Hang Tuah: Untuk Melayu atau Malaysia? Mungkin Soalan yang Salah By: 16 September 2025Essays

Ketika salah satu tajuk perbincangan dalam Menganyam Nusa tahun ini terkandung perbincangan tentang Hang Tuah, ia mengundang persepsi yang pelbagai daripada teman dan taulan. Subjek Hang Tuah ini pastinya telah tepu dibincangkan sehingga menyesakkan kepala dan menjadi puing-puing yang mengaburkan. Sebab itu ia sukar menangkap rasa untuk turut berkubang dalam perbincangan ini lagi.

Apatah Hang Tuah begitu mudah terlihat sebagai alat propaganda berbanding sebuah subjek yang boleh membawa kita bergerak ke hadapan. Terutamanya apabila perbincangan seputar Hang Tuah ini mudah sekali dikotakkan hanya dalam petak etnik semata-mata. Belum lagi ia terlihat sebagai sebuah subjek lapuk yang tidak membawa aspirasi sebagaimana definisi moden pada hari ini.

Namun dalam serba tawar dan pahit itu, tajuk Hang Tuah ini tetap dibawa ke tengah. Dalam segala naratif dan propaganda yang menguncup perbincangan Hang Tuah ke petak tersudut, maka inilah asbab untuk ia menjadi penting sekali lagi agar wacana Hang Tuah dapat disorot dengan lensa yang berbeza.

Bukan sebagai sosok atau legenda, tetapi sebagai satu pembacaan semula dalam dunia yang makin melaju tapi menyempit ini. Laju dalam teknologi yang serba pantas, tapi sempit dalam kelunakan identiti bersama.

Apabila forum “Hang Tuah: Untuk Melayu atau Malaysia?”1 berjaya dibuka pentasnya baru-baru ini, jelas sekali Hang Tuah ini tidak lagi hanya mengundang polemik sejarah, tetapi juga telah terjelma daripadanya krisis imaginasi, identiti dan masa depan budaya di negara ini. Forum yang menampilkan dua panelis, Eddin Khoo dan Rizal Hamdan, telah memperlihatkan betapa Hang Tuah bukan sekadar watak hikayat, tetapi satu falsafah terbuka yang terus menguji cara kita memahami makna kebangsaan, diplomasi dan kemanusiaan.

Hang Tuah sebagai Tragedi dan Duka Lara

Eddin Khoo membuka perbincangan ini dengan menekankan sisi kemanusiaan Hang Tuah. Bagi beliau, penderitaan Tuah yang terpaksa membunuh sahabat karibnya adalah luka batin yang menjadikan akhir hayatnya sarat dengan kekecewaan.

“Hari-hari terakhir Hang Tuah adalah hari-hari seorang yang sangat kecewa dan patah hati … dalam budaya Melayu seperti mak yong dan wayang kulit, tak ada cerita yang penghabisannya bahagia … seakan kita berpisah daripada sesuatu yang kita tak ingin dipisahkan.”

Bagi Eddin, perdebatan tentang fakta Hang Tuah hanya akan menemukan jalan buntu. Maka yang penting adalah falsafah dan kedalaman budaya yang ditinggalkan.

Walaupun Hang Tuah diangkat sebagai simbol, tapi di hati masyarakat Melayu, terdapat simpati yang lebih mendalam terhadap Hang Jebat dan Hang Kasturi. Ini terjelma dalam kemanusiaan dan kerumitan ciri-ciri manusia melalui watak-watak tersebut. Inilah yang menjadikan budaya Melayu sangat mendalam sifatnya. Ia menzahirkan penghargaan terhadap konflik dalaman dan sisi duka lara yang wujud menerusi cerita-cerita tersebut.

Diplomasi dan ‘Idea of Man

Rizal Hamdan pula mengangkat sisi cakerawala Hang Tuah yang lain iaitu Hikayat Hang Tuah sebagai sebuah teks diplomasi. Beliau telah menyorot istilah ‘berkasih-kasihan’ yang berulang 24 kali, bukan dalam erti cinta, tetapi persahabatan antarabangsa.

“…ada babak yang dalam Hikayat Hang Tuah ini di mana Sultan Melaka hendak menghantar misi diplomasi ke Cina. Perkataan yang digunakan adalah Beta hendak berkasih-kasihan dengan Maharaja Cina. Dalam erti kata, menjalinkan hubungan diplomasi. Dan dalam konteks moden, ini membumi dalam idea bagaimana sebuah negara macam Malaysia ini lebih memilih untuk perdamaian berbanding dengan konfrontasi.”

Beliau juga menekankan konsep ‘bermain adik-beradik’, iaitu tanda rasa kebersamaan antara kerajaan. Hang Tuah bagi Rizal, menjangkaui dari petak parokial seorang Melayu. “Hang Tuah ialah ‘[the] idea of man‘, bukan tubuh yang boleh dikotakkan oleh etnik atau agama,” sembari mengukuh ingat bahawa persoalan identiti seperti etnik pada zaman tersebut, tidaklah sebagaimana apa yang kita fikirkan di era moden kini.

Menurut Rizal juga, Hikayat Hang Tuah yang paling awal pernah dicatatkan ialah pada tahun 1758 iaitu lebih seabad selepas kejatuhan Melaka. Maka tujuan di sebalik penulisan hikayat ini mungkin kerana ingin menaikkan kembali semangat orang Melaka yang telah terjejas selepas dijajah Portugis dan bukanlah menjadi maksud untuk mengeksklusifkan mana-mana etnik.

Ini mengukuhkan pandangan bahawa ‘idea of man’ yang terkandung dalam Hang Tuah pada asalnya adalah untuk menyatukan dan memberi inspirasi kepada masyarakat yang berbilang etnik dan bukannya memecahbelahkan.

Menjangkaui Etnik, Membuka Dunia

Di sinilah kedua-duanya Eddin Khoo dan Rizal Hamdan bersetuju bahawa Hang Tuah sebenarnya menjangkaui batasan etnik semata-mata. Rizal menegaskan bahawa banyak pihak menuntut Hang Tuah sebagai milik mereka, dari Cina hingga Orang Asli. Malah, hikayat sendiri mencatat perdebatan tentang ‘Melayu kacuk’ dan ‘Melayu sungguh’, tatkala Hang Tuah sendiri mengaku dirinya bukan ‘Melayu tulen’ sebagaimana yang terdapat dalam teks.

Ia selari dengan Eddin apabila ia menolak istilah multikulturalisme sebagai kategori Barat yang kaku. Ia adalah respons balas kepada sebuah tulisan jurnal Rusaslina Idrus berjudul “Multicultural Hang Tuah: Cybermyth and popular history making in Malaysia”2 yang diajukan gagasannya oleh saudari moderator, Divya Devi.

Bagi Eddin, budaya Melayu adalah “budaya yang sangat liar, wild, tidak mempunyai batasan.” Beliau menekankan orang Melayu dahulu adalah worldly people, sangat terbuka dan menerima pelbagai pengaruh dan persilangan budaya. Orang Melayu mempunyai “banyak peralihan darahnya dari Siam, dari Bugis, dari Jawa, dari India.” Ini menunjukkan sifat akomodatif dan inklusif dalam pembentukan identiti Melayu itu sendiri.

Eddin juga mengkritik bagaimana tanggapan kita mengenai Hang Tuah kini berasaskan perlembagaan dan undang-undang, yang mana bagi beliau, dengan pemikiran yang sebegitu, kita tidak lagi memahami budaya Melayu dari segi inti budayanya. Mungkin kita juga melihat sebagaimana kolonial ingin memperlihatkannya.

“Orang Melayu ini nak jadi apa sebenarnya—asas kebudayaan itu dibunuh oleh orang Melayu sendiri.”

Hang Tuah untuk Semua

Mungkin pada akhirnya, soalan yang diketengahkan oleh forum ini iaitu “Untuk Melayu atau Malaysia?” adalah satu soalan yang salah. Berdasarkan hujah dan perbincangan oleh kedua-dua narasumber, Hang Tuah barangkali bukanlah milik eksklusif sesiapa, tetapi ia adalah sebuah falsafah. Juga sebuah idea. Idea tentang diplomasi, keterbukaan dan kerumitan manusia.

Benar sebagaimana apa yang diperkatakan Eddin Khoo:

“Saya tak angkat Hang tuah itu sebagai lambang. Saya bosan dengan itu. Dari permulaan negara kita, sejak kemerdekaan, kita angkat Hang Tuah itu sebagai lambang. Saya mengangkat hang Tuah itu sebagai satu falsafah … Hang Tuah itu tidak wujud hanya sebagai hakikat atau rekaan sejarah, tetapi ia wujud sebagai buah fikiran anda.”

Begitu juga apa yang Rizal sampaikan akan nilai falsafah percaya diri dan keberanian yang terkandung dalam pantun hikayat:

Ambil galah kaitkan jantung,
ciak banyak makan di jalan;
pada Allah tempat bergantung,
datang tombak kita lawan.

Di sinilah mungkin duduk letaknya relevansi seorang Hang Tuah. Hang Tuah bukanlah sekadar sosok atau hero, tetapi falsafah terbuka untuk semua rakyat Malaysia, bahkan dunia seisinya.

Rujukan

  1. Tonton rakaman menerusi YouTube https://www.youtube.com/live/E9EM-8gf27E ↩︎
  2. Idrus, R. (2016). Multicultural Hang Tuah: Cybermyth and popular history making in Malaysia. Indonesia and the Malay World44(129), 229–248. https://doi.org/10.1080/13639811.2015.1133135 ↩︎

Konteks

Rakaman dan perbincangan ini disiarkan secara langsung dari MyCatalyz Activity Centre, Petaling Jaya pada 12 September 2025, sebagai salah satu acara dalam Menganyam Nusa II anjuran Kawah Buku, Team Selangor dan MyCatalyz.