Imaginasi Adalah Sesuatu Yang Luar Biasa: Mengapa Falsafah Takut Tentangnya? 24 October 2017 – Posted in: Essays
Ahli falsafah mempunyai pendapat yang berbeza-beza tentang imaginasi (imagination). René Descartes memandang rendah kepada imaginasi dengan mengatakan ianya sebagai “lebih kepada halangan daripada pertolongan” dalam menjawab soalan-soalan yang amat mendalam tentang sifat kewujudan.
“Cuba membayangkan cara seseorang memasuki kebenaran metafizik adalah kurang bijak, diibaratkan seperti tidur dengan harapan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang dunia melalui mimpi,” tulis beliau dalam Meditations on First Philosophy (1641).
Namun, Descartes juga sangat bergantung pada imaginasi dalam esei saintifik dan matematik seperti The World (1633), di mana dia cuba untuk membuktikan butiran blok binaan asas untuk struktur seperti manusia, haiwan dan mesin.
Menurut ahli falsafah Dennis Sepper di University of Dallas, Descartes bergantung kepada imaginasi ‘biplanar’, yang dipelopori oleh Plato, di mana satu tahap realiti dapat merangkumi dan memperlihatkan hubungan yang wujud pada tahap yang berbeza, dan sebaliknya.
Ahli falsafah Scotland, David Hume turut memiliki pandangan berbeza-beza tentang imaginasi – terutama jika dibandingkan dengan persepsi dan ingatan.
“Apabila kita mengingati peristiwa lalu, fikiran tentangnya memasuki minda secara paksa,” tulisnya dalam A Treatise of Human Nature (1738-40).
Sambungnya lagi, “Tetapi imaginasi dan sensasi yang dibayangkan, adalah samar-samar dan tidak jelas, dan tidak mudah untuk dipertahankan oleh minda dengan mantap dan seragam”.
Walau bagaimanapun, Hume juga mendakwa bahawa saat manusia paling bebas adalah apabila mereka tenggelam dalam imaginasi.
Persepsi hanya boleh menunjukkan perkara sebenar, katanya, tetapi imaginasi boleh melangkah lebih jauh, kepada perkara yang asalnya hanya berada dalam fikiran. “Tiada apa yang kita bayangkan adalah mustahil,” kata Hume.
Hume memberikan pendapatnya tentang bagaimana kebolehan kita untuk berfantasi membantu kita untuk melangkah keluar dari kehidupan realiti kita dan mengubahnya.
Bagi melihat kebenaran tentang pendapat ini, seseorang hanya perlu melihat bagaimana fantasi Leonardo da Vinci yang melukis mesin terbang memberi ilham kepada adik-beradik Wright, atau bagaimana novel H.G. Wells The War of the Worlds (1898) memberi ilham kepada penciptaan roket pertama yang menggunakan tenaga cecair.
Tetapi imaginasi juga dibatasi oleh persepsi dan pengalaman lalu kita, kata Hume, “Marilah kita mengejar imaginasi kita hingga ke langit, atau hingga ke hujung alam semesta; kerana kita tidak pernah melangkah keluar dari zon kita sendiri,” tulisnya.
Salah satu cara bagi menyelesaikan permasalahan ini adalah dengan membahagikan imaginasi kepada beberapa jenis.
Menjelang akhir abad ke-18, Immanuel Kant membahagikan imaginasi kepada dua bentuk: imaginasi produktif dan imaginasi reproduktif.
Imaginasi produktif adalah yang membantu menghubungkan dan mengubah apa yang dirasakan oleh deria kepada sesuatu.
Contohnya, ciri-ciri seperti sesuatu yang mempunyai telinga runcing dan bulu, yang mengiau, dan yang menggesel badannya di kaki anda, digabungkan bersama melalui imaginasi produktif ke dalam bentuk kucing.
Kecenderungan penyatuan ini ditanamkan dalam setiap minda manusia tanpa mengira pengalaman seseorang. Bagi Kant, imaginasi produktif kita adalah apa yang membuatkan persepsi menjadi tidak mustahil.
Sebaliknya, imaginasi reproduktif adalah tentang ingatan. Apabila mendengar kisah di radio mengenai kucing yang sudah lama hilang kini telah menemui jalan pulang, anda akan terimbau tentang kucing-kucing yang pernah anda lihat sebelum ini bagi membayangkan kejadian yang mengharukan itu; dan ini adalah contoh imaginasi reproduktif.
Oleh kerana imaginasi reproduktif hanya berfungsi dengan perkara-perkara yang telah ada dalam deria seseorang, ianya terbatas sepertimana yang dibincangkan oleh Hume.
Pembahagian yang dikemukakan oleh Kant tersebut menunjukkan mengapa ahli falsafah mengambil imaginasi sebagai kekecewaan dan juga kegembiraan.
Mungkin jenis imaginasi yang kita bencikan adalah sama sekali berbeza daripada satu lagi bahagiannya yang lebih berguna. Tetapi dalam menerima bahagian-bahagian ini, kita gagal melihat kemungkinan imaginasi ini sebagai satu bahagian minda yang bergabung – yang mana mungkin tentang bagaimana kita mengalaminya.
Apabila saya berfikir tentang semua perkara menakjubkan yang boleh kita lakukan dengan imaginasi, saya cenderung ke arah cara yang berbeza untuk menguraikan kedualannya yang aneh.
Daripada membahagikan imaginasi kepada jenis yang berbeza, mungkin lebih baik untuk berfikir tentang peranannya yang berbeza.
Saya suka menggelarkannya sebagai fungsi imaginasi yang di luar pemikiran dan fungsi maklumat . Apabila kita berpura-pura, berangan-angan, atau tenggelam dalam karya fiksyen sastera yang mengasyikkan, imaginasi dapat membawa kita melangkaui masa dan tempat di mana kita sedang berada, dan inilah yang dimaksudkan dengan fungsi luar pemikiran.
Sebaliknya, apabila kita cuba membayangkan sesuatu bagi memahami apa yang orang lain sedang perkatakan, atau ketika menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, spekulasi kita digunakan untuk membantu kita memahami perkara yang berlaku di masa dan tempat kita berada pada waktu itu. Ini adalah berkaitan fungsi maklumat.
Fungsi imaginasi di luar pemikiran lebih kepada perkara fantasi dan menakjubkan, manakala fungsi maklumat terarah kepada perkara praktikal dan konkrit.
Dalam kedua-dua mod ini, rahsia kejayaan kelihatannya terletak pada penerapan batasan imaginatif. Tetapi apa yang tepat untuk penggunaan seseorang mungkin tidak sesuai untuk yang lain.
Mungkin sebab mengapa para ahli falsafah bercanggah pendapat tentang imaginasi adalah kerana mereka belum memahami bagaimana batasan perlu disesuaikan dengan keadaan.
Apabila kita menulis fiksyen, bermain, atau membuat karya seni, kita sedang berimaginasi dengan menetapkan sempadan secara meluas atau menghapuskan sepenuhnya belenggu yang ada.
Sebaliknya, apabila kita menggunakan imaginasi dalam konteks penemuan saintifik atau teknologi, atau ketika menyelesaikan apa-apa masalah, kita mesti membenarkan imaginasi kita untuk dibatasi oleh keadaan ketika itu.
Mengkaji bagaimana untuk membezakan bahagian-bahagian imaginasi bukanlah sesuatu yang mudah. Ia boleh menjadi sangat sukar untuk tahu faktor manakah yang perlu digunakan dan yang mana perlu dibuang.
Tetapi, dengan melihat bagaimana kekangan tersebut berfungsi, bukan sahaja kita dapat melihat ke arah kehebatan imaginasi, malah kita juga dapat menyingkirkan kebimbangan falsafah tentang idea tersebut.
Lagipun, sebagaimana yang diperkatakan Hume, “manusia amat dipengaruhi oleh imaginasi.”
Diterjemah oleh Nur Azyyati Abdullah dari artikel asal bertajuk Imagination Is A Powerful Tool: Why Is Philosophy Afraid of It? tulisan Amy Kind yang diterbitkan menerusi AEON bertarikh 1 September 2017.