eropah ke wilayah Palestin.
Dengan hanya sekitar 60,000 penduduk Yahudi di wilayah Palestin sebelum Deklarasi Balfour, ia melonjak naik sehingga mencapai jumlah 700,000 orang pada tahun 1948, ketika negara Israel diisytiharkan.
Pertambahan lebih daripada sepuluh kali ganda itu bukanlah disebabkan kelahiran tetapi migrasi pendatang-pendatang Yahudi yang berasal dari Eropah khususnya mereka yang lari daripada kekejaman Nazi German dan tidak pula diterima di negara-negara Eropah lain.
Perpindahan secara besar-besaran yang mengubah demografi secara drastik itu tentunya mengundang penentangan daripada penduduk peribumi Arab Palestin kerana yang menjadi taruhan adalah tanah air mereka sendiri yang kini sedang direbut oleh sebuah bangsa asing.
Penentangan-penentangan yang dilakukan oleh penduduk peribumi Arab Palestin itu kemudiannya ditangani oleh British bukan hanya dengan tindakan kekerasan, keganasan, pembunuhan dan pemenjaraan tetapi juga pengusiran penduduk peribumi Arab Palestin daripada tanah-tanah yang diduduki mereka.
Malahan British turut mempersenjatai dan memberi latihan ketenteraan kepada komuniti pendatang Yahudi Zionis untuk meluaskan kawasan-kawasan jajahan mereka.
Ketegangan dan kekerasan tentunya tak terelakkan dalam situasi tersebut. Antara sang penjajah dan mereka yang dijajah berlaku konflik bersenjata yang berterusan menerusi beberapa siri pemberontakan oleh penduduk peribumi Arab Palestin terhadap komuniti pendatang Yahudi Zionis dan sekutu mereka British.
Pemberontakan Arab Palestin untuk merebut kembali kemerdekaan tanah air mereka dari tahun 1936 hingga 1939 misalnya, telah memakan korban sekitar 5,000 nyawa Arab Palestin, 15,000-20,000 cedera dan 5,600 dipenjarakan.
Keganasan dan perampasan tanah yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan bersenjata pendatang Yahudi Zionis ini berterusan sehinggalah mencetuskan apa yang dinamakan sebagai Nakba pada tahun 1948. Nakba bermakna malapetaka. Apa yang dimaksudkan dengan malapetaka itu adalah merujuk kepada penghapusan etnik yang dilakukan oleh pendatang Yahudi Zionis ke atas penduduk peribumi Arab Palestin secara terancang dan sistematik.
Menuju kepada perisytiharan negara Israel pada tahun 1948, operasi ketenteraan telah dijalankan oleh kumpulan bersenjata pendatang Yahudi Zionis yang dinamakan Haganah. Kumpulan bersenjata Haganah inilah yang kemudiannya menjadi Israel Defence Force (IDF).
Di sepanjang operasi tersebut yang berlangsung daripada tahun 1947 hingga 1949, sebanyak lebih daripada 500 perkampungan, bandar dan kota yang didiami oleh penduduk peribumi Arab Palestin dibakar dan dihancurkan, dianggarkan kira-kira 15,000 nyawa penduduk peribumi Arab Palestin terkorban, 78% wilayah penempatan Arab Palestin dirampas dan dikuasai oleh pendatang Yahudi Zionis, manakala 22% lagi dipecah dan dipisahkan menjadi dua bahagian—Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.
Seramai 750,000 penduduk Arab Palestin diusir dari rumah dan tanah asal mereka pada tahun-tahun Nakba tersebut dan tidak dibenarkan pulang sehingga sekarang.
Dianggarkan terdapat lebih kurang 6 juta pelarian Palestin yang merupakan keturunan daripada mereka yang terusir dari tanah air dahulunya dan kini menempati khemah-khemah pelarian yang buruk, jelek dan serba kekurangan di sekitar Gaza, Tebing Barat dan negara-negara tetangga di Lebonan, Syria, Jordan dan Mesir.
Negara Israel pada akhirnya diisytiharkan secara haram di atas darah, nyawa, perampasan tanah, penjajahan wilayah dan penghapusan etnik peribumi Arab Palestin pada 15 Mei 1948. Selama lebih daripada 75 tahun Palestin dirundung malapetaka.
Jika ini bukan penjajahan, istilah apa lagi yang harus kita pakai?
Nota Kaki
- Edward Said, 1980, The Question of Palestine, New York: Vintage Book, 15-16. ↩︎
Esei ini pertama kali disiarkan menerusi The Malaysian Insight pada 13 Oktober 2023, dan disiarkan semula dengan suntingan dengan ehsan dan izin penulis.
