Jasa dan Sumbangan Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Pengajian Melayu By: and 9 March 2026Essays

Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah sosok gergasi dalam dunia intelektual Melayu.

Keberaniannya merombak semula kefahaman sejarah dan jati diri tamadun Islam di Nusantara membawa kita kepada satu perspektif baharu dan terabadi sehingga kini khususnya dalam memahami sejarah kita sendiri dengan lebih kritis.

Selain memakai jubah sebagai seorang ahli akademia dalam kebanyakan tahun usianya, beliau sendiri itu adalah sebuah institusi. Sebuah legasi. Ini tidak ternafi dengan segala jasa, rujukan dan jolokan yang telah diberikan kepada keulungan sosok ini.

Sebagai seorang peneroka dalam bidang filologi pula, beliau telah meletakkan asas kukuh dalam bidang Pengajian Melayu moden.

Walau bagaimanapun, untuk menilai jasa sumbangan al-Attas secara kritis, kita harus melihat melampaui sekadar pemujaan. Kita harus meneliti bagaimana sumbangan besar beliau berhadapan dengan cabaran ideologi dan rintangan zaman—khususnya dalam lapangan Pengajian Melayu yang menjadi tumpuan di sini.

Jasa utama al-Attas yang monumental adalah peranannya dalam meruntuhkan hegemoni orientalisme terhadap sejarah Melayu.

Beliau secara konsisten menyanggah sarjana kolonial seperti R. O. Winstedt dan G. W. J. Drewes yang sering memperkecilkan peranan Islam atau mendakwa bagaimana pengaruh Arab telah merosakkan keaslian bahasa Melayu.

Pada al-Attas, korpus Arab-Parsi tidak datang merosakkan malah memperkaya intelektualisme Melayu dan memberikan bentuk serta gaya bahasa yang lebih matang. al-Attas melihat dakwaan kerosakan tersebut sebagai hasutan sarjana asing yang tidak memahami adab dan batin bahasa Melayu asli.

Hal ini terzahir daripada kajian filologi terhadap manuskrip seperti Aqaid al-Nasafi dan kajiannya terhadap Hamzah Fansuri.

Di sini al-Attas memberikan pembacaan baharu terhadap siapa yang menghasilkan syair yang pertama bagi mencabar naratif sedia ada yang mungkin meletakkan titik mula kemodenan sastera Melayu pada tokoh yang lebih lewat atau dipengaruhi Barat.

Beliau menegaskan bahawa revolusi intelektual Melayu sebenarnya bermula lebih awal melalui sosok sufi seperti Hamzah Fansuri. Dengan mengangkat Hamzah Fansuri, al-Attas membuktikan bahawa pengaruh Islam-Parsi sebenarnya memperkayakan dan memodenkan pemikiran serta sastera Melayu melalui rasionalisme.

Selain itu, al-Attas juga secara terbuka dan berani menuduh sarjana orientalis Belanda Drewes dan Doorenbos yang cuba mengekalkan bentuk imperialisme budaya dan paternalisme dalam kajian mereka mengenai tamadun Melayu-Indonesia.

al-Attas mendakwa sarjana-sarjana tersebut tidak memberikan sumbangan sebenar kepada pengajian Islam yang lebih luas, sebaliknya melumpuhkan pula kaedah pengendalian bahan-bahan Islam dalam sejarah Melayu. Kritikan ini boleh diteliti dalam buku beliau berjudul The Mysticm of Hamzah Fansuri.

Dari premis kolonial yang sering melihat Islam sebagai unsur yang membawa masyarakat Melayu ke arah kemunduran, al-Attas turut memberikan pembacaan baru yang revolusioner dengan menegaskan Islam adalah agen pemodenan dan rasionalisme, mengangkat masyarakat Melayu daripada zaman estetika pra-Islam Hindu-Buddha kepada alam pemikiran yang lebih saintifik dan batiniah.

Islam sebenarnya telah mempersiapkan Alam Melayu untuk menghadapi dunia moden. Kedatangan Islam membawa revolusi intelektual yang memperkenalkan rasionalisme, keadilan, dan juga kemuliaan diri.
al-Attas berhujah bahawa Islam mengubah cara fikir masyarakat Melayu daripada hanya mementingkan keindahan seni dan mitos di zaman Hindu-Budhha kepada pemikiran yang lebih kritis dan berstruktur.

Dari sudut institusi, al-Attas memainkan peranan penting dalam era permulaan Pengajian Melayu. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya (menggantikan Pendeta Za’ba) dan juga di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Di sini, beliau berusaha mengemudi wacana pengajian Melayu agar keluar daripada pengaruh naratif kolonial.

Beliau juga merupakan pengasas dan watak utama yang meletakkan batu asas kepada penubuhan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKM) di UKM. Institusi ini kemudiannya berkembang dan dikenali kini sebagai Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA). Melalui institusi ini, beliau memartabatkan kajian tamadun Melayu ke peringkat yang lebih tinggi dan ilmiah.

Paling sinonim pastinya International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC). Penubuhan institusi ini dilihat sebagai satu lonjakan untuk meneroka kajian Islam secara lebih tuntas.

Dalam visi pembangunan institusi yang ada, al-Attas telah mengangkat martabat Pengajian Melayu ke peringkat global, memastikan ia tidak hanya terperangkap dalam kajian bersifat lokal dan setempat, tetapi dilihat sebagai sebahagian daripada ketamadunan yang lebih luas.

Dan sedikit daripada hal pembangunan bangsa yang ingin disentuh di sini, al-Attas pernah mencetuskan gagasan bahawa agama-agama besar di Malaysia mempunyai titik pertemuan dalam nilai-nilai murni yang dapat membantu memupuk keperibadian kebangsaan yang harmoni.

Gagasan ini kita akan temukan dalam buku yang wajib untuk kita semua baca, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.

Ironinya, dalam iklim hari ini, idea inklusif (keterangkuman) sebegini sering dilabel negatif, sedangkan ia merupakan sebahagian daripada visi asal beliau untuk cita sebuah bangsa yang ideal di Malaysia. Mungkin sayangnya, gagasan ini tidak ada yang melanjutkannya dan menelitinya dengan lebih mendalam terkemudiannya.

Mungkin lebih banyak jasa dan sumbangan al-Attas dalam dunia intelektual secara keseluruhannya. Dan apa yang ditulis di sini adalah sebahagian juzuk daripada sumbangan intelektualnya dalam pengajian Melayu dan pembangunan bangsa. Khususnya di peringkat awal keintelektualannya, agak sukar lagi kini untuk kita melihat gagasan al-Attas dalam lapangan Pengajian Melayu dibangunkan dan dikembangkan dengan tuntas dan menyeluruh. Semoga lebih banyak karya-karya awal beliau dalam Pengajian Melayu kelak akan turut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu untuk menjadi bahan bacaan masyarakat terbanyak.

Prof Syed Naquib al-Attas, terima kasih untuk sumbangan keilmuan yang telah dicurahkan. Moga dikau damai di sana.

Artikel ini adalah olahan daripada Syarahan Guru Bangsa oleh Dr. Azhar Ibrahim yang dianjurkan Kawah Buku pada tahun 2023. Video penuh boleh ditonton salam saluran YouTube.