Palestin Dikembiri, Malaysia Kuca Lana By: 13 October 2025Essays

Sekitar tahun 2023, sebuah portal popular atas talian terpaksa menutup ruang komennya apabila berita dalam bahasa Inggeris mengenai isu Palestin-Israel disiarkan. Membaca komen-komen yang terlepas masuk sebelum ia ditutup, menemukan kita dengan kecenderungan para pembaca portal versi bahasa Inggeris tersebut.

Andaian yang boleh dibuat ialah komen-komen yang tersiar itu adalah kemungkinan besar datangnya daripada kelompok pembaca bukan Muslim yang bahasa utama mereka adalah bahasa Inggeris dan kecenderungan sebahagian daripada mereka pula secara umumnya adalah berpihak kepada Israel berbanding Palestin.

Manakala pada minggu yang sama berita daripada Sin Chew Jit Poh yang disiarkan menerusi portal atas talian mereka mengenai pengeboman Israel ke atas Gaza yang meruntuhkan sebuah masjid dan membunuh ramai penduduk Palestin termasuk kaum perempuan dan kanak-kanak telah mengundang “emoji ketawa” daripada ramai pembacanya. Meneliti nama-nama yang memberikan reaksi “emoji ketawa” tersebut, besar kemungkinan mereka adalah daripada komuniti bukan Muslim.

Daripada pemerhatian yang terbatas itu, tidak berlebihan untuk saya rumuskan secara umum bahawa masyarakat Malaysia sememangnya terpecah dalam menanggapi isu Palestin-Israel yang sememangnya sebuah isu yang cukup rumit.

Keterpecahan masyarakat Malaysia dalam menanggapi isu Palestin-Israel tersebut bukan hanya antara komuniti Muslim dan bukan Muslim tetapi turut melanda sesama Muslim juga khususnya dari sudut perbezaan mazhab antara Sunni dan Syiah.

Namun untuk rencana ini saya hanya memfokuskan kepada perpecahan antara komuniti Muslim dan bukan Muslim sahaja kerana ia adalah garis pertentangan atau “fault line” yang lebih memberi kesan kepada kehidupan berbangsa dan bernegara dalam masyarakat Malaysia yang berbilang etnik, agama dan bahasa.

Komuniti Muslim dan Palestin

Isu Palestin sangat dekat dengan masyarakat Muslim di Malaysia. Dekatnya isu tersebut dapat dilihat daripada rencana-rencana yang ditulis oleh mereka menerusi pelbagai portal media atau video-video yang dimuat naikkan oleh mereka menerusi pelbagai platform media sosial.

Semenjak bermulanya pembantaian Israel ke atas wilayah Gaza selepas serangan 7 Oktober, hampir kesemua penulis dalam saluran portal berita menulis mengenai Palestin-Israel. Sudut yang mereka ambil juga jelas, iaitu menyatakan sokongan dan keberpihakan kepada Palestin dan mengutuk penjajahan, pencerobohan dan pendudukan haram Israel ke atas bumi Palestin. Kesemua mereka juga adalah penulis berbangsa Melayu dan beragama Islam. Mereka dengan jelas, lantang dan gencar menzahirkan sokongan mereka kepada Palestin baik dalam bentuk tulisan, mahu pun perbincangan menerusi video di platform-platform media sosial.

Ini sebenarnya tidaklah mengejutkan. Saya percaya, kebanyakan anggota komuniti Muslim di Malaysia sudah disosialisasikan dengan isu tersebut sejak daripada mereka kecil lagi sama ada menerusi keluarga, ibu bapa, media massa, wacana-wacana awam, guru, ustaz, penceramah agama, sekolah, universiti dan masjid yang merupakan institusi penting dalam masyarakat Muslim.

Tambahan pula Palestin adalah tanah tempat terletaknya Baitulmuqaddis, sebuah tanah yang dipercayai suci yang di dalamnya wujud pula binaan yang juga dianggap suci buat umat Islam di seluruh dunia, yakni Masjid al-Aqsa.

Justeru, munasabah sahaja apabila meletus kembali isu Palestin-Israel, sebahagian besar daripada masyarakat Muslim di Malaysia akan turut terbangkit sentimen, emosi dan keprihatinan serta kepedulian mereka untuk menyatakan sokongan dan keberpihakan kepada Palestin khususnya menerusi penulisan atau video atau komen-komen dalam media sosial.

Komuniti Bukan Muslim dan Palestin

Situasi ini secara umumnya saya percaya berbeza dalam kalangan komuniti bukan Muslim kecuali mereka yang bercampur dan bergaul rapat dengan kawan-kawan Melayu dan Muslim.

Saya tidak pasti apakah terdapat keghairahan, keprihatinan dan kepedulian yang sama diungkapkan oleh penulis-penulis dan komuniti inteligensia bukan Melayu dan bukan Muslim dalam menanggapi isu Palestin-Israel. Mungkin sahaja wujud tetapi dalam bahasa yang saya tak punya aksesnya.

Namun meneliti tulisan-tulisan dalam bahasa Inggeris menerusi portal Voices, The Malaysian Insight, dan tulisan-tulisan berbahasa Inggeris yang ditulis oleh penulis-penulis bukan Melayu dan bukan Muslim dalam portal-portal berita atas talian yang lainnya, saya dapati kurang rencana-rencana yang menunjukkan keghairahan, keprihatinan dan kepedulian mereka terhadap isu-isu yang bersangkutan Palestin. Sebaliknya yang saya temui adalah tulisan-tulisan berbahasa Inggeris yang diluahkan menerusi ruangan komentar yang cenderung menyebelahi Israel.

Persoalannya kenapa?

Struktur Sosial Terpisah Melahirkan Naratif Berbeza

Pertamanya, struktur sosial masyarakat Malaysia yang sudah teretnisasi kejap (highly ethnicised society) dengan masing-masing komuniti hidup secara terpisah-pisah, cenderung menyebabkan naratif Palestin-Israel difahami dari sudut yang berbeza-beza.

Buat sebahagian besar komuniti Melayu dan Muslim, secara sejarahnya Israel adalah sebuah negara yang didirikan secara haram. Penubuhan negara Israel secara haram itu telah disokong pula oleh kuasa-kuasa Barat menerusi United Nations tanpa sebarang persetujuan daripada penduduk peribumi Palestin itu sendiri.

Manakala buat sebahagian besar komuniti bukan Muslim pula, Israel adalah sebuah negara yang sah dan diiktiraf oleh United Nations. Justeru, tindakan keganasan, kekerasan, penindasan dan perang yang dilancarkan oleh Israel tersebut cenderung dilihat sebagai suatu tindakan yang dianggap absah untuk “melindungi dan mempertahankan” dirinya.

Naratif yang berlawanan antara kedua-dua komuniti ini pada hemat saya berpunca daripada sosialisasi pengetahuan tentang sejarah hubungan Palestin-Israel yang berbeza-beza yang diterima oleh masing-masing komuniti baik menerusi pembacaan atau pun wacana dalam lingkungan sosial masing-masing. Keterpisahan struktur sosial khususnya dalam bentuk etnik dan agama menyebabkan lingkungan sosial masing-masing juga cenderung terdedah kepada wacana sepihak semata-mata.

Pada masa yang sama memandangkan komuniti bukan Muslim di Malaysia tiada sebarang ikatan emosi dan perasaan dalam bentuk keagamaan dan kerohanian terhadap tanah (Baitulmuqaddis) dan binaan (Masjid al-Aqsa) yang dianggap suci di Palestin, maka darjah kepedulian dan keprihatinan sebahagian besar daripada mereka mengenai isu Palestin-Israel ini cenderung rendah berbanding dengan komuniti Melayu dan Muslim.

Bingkai yang Eksklusif Cenderung Menjauhkan

Keduanya, permasalahan isu Palestin-Israel yang dibingkaikan oleh masyarakat Muslim di Malaysia dalam wacana-wacana mereka cenderung menjauhkan masyarakat bukan Muslim untuk lebih dekat dengan isu-isu berkaitan Palestin.

Bingkai yang sering digunakan oleh masyarakat Muslim adalah bingkai agama yang sempit dengan retorik-retorik yang menggunakan istilah seperti “jihad melawan kafir”, “merebut kembali tanah suci Islam”, “Allahuakbar” dan mengajukan simbol-simbol agama seperti “al-Aqsa”, “Baitulmuqaddis”, “ayat-ayat al-Quran” dan seumpamanya yang menyebabkan masyarakat bukan Muslim rasa terasing.
Bingkai yang eksklusif Muslim seperti itu cenderung membuatkan masyarakat bukan Muslim merasa mereka bukan sebahagian daripada perjuangan yang digerakkan itu.

Bingkai agama tentunya tidak terelakkan kerana ia telah pun menjadi sebahagian daripada unsur penting yang menggerakkan perjuangan isu-isu Palestin di Malaysia. Namun, ia hanya sesuai untuk masyarakat Muslim semata-mata.

Buat masyarakat bukan Muslim, isu-isu yang lebih terangkum (inklusif)—misalnya persoalan pelanggaran hak asasi manusia, pendudukan haram yang melanggar ketetapan United Nations, penjajahan tanah menerusi migrasi besar-besaran etnik Yahudi asal Eropah ke atas tanah Palestin, dasar aparteid yang dijalankan oleh Israel, pemenjaraan tanpa perbicaraan ke atas aktivis-aktivis Palestin, tindakan-tindakan penghapusan etnik Arab Palestin yang dilakukan oleh Israel, pengusiran paksa, perobohan penempatan-penempatan penduduk Arab Palestin, sekatan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan-bahan asas kehidupan serta pelbagai isu yang melibatkan persoalan kemanusiaan dan keadilan sejagat—adalah lebih sesuai untuk dijadikan bingkai buat menuai keprihatinan dan kepedulian komuniti bukan Muslim.

Bingkai yang berketerangkuman pada hemat saya lebih boleh diterima oleh masyarakat bukan Muslim tanpa perlu disempitkan menerusi retorik-retorik dan simbol-simbol agama semata-mata. Ini tentunya memerlukan perbincangan dan dialog silang etnik serta silang agama yang berterusan menerusi bahasa yang lebih terangkum (inklusif).

Anggapan Didiskriminasikan

Ketiganya, kemungkinan besar masyarakat bukan Muslim khususnya Cina dan India menganggap Malaysia adalah sebuah negara yang berhegemonikan pemerintahan Melayu-Islam yang memberikan kelebihan dan keistimewaan kepada komuniti Melayu dan Muslim berbanding komuniti-komuniti lain. Dalam konteks ini komuniti bukan Muslim cenderung merasakan bahawa mereka didiskriminasikan oleh negara (yang didominasi secara politiknya oleh Melayu-Islam). Anggapan seperti itu boleh jadi benar atau boleh jadi juga dirasakan mereka sebagai benar.

Permasalahan ini sebenarnya rumit kerana ia melibatkan proses sejarah penjajahan silam yang telah memisah-misahkan etnik-etnik yang ada di Malaysia ini bukan hanya dari sudut politik, bahasa, pendidikan dan penempatan tetapi juga status sosioekonomi masing-masing etnik turut dibezakan kedudukannya. Tambahan pula tahap integrasi antara etnik yang rendah menyebabkan etos kebangsaan Malaysia masih terus dipertandingkan dan ini memberi kesan kepada apa yang dianggap adil oleh masing-masing etnik.

Namun tidak semua anggota masyarakat mampu untuk memahami proses pembinaan bangsa dan pelaksanaan keadilan dalam konteks negara Malaysia yang mewarisi sejarah penjajahan yang rumit. Justeru, terdapat kecenderungan untuk beranggapan dasar-dasar yang dijalankan oleh negara yang mereka anggap berhegemonikan Melayu-Islam sebagai mendiskriminasi bukan Melayu dan bukan Muslim.

Anggapan tersebut kemungkinan besar menjadi suatu bentuk keterpendaman bukan Melayu dan bukan Muslim. Keterpendaman tersebut kemudiannya dizahirkan menerusi peluahan-peluahan perasaan dalam ruangan komen dan media sosial ke atas apa sahaja dasar-dasar negara yang dianggap pro-Islam atau pro-Melayu termasuklah dasar negara Malaysia yang pro-Palestin dan anti-Zionis Israel, meskipun dasar tersebut pada hakikatnya tidak pernah berubah sejak dari zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman lagi.

Pengaruh Negara Luar

Keempatnya, berhubungan dengan anggapan didiskriminasikan, kemungkinan besar sebahagian daripada komuniti bukan Muslim khususnya Cina dan India, mengidamkan Malaysia seperti Singapura atau negara-negara Barat yang dianggap mereka sebagai negara-negara sekular yang ideal tanpa diskriminasi tetapi melaksanakan meritokrasi yang mereka rasakan sebagai lebih adil.

Justeru, dalam konteks isu Palestin-Israel, pendirian politik kerajaan Singapura dan negara-negara Barat serta wacana-wacana pro-Israel dan anti-Palestin yang datang daripada portal berita dan media sosial negara-negara tersebut mungkin turut mempengaruhi fikiran dan perasaan mereka untuk menyatakan sokongan kepada Israel menerusi komen-komen dan reaksi mereka dalam media sosial apabila isu Palestin-Israel muncul menjadi berita.

Pada masa yang sama, teknologi Internet dan media sosial yang merentas sempadan negara-bangsa membolehkan komuniti bukan Melayu dan bukan Muslim (baca: Cina dan India) untuk mendapat akses berita, maklumat dan perbincangan daripada portal dan media sosial di negara leluhur mereka yang menggunakan pula bahasa etnik mereka sebagai sumber maklumat utama.

Tidak berlebihan untuk saya katakan maklumat-maklumat yang mereka perolehi daripada pelbagai sumber atas talian dari negara leluhur mereka itu (baca: China, Taiwan, Hong Kong dan India) sedikit sebanyak mungkin telah mempengaruhi pola fikir mereka dalam menanggapi isu Palestin-Israel. Konflik Hindu-Muslim di India atau konflik China-Uyghur misalnya, mungkin sahaja menjadi unsur bawah sedar atau unsur sedar yang membentuk fikiran dan perasaan mereka untuk berpihak kepada Israel dan memberikan “emoji ketawa” apabila membaca berita tentang kemusnahan Palestin.

Kesan kepada Hubungan Etnik di Malaysia

Perbezaan pandangan dalam menanggapi sesuatu isu itu adalah sebahagian daripada natijah yang lahir dalam kehidupan bernegara yang menggunakan kerangka demokrasi liberal. Selagi ia terbendung hanya dalam bentuk teks (komen dan penulisan), pengucapan (audio dan video), simbol (emoji, sticker dan meme), selagi itu tiada keperluan untuk menyekat atau membataskannya.

Ia adalah suatu bentuk penzahiran keterpendaman oleh masing-masing komuniti yang dalam keadaan tertentu mungkin perlu dibenarkan untuk diluahkan. Jika ditutup, disekat dan dibatasi kemungkinan keterpendaman tersebut boleh meletus menjadi letupan yang lebih dahsyat.

Namun, dalam struktur masyarakat Malaysia yang sudah teretnisasi kejap (highly ethnicised society) tanpa adanya dialog atau perbincangan silang-etnik dan silang-agama yang intim serta mendalam, perbezaan-perbezaan khususnya dalam isu-isu yang bersifat emotif seperti Palestin-Israel, ia cenderung menajamkan stereotaip dan prejudis, meningkatkan rasa curiga dan tidak percaya serta menebalkan lagi batas etnik masing-masing komuniti.

Begitulah. Paradoks kebebasan individu bersandarkan demokrasi liberal dalam masyarakat majmuk yang komuniti etniknya hidup terpisah-pisah.

Seperti paku tertancap di kayu; ditarik keluar, bekas lubangnya tetap terlihat.

Esei ini pertama kali disiarkan menerusi The Malaysian Insight pada 20 Oktober 2023, dan disiarkan semula dengan suntingan dengan ehsan dan izin penulis.