Catatan Mengenai Hubungan Awal Portugal-Melaka 29 August 2022 – Posted in: Journal Archives

Oleh: Yahaya Abu Bakar

Telah menjadi pengetahuan umum bahawa angkatan orang-orang Portugis buat pertama kalinya mungkin tiba pada 11hb. September 1509 di bandar pelabuhan negeri itu.1 Angkatan empat buah kapal (naus) tersebut diketuai oleh Diogo Lopes De Sequeira, bertolak terus dari Lisbon kira-kira setahun terdahulu. Setibanya ke Cochin India, sebuah kapal lagi menyertai missi berkenaan. Dalam perjalanan ke Melaka mereka singgah di Pasai dan Pedir dengan meninggalkan “petanda kehadiran” di sana. Ketibaan “Benggali-Benggali Puteh” ini di Melaka menurut Sejarah Melayu, telah menimbulkan kehairanan di kalangan penduduk negeri itu, dimana tercatet;

“Maka segala orang Melaka pun berkampung melihat rupa Feringgi, maka sekaliannya hairan, katanya, “ia ini Benggali puteh”. Maka seorang Feringgi itu berpuluh-puluh orang Melayu mengerumusi dia, ada yang memutar janggut Feringgi itu, ada yang menjamah kepada Feringgi itu ada yang mengambil chepiaunya, ada yang memegang tangannya”.2

Sebagaimana yang sedia termaklum, missi ini dilanda bencana di Melaka dan mengujudkan suasana permusuhan di kedua belah pihak.

Apa yang belum banyak diketahui umum ialah sebenarnya missi De Sequeira ini bukanlah usaha pertama pihak Portugis menuju ke Melaka. Kira-kira tiga tahun sebelum ketibaan De Sequeira, suatu percubaan telah pun dilakukan oleh Almeida, Wizurai Portugis di India mengirim utusan ke Melaka. Missi tiga orang ini terdiri daripada Francisco Pereira, Estavao de Vilhena dan seorang anak lelaki Gaspar dari India. Mungkin yang lebih menarik diperturunkan di sini ialah anak lelaki Gaspar itu mengetahui dan memahami Bahasa Melayu. Rombongan ini bertolak dari Cochin India pada 22 Ogos 1506 dengan menumpangi kapal seorang saudagar Islam.3 Walau bagaimanapun, rancangan mereka ke Melaka terpaksa dibatalkan apabila berlaku percubaan membunuh ketiga-tiga orang ini di India.4

Berbeza daripada percubaan terdahulu, missi De Sequeira memperlihatkan ciri lebih terancang yang berkait rapat secara langsung dengan hasrat dan kesungguhan Portugal ‘mendampingi’ kepentingan perdagangan Melaka, mendahului kuasa-kuasa barat yang lainnya. Sekurang-kurangnya inilah hasrat tersurat Kerajaan Portugal setakat ini terhadap Melaka melalui pengiriman missi De Sequeira.

Sejak ketibaan orang-orang Portugis di India, mereka telah banyak mengetahui dan mengumpul maklumat mengenai kepentingan dan kebesaran perdagangan Melaka, khususnya daripada pedagang-pedagang Malabar. Selewat-lewatnya tahun 1504 telah banyak diketahui mengenai negeri Melaka samada di Lisbon atau Madrid, dengan kerjasama beberapa orang pelapor. Dua orang daripadanya ialah Gaspar da Gama seorang Yahudi yang telah diKristiankan dan Bonajuto de Albano seorang Itali yang pernah menetap dan berkahwin dengan seorang wanita Melaka. Gaspar da Gama dikatakan orang yang bertanggungjawab memberikan banyak maklumat mengenai negara-negara di Asia Tenggara, sebagaimana terkandung dalam Roteiro da Primeira Viagem de Vasco da Gama 1497—1499 (Carta/Peta Perjalanan Pertama Vasco Da Gama).5 Di bahagian hujungan (appendix) yang bertajuk “Lapuran Perdagangan dan Geografi Berkenaan Negara-negara ke Selatan Calicut” terdapat maklumat-maklumat mengenai Melaka.6 Wizurai Almeida juga turut melapurkan ke pengetahuan Raja Portugal mengenai pedagang-pedagang Islam yang berlayar di Lautan India dan Kepulauan Melayu membawa pulang dagangan rempah daripada Melaka untuk diperdagangkan kepada orang-orang Venice. Perkara ini membuatkan pihak berkuasa Portugal merasai perlu untuk bertindak pantas melibatkan diri dalam perdagangan rempah yang menguntungkan di timor.7

Setakat ini jelas kelihatan bahawa Portugal memang menaruh perhatian terhadap Melaka. Minat itu dilahirkan dalam bentuk regimento (Ordinan) kepada Wizurai Almeida bertarikh 5hb. March, 1505 untuk menghantar utusan ke negeri itu. Salinan asal regimento itu ada di Arquivo Nacional da Torre do Tombo. Antara lain Almeida diarahkan:

i) Keperluan untuk membina sebuah kota/pusat perdagangan (fortaleza) di Socotra.

ii) Keperluan segara untuk pergi ke Melaka, dan di sana juga sebuah fortaleza hendaklah dibina.

iii) Kabaran mengenai cadangan-cadangan orang-orang Sepanyol untuk belajar ke Melaka. Orang-orang Sepanyol meragui bahawa Melaka terletak di kawasan pengaruh Portugis sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perjanjian Tordesellas.

iv) Pelayaran ke Sumatra dan pulau-pulau berdekatan serta meninggalkan kesan atau petanda kehadiran (padroes) disamping keperluan mengumpulkan maklumat-maklumat berguna.

v) Membina sebuah fortaleza di Ceylon dalam perjalanan pulang dari Melaka.

vi) Mensifatkan segala tanggungjawab di atas sebagai amanah “perutusan dari tuhan”.8

Regimento di atas sesungguhnya menyentuh beberapa perkara dan nampaknya ia memerlukan suatu pelaksanaan yang rapi dan sungguh-sungguh. Akan tetapi, seperti yang disebutkan terdahulu, Wizurai Almeida hanya mampu menyediakan tiga orang tanpa dibekalkan keperluan kenderaan yang khusus, yakni hanya menumpangi kapal dagang. Besar kemungkinan perkara ini terjadi atas sebab-sebab kekurangan kakitangan dan kemudahan di Cochin waktu itu. Lagi pun barang diingatkan orang-orang Portugis di tahap-tahap awalan ketibaan mereka di India terjerumus dengan berbagai masalah dan ancaman dari pihak berkuasa peribumi di sana.9 Situasi seumpama itu boleh membantut usaha teratur menuju Melaka.

Perlu ditegaskan di sini, bahawa missi De Sequeira ke Melaka adalah merupakan suatu usaha yang paling jauh merentas lautan ke timor dari barat yang pernah dilakukan sejak kejayaan Vasco da Gama mengelilingi Tajong Pengharapan tahun 1498.10 Tidak syak lagi usaha da Gama yang telah menyingkap sejarah kejayaan cemerlang Portugal, di samping keyakinan terhadap keupayaan dan kemampuan pelayar-pelayar Portugis mempengaruhi keputusan rajanya untuk menanggung risiko baru menuju ke Melaka. Pengiriman missi ini juga nampaknya bertepatan sekali dari segi waktu, kerana populariti Melaka semakin meningkat di kaca mata Portugal dewasa itu. Seorang diplomat (duta) berbangsa Itali bernama Vicenzo Quirini melapurkan dalam tahun 1506 berita kemewahan Melaka yang dikatakan kaya dengan emas. Berita ini juga nampaknya tidak terlepas daripada sampai ke pengetahuan pihak berkuasa Portugal.11

Dengan demikian, pengiriman missi De Sequeira juga patutlah dilihat dari sudut penerusan kegiatan zaman os descobrimentos, zaman penemuan dan penjelajahan dalam sejarah Portugal, yang telah bermula sejak tahun 1415.12 Usaha ini banyak dipelupuri oleh Putera Henry Pelayar melalui sekolah pelayaran Sagres.13 Melalui kejayaan pendaratan da Gama di India, bermulalah suatu episod baru dalam sejarah hubungan Portugal-Asia, dari kegiatan penemuan kepada musim permulaan pembinaan tanah jajahan. Sehingga tahun 1509, Portugal yang mempunyai penduduk lebih kurang 1½ juta orang, telah muncul sebagai kuasa yang utama menguasai perdagangan di Lautan India mengatasi kuasa Islam Mesir dan peribumi India. Portugal juga telah berjaya menguasai sebahagian besar perdagangan hasil-hasil daripada timor yang selama ini terhala ke Venice. Kesan langsung dari situasi ini, Lisbon dan Antwerp telah terbit sebagai pusat perdagangan yang paling maju di Eropah.14 Babitan daripada itu, missi De Sequeira juga harus dilihat dari perspektif kegiatan Os descobrimentos yang didukungi oleh prinsip-prinsip 3G (Gold, Glory and Gospel), ciri penggerak tempoh berkenaan. Dalam konteks latar belakang dan rentetan kepentingan di ataslah missi De Sequeira ke Melaka harus disingkap.

Persoalan yang mungkin boleh dilanjutkan di sini ialah maksud/motif disebalik perutusan ini. Sebagaimana disebutkan di awal-awal lagi, maksud tersurat missi ini mungkin sekali gus terhala kepada keperluan Portugal mengikat hubungan dengan Melaka yang dewasa itu merupakan pusat perdagangan utama di Kepulauan Melayu. Dalam hal ini M.J. Pintado mencatitkan; “it came on a goodwill mission to sign a treaty of friendship and trade with the Malacca Authorities”.15 Pandangan ini nampaknya turut disertai oleh beberapa penulis.16 Malah di dalam Sejarah Melayu juga, ada tercatet maksud missi pertama Portugis itu.17 Maksud missi ini mungkin dapat diperjelaskan lagi melalui Regimento bertarikh 12 Februari 1508 dan juga hadiah-hadiah yang akan disampaikan kepada pihak berkuasa Melaka. Dokumen asal ini juga tersimpan di Archivo Nacional Da Torre Do Tombo. Regimento tersebut, antara lain mengarahkan;

i) Keperluan meninggalkan ‘petanda kehadiran’ (padroes) di tempat-tempat yang disinggah; termasuk Sumatra dan pulau-pulau berdekatan serta Melaka.

ii) Meninjau kecenderungan peribumi terhadap ugama Kristian.

iii) Mengikat tali persahabatan dan kontek perdagangan dengan Melaka.

iv) Memaklumkan kejayaan-kejayaan dan pencapaian orang-orang Portugis di India dengan pusat-pusat perdagangnnya di sana.

v) Untuk sentiasa mengamalkan cara damai dan hanya berkeras/berperang dalam keadaan keperluan mendesak dengan maksud mempertahankan diri.18

Di dalam sebuah artikel, Dr. Bassett turut membincangkan dan menekankan maksud damai missi De Sequeira ke Melaka dengan mengemukakan beberapa alasan.19 Pertama menurut beliau, perintah (regimento) yang dikeluarkan oleh Raja Portugal kepada De Sequeira jelas merojok kepada jalan damai. Kedua, De Sequeira tidak diperlukan belayar ke Melaka sekiranya ia berjaya mengumpulkan barang-barang dagangan secukupnya di Madagascar untuk dibawa ke Lisbon. Ketiga, tanpa mengetahui bencana yang menimpa missi De Sequeira di Melaka, Raja Portugal mengirim satu lagi missi perdagangan ke negeri itu dalam bulan March 1510 dibawah kelolaan Diogo Mendes de Vasconcellos. Missi ini hanya dibatalkan setelah Diogo Mendes mengetahui bencana missi De Sequeira daripada Afonso Dalbouquerque dalam bulan Ogos 1510 di India. Akhir sekali tambah beliau, anggota missi De Sequeira dalam suasana mengumpulkan barang-barang dagangan dan dengan itu tidak bersiap sedia, tatkala mereka diserang di Melaka secara mengejut. Berdasarkan hujjah-hujjah di atas Dr. Bassett dengan itu menolak dakwaan Professor Hall dan V. Purcell yang menyatakan missi De Sequeira ke Melaka bertujuan menyerang negeri itu, atau sekurang-kurangnya sebagai langkah provokasi keatasnya.

Kebanyakan daripada alasan yang dikemukakan oleh Dr. Bassett kecuali alasan yang kedua sememangnya dapat dipertanggungjawabkan. Sejauh mengenai alasan kedua itu, sepanjang pengetahuan dan pembacaan penulis, missi De Sequeira memang bermaksud dan bermatlamat ke Melaka. Regimento Raja Portugal juga tidak membataskan yang missi ini harus berpatah balek ke Lisbon sekiranya dapat mengumpulkan barang-barang dagangan secukupnya di Madagascar. Sebagaimana yang ditegaskan di awal-awal perbincangan, sumber-sumber yang ada menunjukkan projek Melaka begitu mendapat perhatian dalam rencana penjelajahan Portugis di timor. Perkara ini diperteguhkan lagi tatkala timbulnya ura-ura di pihak Sepanyol untuk belayar ke Melaka hasil keraguan mereka ke atas pembahagian kawasan di dalam Perjanjian Tordesellas.

Maksud tersirat atau motif tersembunyi missi ini ke Melaka mungkin tidak mudah dikupas di sini. Adalah benar bahawa sejauh mengenai arahan bertulis atau tersurat dari Raja Portugal jelas memperlihatkan bahawa missi itu tidak dirancangkan untuk menyerang atau berperang dengan Melaka. Di dalam hal ini keujudan unsur “berperang hanya dalam keadaan terdesak bagi maksud mempertahankan diri” mungkin melambangkan lunas-lunas yang biasa bagi missi penjelajahan sebegini rupa. Akan tetapi, sensitiviti pihak berkuasa Melaka lebih-lebih lagi golongan pedagang khususnya pedagang-pedagang Islam India dan Asia Barat patutlah diambil kira. Sebaik-baik sahaja missi De Sequeira menjejakkan kaki ke Melaka, timbul berita-berita dan spekulasi mengenai niat tersirat missi berkenaan. Berita ini disampaikan oleh golongan pedagang-pedagang kepada pemerintah Melaka. Di dalam hal ini Tome Pires mencatetkan;

First the Gujaratees went to the said king Mafamut with a great present, and also the Parsees and many of the Kings reported to the said King together, that the Portuguese had reached the port, and consequently were bound to come there everytime, and that, besides robbing by sea and by land they were spying in order to come back and capture it (Melaka), just as all India was already in the power of the Portuguese-whom they called Franks (Framges) here… .20

Sebagai pusat perdagangan yang dikunjungi oleh ramai pedagang-pedagang asing khususnya pedagang-pedagang Islam dari Asia Barat dan India, tindakan permusuhan serta daya usaha Portugis untuk memusnahkan penguasaan pedagang-pedagang Islam sudah tentu tidak dapat disenangi oleh pihak berkuasa Melaka. Tambahan pula Melaka memang mempunyai hubungan baik dengan pemerintah-pemerintah Islam daerah itu. Di dalam tempoh Kesultanan Melaka, negeri itu muncul sebagai pusat kegiatan pengajaran dan penyebaran Islam di Kepulauan Melayu. Hubungan baik dengan pemerintah-pemerintah Islam telah terjalin misalnya sejak pemerintahan Sultan Mudzaffar Shah. Sultan ini begitu dianggap tinggi di mana Pires melaporkan;

…his name became so famous that he had messages and presents from the kings of Aden and Ormuz and of Cambay, and Bengal, and they sent many merchants from their regions to live in Malacca, and he was called Sultan.21

Dengan itu ketibaan missi Portugal ke Melaka mungkin bertepatan wakfu dari segi mereka sahaja, akan tetapi tidak kena masanya dari segi pedagang-pedagang Islam dan juga kepentingan perdagangan negeri itu. Selain dari itu, golongan pedagang di Melaka juga adalah kelompok sosial yang kaya dan berpengaruh serta disegani. Lantaran itu, pandangan dan hasrat serta kepentingan mereka tidak mungkin dapat diketepikan begitu sahaja oleh pemerintah Melaka.

Begitu juga halnya dengan hasrat Portugal ingin mendapatkan hak perdagangan istimewa dan membina fortaleza di Melaka, nampaknya lebih merupakan permintaan yang sulit dan luar biasa. Kemudahan ini jika diberikan oleh Melaka adalah bertentangan dari amalan lazim yang ujud selama ini. Melaka sebagaimana yang kita maklum, menjalankan kaedah percukaian keutamaan (preferential tariff) di mana pedagang-pedagang asing dikenakan cukai yang berbeza-beza menurut daerah kedatangan mereka. Misalnya negara-negara di barat Asia, Arab, India, Ceylon, Pegu dan Siam dikenakan 6% cukai impot. Pedagang-pedagang Pegu dan Siam walau bagaimana pun tatkala membawa masuk bekalan makanan, hanya dikenakan bayaran minima berupa hadiah sahaja. Kaedah ini juga diamalkan kepada pedagang-pedagang di pantai barat Tanah Melayu dan ke selatan Tannesserim, termasuk pedagang-pedagang dari Sumatra. Pedagang-pedagang dari Asia Barat dan Kepulauan Melayu yang berniat menetap terus di Melaka hanya dikenakan tiga peratus cukai sahaja. Selain dari itu, cukai di raja sebanyak 6% dikenakan ke atas pedagang-pedagang dari barat Benua Asia dan tiga peratus kepada mereka dari Kepulauan Melayu.22 Malah negeri China yang mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan yang istimewa dengan Melaka juga tidak terkecuali daripada sistem percukaian negeri itu, walaupun mereka hanya terpaksa memberikan hadiah-hadiah khususnya kepada syahbandar.23

Ini semua membawa kita kepada suatu pandangan, bahawa sungguh pun pihak Portugal telah mengumpulkan maklumat yang berguna mengenai perdagangan Melaka, sebelum missi De Sequeira, akan tetapi ia gagal memahami sedalam-dalamnya kaedah dan sistem perdagangan yang diamalkan di negeri itu. Ketidakmampuan Portugal ini sedikit sebanyak dapat menerangkan kegagalan missi De Sequeira keseluruhannya di Melaka. Anggota missi ini telah diserang mengejut di Melaka melalui suatu komplot yang direstui oleh Bendahara Seri Maharaja dan Sultan Melaka. Beberapa orang Portugis menemui maut dan yang lain ditawan. Sequeira bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan pulang ke India. Sebelum berlepas pulang, orang-orang Portugis telah memberi amaran yang mereka akan kembali ke Melaka membebaskan rakan-rakan mereka yang ditawan serta menuntut bela di atas kematian, seandainya perdamaian dan penyelesaian tidak didapati. Selepas itu lapan orang lagi tahanan Portugis termasuk Joao Vegas berjaya melepaskan diri dan lari ke Pedir di mana mereka diselematkan kemudiannya oleh Afonso Dalbourquerque.24

Rui De Aroujo, salah seorang daripada dua puluh orang tawanan Portugis di Melaka kemudiannya secara sulit menyeludupkan sepucuk surat bertarikh 6hb. Februari 1510 yang ditulis di Melaka kepada Afonso, Wizurai Portugis di India. Surat tersebut antara lain mendedahkan maklumat-maklumat mengenai pertahanan Melaka, termasuk cara-cara menawannya. Surat berkenaan juga mendakwa layanan buruk yang diterima oleh tahanan Portugis di negeri itu.25

Afonso meninggalkan Goa dalam tahun 1511 menuju Melaka, setelah mendapati maklumat yang berguna dari Aroujo. Angkatan Portugis kali ini mengandungi lapan belas buah kapal, disertai oleh 800 orang askar Portugis serta 300 orang Malabar. Angkatan ini bertujuan dan diarahkan untuk membebaskan tawanan Portugis di Melaka, di samping menuntut ganti rugi yang dialami oleh missi De Sequeira dua tahun terdahulu. Akan tetapi Afonso yang mempunyai cita-cita membena empayar Portugis di Asia juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Beberapa siri perundingan antara Afonso dan pihak berkuasa Melaka gagal menemui jalan penyelesaian, sebaliknya peperangan menjadi bertambah nyata. Akhirnya serangan-serangan Portugis pada 8 dan 10 dan 14 hari bulan Ogos 1511 telah berjaya menewaskan Melaka. Sehingga 1641, Melaka menjadi taklukan Kerajaan Portugal.26

Sebagai kesimpulan dapatlah dikatakan bahawa sejak ketibaan orang-orang Portugis di India mereka telah mendengar mengenai kepentingan perdagangan negeri itu. Maklumat-maklumat berkenaan didapati dari pedagang-pedagang di Malabar dan daripada beberapa orang pelapor. Maklumat-maklumat itu mempengaruhi keputusan Raja Portugal untuk menghantar missi ke Melaka. Keperluan sedemikian bertambah mendesak bila mana timbul ura-ura di pihak Sepanyol untuk belayar ke Melaka. Walaupun missi De Sequeira ke Melaka lebih merupakan missi dagang, akan tetapi ia menimbulkan riaksi sebaliknya di negeri itu. Riaksi negatif Melaka sedikit sebanyak berpunca daripada sikap permusuhan orang-orang Portugis terhadap pedagang-pedagang Islam di Asia Barat dan India yang juga mempunyai perhubungan perdagangan dengan Melaka. Hasrat orang-orang Portugis untuk mendapatkan hak istimewa berdagang di Melaka adalah sesuatu yang di luar kebiasaan yang selama ini tidak ujud di negeri itu. Kegagalan missi De Sequeira dan peristiwa berdarah tahun 1509 telah mengujudkan suatu suasana permusuhan antara Melaka dan Portugal dan berkesudahan dengan penaklukannya tahun 1511.


Rujukan

1. Lihat, I.A. Macgregor, “Notes On the Portuguese In Malaya”, JMBRAS, Vol. 28, Pt. 2, May 1955, hal. 5.

2. Lihat, R.O. Winstedt (peny.), “Sejarah Melayu”, JMBRAS, Vol. XVI, Part III, 1938, hal. 181–182. Nampaknya kehairanan penduduk Melaka itu lebih bercorak kehairanan kepada ciri-ciri fizikal orang-orang Portugis. Chepiau di sini adalah merujuk kepada chapeu dalam bahasa Portugis yang bererti topi (hat).

3. Lihat, Luiz F.R.R. Tomaz, “Os Portugueses Em Malacca 1511–1580” Vol. I & II, tesis tidak dicetak. Faculdade de Letras, Universidade de Lisboa, 1964, hal. 48.

4. Ibid.

5. Lihat, M.J. Pintado, A Stroll Through Ancient Malacca and A Glimpse at her Historical Sites, Loh Printing Press, Melaka, 1980, hal. 11–13.

6. Ibid.

7. Lihat, A.H. de O. Marques, Historia de Portugal, Vol. I, Palas Editores, Lisboa, 1978, hal. 323.

8. Lihat, Archivo Nacional Da Torre Do Tombo (ANTT), Maco de Leis Numero 22. Juga A.B.D.Sa’ Documentacao Para A Historia Das Missoes Do Padroado Portugues Do Oriente Insulindia, Vol. I 1506–1549, Agencia Geral Do Ultramar, Lisboa, 1954, hal. 3–15.

9. Lihat umpamanya Carlos Selvagem, PortugaL Militar, Imprensa Nacional De Lisboa, 1931, hal. 258–263.

10. Lihat, J.V. Serrao, Historia de Portugal 1495–1580, Editorial Verbo, 1978, hal. 100–101.

11. Lihat, Luis F.F.R. Tomaz, “Os Portugueses…” hal. 46.

12. Lihat, A.H.O. de Marques, Historia de Portugal, hal. 189.

13. Lihat, Amadeu De Carvallo, Andrade, Os Navios Que Descobriram O Mundo, Musue De Marinha, Praca Do Imperio, Lisboa, 1975, hal, 30–32.

14. Lihat, Jaime Cortessao, Obras Completas, O Imperio Portugues No Oriente, Portugalia Editora, Lisboa, 1968, hal. 15.

15. Lihat, M.J. Pintado, A Stroll Through…, hal. 13.

16. Lihat umpamanya, R.O. Winstedt, A History of Malaya, Marican & Sons Ltd., Kuala Lumpur — Singapore, Edisi Ketiga, 1968, hal. 58. Juga, P. Wheatley, Impressions of the Malay Peninsula in Ancient Times, Eastern University Press Ltd., Singapore, 1964, hal. 167.

17. Lihat R.O. Winstedt (peny.), “Sejarah Melayu”, hal. 181.

18. Lihat, Regimento De Diogo Lopes De Sequeira Enviado A Descobrir A Cidade De Malaca, 12 de Fevereiro de 1508, ANTT, Corpo Chronologico, 1–6–82 (1). Juga A.B.D. Sa’, Documentacao… hal. 16–19.

19. Lihat, D.K. Bassett, “The Portuguese In Malaya”, dalam Journal of the Historical Society, University of Malaya, K.L. Volume 1, No. 3, 1962/63, hal. 18.

20. Lihat, A. Cortesao, (ed.), The Suma Oriental of Tome Pires And The Book of Francisco Rodrigues, The Hakluyt Society, London, Second series 1944, hal. 255.

21. Ibid., hal. 245.

22. Lihat, M.A.P. Meilink Roelofsz, Asian Trade and European Influence in the Indonesian Archipelago Between 1500–1630, Martinus Nijhoff, The Hague, 1962, hal. 43.

23. Ibid., hal. 77.

24. Lihat, Francisco De Sa Meneses, The Conquest of Malacca, translated by Edgar C. Knowlton Jr, University of Malaya Press, Kuala Lumpur, 1970, hal, ix.

25. Lihat, ANTT: Gaveta 14–18–21. Juga A.B.D. De Sa’, Documentacao, hal. 20–31.

26. Lihat, I.A. Macgregor, “Notes On the Portuguese In Malaya”, hal. 5.


Makalah ini, tulisan Yahaya Abu Bakar asalnya diterbitkan dalam Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies, 1980, vol. 10. pp. 226-233. Disiarkan semula di sini dengan sedikit suntingan ejaan dan susun atur.