Keterpendaman Melayu 4 August 2022 – Posted in: Essays

Oleh: Ruhan Shahrir

Ikhtisar

Makalah ini merupakan suatu cubaan awal yang sederhana untuk menteorikan fenomena kebangkitan unsur-unsur kemelayuan yang dizahirkan oleh sebahagian besar orang-orang Melayu dalam siri Pilihanraya Kecil pasca kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada 2018. Pada masa yang sama makalah ini juga mengajukan usulan yang juga sederhana mengenai kaedah bagaimana untuk mentransformasikan “Keterpendaman Melayu” kepada “Nasionalisme Malaysia Terangkum”.

Bahagian Satu
SUATU PENZAHIRAN KEGAGALAN NASIONALISME MELAYU

Pendahuluan

Bangsa Melayu sedang berhadapan dengan krisis moral yang cukup besar.

Dua parti berasaskan Melayu dan Islam yang diwakili oleh UMNO dan PAS sedang bergelut di dalam krisis yang melibatkan persoalan integriti, wibawa dan kejujuran. Namun, di sebalik kemelut yang mereka hadapi, kedua-dua parti ini terus mendapat sokongan daripada sebahagian besar masyarakat Melayu.

Pada 13 April 2019 yang baru sahaja lepas UMNO sekali lagi memenangi Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau (PRK Rantau). Ini adalah kemenangan tiga kali berturut-turut UMNO ke atas Pakatan Harapan (PH).

Keputusan PRK Rantau

Daripada data yang dapat dikutip, calon PRK Rantau daripada UMNO, Mohammad Hassan menang selesa dengan majoriti sebanyak 4,510 undi. Laporan Malaysiakini mencatatkan daripada 14 Pusat Daerah Mengundi (PDM), PH kalah 13 dan hanya menang di satu PDM sahaja iaitu Bandar Ekar. Itu pun adalah kerana ia merupakan kawasan penempatan pengundi Cina yang paling tinggi (42.1%) dan pengundi India yang ketiga tertinggi.1

Malahan di kawasan yang majoriti pengundinya adalah dari kaum India, Pekan Sagga (63.7% pengundi India) dan Linsum (48.3% pengundi India) turut dimenangi oleh UMNO. Manakala di kawasan-kawasan majoriti Melayu seperti di Kampung Bemban (91% pengundi Melayu), Kampung Sega (86.1% pengundi Melayu) dan Kampung Sendayan (80.3% pengundi Melayu), Malaysiakini melaporkan UMNO menang besar. Di Kampung Sega misalnya, undi yang diterima oleh UMNO adalah sebanyak 87.41%, yakni meningkat naik 18.43%.2

Pada pandangan saya keputusan ini tidak begitu memeranjatkan kerana DUN Rantau sememangnya kubu kuat dan punya tradisi kemenangan besar buat Mohammad Hassan sejak daripada PRU11 lagi.3 Malahan sebagai sosok bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, wibawa dan populariti Mohammad Hassan tentunya lebih menyerlah daripada calon PH. Justeru, kemenangan Mohammad Hassan bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan.

Data yang lebih menarik pada hemat saya adalah jumlah peratusan keluar mengundi iaitu sebanyak 79.3%.4 Untuk sebuah pilihanraya kecil (PRK) ianya suatu jumlah yang besar. Soalannya ialah kenapa begitu ramai pengundi keluar mengundi hanya untuk suatu PRK?

Begitu juga dengan data undi awal yang melibatkan anggota polis dan kakitangan awam. Secara tradisinya undi awal akan memihak kepada parti pemerintah sebagai tanda sokongan penjawat awam kepada kerajaan hari ini. Namun laporan Malaysiakini mencatatkan calon parti pembangkang, Mohammad Hassan mendapat 113 undi, manakala calon parti pemerintah Dr. S. Streram pula hanya memperolehi 10 undi sahaja.5

Apakah maknanya ini?

PRK Semenyih

Sebelum saya membahaskan makna di sebalik siri-siri kemenangan UMNO dalam PRK yang lepas, elok kita tinjau pula data yang dikutip daripada PRK Semenyih. PRK Semenyih bagi saya lebih relevan dan sesuai untuk dijadikan kajian kes bagi memahami makna perubahan dan peralihan sokongan sebahagian daripada pengundi Melayu daripada PH kepada UMNO. Ini adalah kerana pada PRU14 yang lepas PH menang dengan majoriti besar iaitu sebanyak 8,964 tapi dalam PRK pada 2 Mac 2019 yang lalu UMNO pula yang menang dengan majoriti sebanyak 1,914.6

Malahan kalau diteliti dari sudut demografi, Semenyih lebih menepati kawasan dengan majoriti pengundi Melayu dan mewakili banyak kawasan-kawasan mengundi yang lain khususnya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Persoalan Akademik

Meneliti keputusan Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih (PRK Semenyih) dan diikuti pula tiga hari kemudian dengan pemeteraian kerjasama secara rasmi di antara dua buah parti terbesar bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia, UMNO dan PAS pada 5 March 2019, mengundang dua pertanyaan akademik yang perlu dijawab secara tuntas, iaitu:

1. Kenapakah sebahagian besar daripada pengundi-pengundi Melayu dan Muslim masih tetap memberikan sokongan dan dukungan mereka buat UMNO dan PAS walau pun konteks semasa menunjukkan bahawa kedua-dua parti ini sedang berhadapan dengan tuduhan-tuduhan rasuah, korupsi, pembohongan dan penipuan?

2. Apakah yang mendorong dua parti terbesar bangsa Melayu dan umat Islam yang dulunya adalah musuh politik untuk menjalin sebuah kerjasama yang diungkapkan oleh Pemangku Presiden UMNO, Mohammad Hassan sebagai gerakan ke arah ‘penyatuan ummah’7 dan diajukan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki sebagai “satu keperluan mendesak untuk menghalang kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi oleh DAP daripada meneruskan agenda ‘Malaysian Malaysia‘ mereka”8?

Jawapan kepada kedua-dua soalan ini memerlukan pendekatan psikologi-sosial iaitu mengenal pasti interaksi antara tenaga-tenaga sosial yang ada dalam masyarakat sama ada yang benar wujud atau yang diandaikan wujud baik dari masa silam atau masa kini yang mempengaruhi dan membentuk rasa, emosi, pemikiran, tingkah laku dan tindakan seseorang individu dan/atau sesebuah komuniti itu.

Menggunakan pendekatan psikologi-sosial, saya mengusulkan jawapan untuk kedua-dua soalan di atas menerusi idea penteorian awal yang saya konsepkan sebagai “KETERPENDAMAN MELAYU”.

Sebelum saya menghuraikan konsep ‘keterpendaman Melayu’ yang ingin saya ajukan ini, elok kiranya kita mencermati dahulu data-data yang saya kutip daripada beberapa laporan portal berita atas talian tentang keputusan PRK DUN Semenyih yang lepas. Data daripada PRK Semenyih ini saya tampilkan sebagai sebahagian daripada bukti impirikal (nyata) yang akan melandasi huraian teori awalan saya tentang ‘keterpendaman Melayu’.

Latar Demografi dan Struktur Penempatan di Semenyih

DUN Semenyih berlatarkan demografi pengundi yang terdiri daripada Melayu (68%), Cina (17%) India (14%) dan komuniti lain (1%).9

Ciri demografi dan juga struktur pembandaran di Semenyih kurang lebih hampir sama dengan banyak kawasan separa-bandar yang lain di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Cumanya penempatan komuniti India di Semenyih relatifnya agak besar. Ini adalah kerana faktor sejarah kolonial di mana dahulunya Semenyih adalah antara kawasan perladangan getah yang utama di Selangor.

Struktur lainnya seperti konsentrasi penempatan komuniti Cina di kawasan pekan dan bandar, manakala tumpuan penempatan komuniti Melayu di kampung-kampung dan kawasan taman perumahan pinggir bandar adalah ciri yang umumnya turut dapat dilihat di banyak deretan penempatan-penempatan lain di sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Perbandingan Antara PRU14 dan PRK Semenyih

Pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu, DUN Semenyih dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti sebanyak 8,964 undi.10 Menurut laporan portal berita Malaysia Dateline, pada PRU14 yang lalu, daripada 23 Pusat Daerah Mengundi (PDM), PH memenangi 13 daripadanya.

Namun pada PRK DUN Semenyih yang baru lepas, bukan sahaja PH tewas dengan majoriti sebanyak 1,914 tetapi PH juga kalah di dua puluh PDM yang lain.

PH hanya menang di PDM Tarun, Semenyih Indah dan Bandar Rincing Seksyen 1-4 sahaja. Ketiga-tiga kawasan daerah mengundi ini pula majoriti pengundinya adalah terdiri daripada bukan Melayu.11

Menurut laporan daripada pasukan wartawan Malaysiakini pula, dianggarkan PH hanya mendapat 37.73% sahaja undi Melayu, yakni jatuh sebanyak 6.52% berbanding dengan jumlah undi Melayu sebanyak 44.25% yang diperolehi oleh PH pada PRU14 yang lepas.12

Tapi data di atas tidaklah mengejutkan. Penurunan undi Melayu sebanyak 6.5% dengan jumlah keluar mengundi seramai 73.3% berbanding 88% pada PRU14 adalah sesuatu yang boleh dijangka.

Peratusan Keluar Mengundi

Namun begitu jumlah keluar mengundi sebanyak 73.3% itu adalah yang paling tinggi berbanding dengan lima PRK yang lepas—Sungai Kandis (49.4%), Balakong (43%), Seri Setia (44%), Port Dickson (58.3%) dan Cameron Highlands (68.79%).13

Malahan jumlah keluar mengundi sebanyak 73.3% itu melebihi jangkaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sendiri yang hanya mensasarkan sebanyak 70% sahaja keluar mengundi. Data ini sendiri—peningkatan jumlah pengundi Melayu yang keluar mengundi—sebenarnya cukup menarik untuk ditimbulkan persoalan, apakah ianya juga suatu penzahiran ‘keterpendaman Melayu’?

Sebelum saya menghuraikan dengan lebih rinci tentang ‘keterpendaman Melayu’, ada baiknya dibentangkan beberapa data lagi supaya dapat dilihat dengan lebih jelas perubahan pola pengundian Melayu yang berlaku di PRK Semenyih.

Undi Melayu

Data yang paling menyerlah dalam PRK Semenyih ialah penambahan undi Melayu yang berjaya dikaut oleh UMNO. Dalam PRU14 yang lepas, laporan daripada Malaysiakini mencatatkan bahawa UMNO hanya memperolehi 35.33% sahaja undi Melayu. Namun pada PRK Semenyih ini UMNO dianggarkan telah berjaya mengutip sebanyak 59% undi Melayu, iaitu penambahan undi sebanyak hampir 24%.14

Andaian yang boleh dibuat untuk memahami penambahan peratusan yang relatifnya besar ini ialah undi Melayu yang dulunya diberikan kepada PAS kini beralih kepada UMNO memandangkan PAS tidak bertanding dalam PRK Semenyih. Data tentang sokongan yang diberikan oleh penyokong PAS kepada UMNO ini juga menarik untuk memahami ‘keterpendaman Melayu’ yang akan saya bahaskan nanti.

Undi Kelas Menengah Melayu15

Menurut laporan daripada pasukan wartawan Malaysiakini juga, kawasan daerah mengundi yang paling jelas menunjukkan peralihan pola pengundian Melayu ialah di PDM Bukit Mahkota dan Kantan Permai yang merupakan kawasan taman perumahan yang majoriti pengundinya adalah terdiri daripada kelas menengah Melayu.

Dianggarkan 8% daripada undi kelas menengah Melayu di kedua-dua kawasan tersebut telah beralih kepada UMNO. Data menunjukkan di PDM Bukit Mahkota, PH mencatat penurunan peratus sokongan undi sebanyak 10.4% manakala di PDM Kantan Permai sokongan undi kepada PH merosot sebanyak 12.3%.

Memandangkan mereka ini majoritinya adalah dari kelas menengah Melayu, andaian awal yang boleh dibuat ialah persoalan ekonomi seperti kos hidup yang meningkat dan harga barang yang belum turun mungkin bukan faktor utama yang mempengaruhi keputusan mereka untuk menolak PH.

Laporan Malaysiakini juga turut mencatat penurunan peratusan keluar mengundi di kedua-dua kawasan tersebut sebanyak 3% lebih rendah daripada PRU14.

Selain daripada menyuluh kepada peralihan undi kelas menengah Melayu yang relatifnya besar, data di atas juga menunjukkan bahawa motivasi untuk keluar mengundi di kalangan kelas menengah Melayu di PRK Semenyih juga sedikit rendah berbanding PRU14 yang lepas.

Undi di Kawasan Supermajority Melayu16

Laporan Malaysiakini turut membentangkan data-data jumlah undi yang diperolehi oleh PH di semua PDM yang bermajoriti besar (supermajority) Melayu—iaitu kawasan di mana pengundi Melayu berdaftar berjumlah antara 75%-99%.

PH tewas teruk di 15 PDM supermajority Melayu ini. Selain daripada itu, terdapat tujuh PDM yang mana PH memperolehi undi kurang daripada 30%. Di PDM Sesapan Kelubi misalnya, PH hanya memperolehi kira-kira 25% undi sahaja.

Daripada kutipan data-data di atas jelas menunjukkan terdapat perubahan pola pengundian yang ketara di kalangan pengundi-pengundi Melayu di DUN Semenyih.

Persoalan seterusnya ialah kenapa ia berlaku?

Sudah banyak jawapan sebenarnya yang telah diberikan oleh penganalisis-penganalisis politik tentang kekalahan PH di PRK Semenyih. Daripada faktor kegagalan PH menunaikan janji manifesto PRU14 mereka, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh PAS, Menteri-Menteri PH yang kurang berpengalaman, kos hidup yang masih terus meningkat, populariti Najib dengan jenama “bossku” beliau, ketakutan Melayu terhadap DAP, kedudukan Islam yang dianggap terancam, sehinggalah kepada faktor calon yang dilihat kurang berwibawa—semua faktor-faktor ini pada hemat saya adalah munasabah.

Justeru itu, tidak perlu lagi untuk saya mengulang jawapan yang telah pun dihuraikan dengan cukup baik oleh penganalisis-penganalisis politik tersebut.

‘Keterpendaman’

Huraian saya kepada soalan kenapa kekalahan itu berlaku akan lebih menumpukan kepada aspek psikologi-sosial menerusi konsep yang saya istilahkan sebagai ‘keterpendaman Melayu’.

Apa itu ‘keterpendaman’? Keterpendaman adalah dari kata akar pendam yang membawa maksud—tersembunyi, tersorok, tertutup tapi ada dan sudah tersimpan lama; tersembunyi sudah lama di dalam hati; ditekan ke bawah sehingga tidak nampak oleh pemerhatian kasar tapi ada; tidak kelihatan secara nyata tapi wujud dalam rasa; sesuatu yang dirasa di dalam hati tapi belum dizahirkan secara nyata; dan secara umumnya ia mempengaruhi dinamika hubungan dan interaksi antara individu dengan individu dan antara satu kelompok manusia dengan kelompok manusia lain yang berbeza.

Daripada takrifan saya itu ‘keterpendaman’ adalah suatu bentuk perasaan. Wujudnya di ruang rasa. Tapi wujudnya rasa itu adalah dari proses dan pengalaman yang dilalui di alam nyata yang berkait rapat dengan proses sejarah yang dikongsi bersama atau dirasakan dikongsi bersama oleh sesuatu kelompok manusia itu dan juga bentuk hubungan serta interaksi yang berlaku antara kelompoknya dengan kelompok yang lain.

‘Keterpendaman Melayu’: Suatu Takrifan Awal

Justeru itu, ‘keterpendaman Melayu’ adalah perasaan kolektif manusia Melayu yang tersembunyi dan tersorok dalam hati sejak lama dahulu, yang mana keberadaan rasa tersebut adalah hasil daripada proses sejarah yang panjang yang berlaku atau dirasakan berlaku yang dilalui oleh manusia-manusia ‘Melayu’ secara kolektif di awal pembentukannya sebagai sebuah bangsa menerusi hubungan dan interaksinya dengan ‘yang lain’ (the other)17 serta artifak-artifak budaya sepunya yang diperkongsikan bersama dan diwarisi oleh generasi Melayu yang seterusnya melalui naratif-naratif yang diperturunkan sama ada melalui cerita-cerita rakyat, sejarah lisan mahu pun sejarah tekstual yang melahirkan mitos, sejarah fakta dan sejarah yang dirasakan (sentient history)18 yang kemudiannya membentuk memori dan ingatan yang dikongsi bersama sebagai sebuah komuniti sejarah.

Bukanlah menjadi tujuan tulisan ini untuk memperincikan bagaimana proses pembentukan ‘keterpendaman Melayu’ itu terhasil. Untuk mengungkapkannya secara rinci kerja-kerja penyelidikan yang berbentuk impirikal adalah diperlukan khususnya dari sudut pemetaan sejarah baik ditingkat makro mahu pun mikro yang melibatkan hubungan serta interaksi antara komuniti Melayu dan ‘yang lain’ (termasuk penjajah Eropah).

Namun begitu, dalam takrifan awal yang saya bentangkan di atas sedikit sebanyak sudah pun tercatat beberapa proses umum yang boleh dikutip seperti – hubungan dan interaksi sosial dengan ‘yang lain’, artifak budaya sepunya, cerita rakyat, sejarah fakta dan sejarah yang dirasakan (sentient history), mitos dan ingatan bersama.

Perasaan Umum yang Dirasa Manusia Melayu

Istilah ‘manusia Melayu’ yang saya gunakan dalam tulisan ini bermaksud mereka yang menganggap diri mereka sebagai Melayu.

Untuk mengelak daripada membuat huraian pukul-rata atau generalisasi terhadap kesemua mereka yang menganggap diri sebagai Melayu, elok saya nyatakan di sini ‘keterpendaman Melayu’ adalah perasaan yang dirasakan secara umumnya oleh kebanyakan manusia Melayu.

Adalah diakui ‘keterpendaman Melayu’ ini mungkin tidak dikongsi oleh semua Melayu tetapi menjadi rasa yang ada pada kebanyakan manusia Melayu di Malaysia ini.

Situasi ‘Keterpendaman Melayu’ Dizahirkan

Memandangkan ‘keterpendaman Melayu’ ini adalah suatu rasa yang tersembunyi tapi ada, maka penzahiran rasa kolektif yang ada itu tidak ditunjukkan secara terbuka atau langsung kecuali bila munculnya situasi tertentu yang mendesak yang memerlukan rasa itu dizahirkan. Ianya terpendam tapi akan dizahirkan dan diserlahkan bila faktor-faktor sosialnya muncul dan situasinya tiba.

Dan PRK DUN Semenyih adalah situasi di mana ‘keterpendaman Melayu’ itu telah dizahirkan. Begitu juga dengan demontrasi ICERD yang menghimpunkan puluhan ribu manusia-manusia Melayu dari seluruh pelusuk Malaysia adalah satu lagi contoh situasi di mana ‘keterpendaman Melayu’ dizahirkan secara terbuka dan langsung.

Penzahiran ‘keterpendaman Melayu’ di perhimpunan anti-ICERD misalnya, selain daripada ucapan-ucapan pemimpin yang berisi retorik-retorik Melayu dan Islam, di akar-umbi juga terzahir peluahan perasaan oleh puluhan ribu peserta yang menyertai perhimpunan tersebut yang mengambil bentuk-bentuk perlambangan dan simbolik seperti slogan yang digunakan, sepanduk yang diangkat, kata-kata pada plakad, poster dan kain rentang yang digunakan, sejarah silam momen-momen penyatuan Melayu yang dipanggil semula dalam ucapan dan yang tertera pada sepanduk, serta jenis pakaian yang dipakai oleh beberapa kelompok yang mencerminkan ciri-ciri yang khas keMelayuan (dan keIslaman).19

Mengambil contoh dari sejarah yang lepas pula—peristiwa perang antara Melayu dan ‘Bintang Tiga’ yang memakan korban ratusan orang di zaman selepas Jepun menyerah kalah,20 gerakan anti-Malayan Union yang turut menghimpunkan ramai manusia-manusia Melayu dari seluruh Semenanjung,21 dan tragedi 13 Mei 196922 yang menyaksikan amukan manusia-manusia Melayu adalah antara situasi di mana ‘keterpendaman Melayu’ itu dizahirkan.

Situasi yang membuatkan ‘keterpendaman Melayu’ ini dizahirkan adalah rasa tersudut, tergugat atau terancam. Situasi seperti ini jika dipergunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan mampu untuk memicu proses penzahiran ‘keterpendaman Melayu’.

Sumber Kepada ‘Keterpendaman Melayu’

Justeru, pertanyaan selanjutnya ialah apakah sumber kepada ‘keterpendaman Melayu’ ini? Sumber kepada ‘keterpendaman Melayu’ pada hemat saya adalah cita-cita dan aspirasi nasionalisme Melayu23. Apa itu nasionalisme?

Nasionalisme ialah suatu bentuk gerakan ideologi dan politik yang meletakkan ‘nasion’ atau bangsa sebagai pusat, fokus dan tumpuan keprihatinan serta kepedulian dan wujud keinginan untuk memastikan bahawa ‘nasion’ atau bangsa yang dipedulikan itu terjaga dan terbela. Sebagai suatu gerakan, nasionalisme bertujuan untuk mencapai dan mempertahankan kemerdekaan nasional, perpaduan nasional dan identiti nasional buat masyarakat di mana sebahagian daripada anggotanya dianggap telah membentuk apa yang dipanggil sebagai ‘nasion’ atau bangsa.24

Namun begitu, nasionalisme Melayu dalam perjalanan sejarahnya yang rencam dan rumit adalah sebuah nasionalisme yang gagal.25 Walaupun nasionalisme Melayu adalah satu-satunya gerakan kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu yang paling jelas bentuknya, isinya dan kewujudannya namun perjalanannya hanya separuh jalan sahaja. Nasionalisme Melayu gagal untuk sampai ke destinasi yang dicita-citakannya. Kelahirannya sebagai sebuah bangsa gagal dizahirkan dengan lebih tuntas apabila Melayu setelah kemerdekaan hanya menjadi salah satu etnik daripada pelbagai etnik yang ada di Malaysia ini. Kegagalan inilah yang menyebabkan ia menjadi sebahagian daripada sentimen, psike dan rasa kolektif bangsa Melayu yang terpendam.

Cita-cita nasionalisme Melayu dari sejarah awalnya, baik yang dari jalur kiri atau kanan, jalur bangsa atau agama, jalur bahasa atau budaya, jalur keRAJAan atau perlembagaan—disebalik keberagaman nasionalisme Melayu ini—kesemuanya bertemu di satu titik yang sama iaitu cita-cita untuk mendirikan sebuah negara-bangsa dengan rupa-bentuk Melayu, beridentiti Melayu, berkeperibadian Melayu dan berjati-diri Melayu.26

Namun begitu cita-cita ini telah digagalkan oleh realiti sejarah yang bergulir yang telah mengubah lanskap ekonomi, politik, sosial dan budaya wilayah yang kita kenali sekarang sebagai Malaysia.

Sejarah penjajahan Inggeris yang membawa masuk jutaan migran dari Tanah Besar China dan India menjadikan negara yang diwarisi bukan lagi Tanah Melayu tetapi Malaya yang majmuk dengan pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa. Kehadiran ‘yang lain’ ini tidak memungkinkan untuk Malaya kembali menjadi Tanah Melayu. Hakikat bahawa Malaya bukan lagi Tanah Melayu melahirkan suatu bentuk hasrat mengidamkan kembali yang silam, yakni Tanah Melayu yang dahulunya dibayangkan dan dirasakan sebagai beridentiti, berjati-diri dan berkeperibadian Melayu. Kerana itu hasrat yang diidamkan ini terpendam lantaran hakikat tanah air ini bukan lagi Tanah Melayu.

Keterpendaman ini menjadi semakin mendalam apabila dilihat yang lain itu tidak membaur dan tidak terserap ke dalam acuan tempatan khususnya dalam soal bahasa, sebaliknya yang lain itu membentuk pula acuannya sendiri yang dianggap sebagai asing, terpisah dan tak terintegrasi ke dalam acuan budaya, bahasa dan peradaban tempatan.

Malaya kemudiannya menjadi semakin majmuk dengan terbentuknya pula Persekutuan Malaysia yang menggabungkan negeri-negeri di Semenanjung dengan dua negeri dari Pulau Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak yang komposisi etnik, agama dan bahasa penduduk-penduduknya jauh lebih rencam daripada Semenanjung. Di kedua-dua negeri Borneo ini pula, secara demografinya Melayu bukanlah etnik majoriti dan ini tentunya telah merumitkan lagi upaya untuk menzahirkan aspirasi nasionalisme Melayu yang dicitakan itu. Justeru, cita-cita nasionalisme Melayu yang pada awalnya untuk mendirikan sebuah negara-bangsa berupa-bentuk Melayu, beridentitikan Melayu dan berkeperibadian Melayu itu akhirnya lebur tapi tak pernah berkubur.

Gagal Tapi Kekal Menjadi Aspirasi

Apa yang dicitakan oleh nasionalisme Melayu ini gagal tapi aspirasinya tetap kekal buat ramai manusia-manusia Melayu. Memandangkan ianya gagal tapi kekal wujud dan terus menjadi hasrat serta cita-cita idaman yang tak pernah hilang, maka kekal wujudnya itu adalah dalam bentuk ‘keterpendaman’.

Ia terpendam tapi tak pernah padam. Ia kekal ada dan akan terus mempengaruhi tingkah-laku politik manusia Melayu. Malahan ia wujud sebagai asas pertimbangan kepada sebarang strategi, dasar dan tindakan politik oleh mana-mana pemimpin politik Melayu baik dari parti pemerintah (PH) mahu pun parti pembangkang (UMNO dan PAS). Ia bisa berfungsi sebagai bara yang senantiasa siap untuk dinyalakan oleh mereka yang berkepentingan.

‘Keterpendaman Melayu’ Pasca PRU14

Dan bara ‘keterpendaman Melayu’ ini sudah pun mulai dinyalakan sejak BN tumbang dalam PRU14 yang lepas. Perlahan-lahan ia mula menyebar ke dalam rasa dan sentimen sebahagian daripada masyarakat Melayu sehinggakan demonstrasi anti-ICERD pada 8 Disember 2018 telah berjaya menghimpunkan puluhan ribu manusia Melayu, tua dan muda, dari seluruh Malaysia merentasi kelas-ekonomi dan fahaman politik.

Kemudiannya ia merebak pula ke PRK Cameron Highlands dan semakin tak terkawal di PRK Semenyih. Meski pun DUN Semenyih adalah milik PH pada PRU14 yang lepas, dan dimenangi dengan jumlah undi majoriti yang besar sebanyak 8,964 undi, ditambah pula dengan kelebihan PH sebagai kerajaan yang memerintah negeri Selangor dan Persekutuan, namun tetap saja PH tewas.

Hatta kehadiran Perdana Menteri Tun Mahathir sendiri yang turun berkempen di Semenyih pun tetap gagal untuk menghalang nyalaan bara ‘keterpendaman Melayu’ ini.

Dan penzahiran ‘keterpendaman Melayu’ yang paling berpengaruh tentunya datang dari kerjasama rasmi dua parti Melayu dan Islam yang terbesar di Malaysia, UMNO dan PAS, yang telah pun ditandatangani pada 5 March 2019 yang lepas.

Apakah yang mendasari kerjasama kedua-dua parti yang dahulunya merupakan musuh ketat ini?

Berdasarkan data PRK Semenyih yang telah saya bentangkan sebelumnya, jelas bahawa undi Melayu baik yang dari kawasan kampung dan pinggir bandar mahu pun dari kawasan taman perumahan di bandar, majoriti daripada mereka memberikan sokongan kepada UMNO.

Kenaikan peratus sokongan undi Melayu kepada UMNO sebanyak hampir 24%,27 pada hemat saya adalah suatu bentuk penzahiran ‘keterpendaman Melayu’ oleh sebahagian besar pengundi-pengundi Melayu di Semenyih.

Setelah sembilan bulan PH memerintah, majoriti pengundi-pengundi Melayu di Semenyih telah menzahirkan penolakan mereka terhadap PH dengan jelas. Apakah sebab kepada penolakan tersebut adalah kerana isu-isu ekonomi seperti kos hidup yang tinggi, harga barang yang masih belum turun, kutipan tol yang gagal dimansuhkan atau yang seumpamanya?

Sokongan daripada Penyokong PAS

Sebab-sebab ekonomi tentunya turut menyumbang tapi pada masa yang sama dari data PRK Semenyih yang telah saya kemukakan didapati pengundi-pengundi kelas menengah Melayu di kawasan supermajority Melayu di Bukit Mahkota dan Kantan Permai misalnya, telah mengalihkan sokongan mereka kepada UMNO.

Malahan dari data yang dilaporkan oleh Malaysiakini itu juga menunjukkan peralihan sokongan kelas menengah Melayu melibatkan jumlah yang cukup signifikan iaitu sebanyak 10.4% di Bukit Mahkota dan 12.3% di Kantan Permai.28 Memandang mereka datang dari kelas menengah, kemungkinan faktor ekonomi bukan menjadi sebab utama kepada peralihan sokongan, tidak boleh diketepikan.

Peralihan sokongan kelas menengah Melayu ini tentunya boleh juga diandaikan sebagai dukungan yang diberikan oleh penyokong-penyokong PAS kepada calon UMNO memandangkan PAS tidak bertanding di PRK Semenyih.

Walau apa pun andaian yang dibuat, berdasarkan data yang dikutip menunjukkan sebahagian besar kelas menengah Melayu di Semenyih telah menolak PH, dan penyokong-penyokong PAS di Semenyih pula telah memberikan kesanggupan untuk turut mengundi parti UMNO, yang dulunya merupakan musuh ketat mereka.

‘Keterpendaman Melayu’ Punca Sokongan

Persoalan selanjutnya ialah apakah yang menyebabkan peralihan sokongan majoriti pengundi Melayu khususnya kelas menengah Melayu untuk menolak PH dan apakah pula yang mendorong kesanggupan penyokong PAS untuk sama-sama memberi sokongan kepada UMNO di PRK Semenyih ini?

Jawapan untuk kedua-dua soalan ini seperti mana yang telah banyak dianalisa oleh ramai pengkritik-pengkritik politik ada pelbagai. Dari sebab ekonomi, janji yang gagal ditunaikan sehinggalah kepada sebab kepatuhan terhadap arahan pimpinan dan rasa keterancaman Melayu—semuanya ini wajar dan munasabah. Tapi pada hemat saya, sebab-sebab tersebut adalah bersifat material yang nampak. Di sebalik sebab material ini ialah sebab psikologi-sosial yang lahir daripada ‘keterpendaman Melayu’.

‘Keterpendaman Melayu’ ini jugalah yang mendorong PAS untuk sanggup berkerjasama dengan musuh ketatnya sebelum ini, UMNO. ‘Keterpendaman Melayu’ ini juga turut mempengaruhi penyokong-penyokong PAS di akar umbi untuk memberi undi mereka kepada UMNO dalam PRK Semenyih yang lepas.

Mungkin ramai yang mengajukan konsep wala’ (kepatuhan dan ketaatan terhadap arahan pucuk pimpinan) sebagai sebab yang mendorong bantuan dan sokongan diberikan oleh penyokong-penyokong PAS kepada calon UMNO. Tapi pada hemat saya ini adalah jawapan di lapisan kedua.

Kalau di lapisan pertama adalah sebab-sebab yang bersifat material, di lapisan kedua pula adalah sebab-sebab yang bersifat ideologikal iaitu suatu bentuk pemikiran yang ditanam dan disemai sehingga ianya menjadi keyakinan. Wala’ berada di lapisan kedua wujud diri manusia.

Di sebalik lapisan pertama dan kedua inilah wujudnya lapisan psikologi-sosial yang di dalamnya terkandung ‘keterpendaman Melayu’ yang dicirikan oleh cita-cita dan aspirasi nasionalisme Melayu.

Walau pun kedua-dua parti Melayu ini membawa dua unsur nasionalisme Melayu yang berbeza tapi di peringkat ini, melihat kepada cita-cita dan aspirasi nasionalisme Melayu yang mungkin akan dikuburkan dengan adanya DAP pembawa ideologi ‘Malaysian Malaysia29 sebagai sebahagian daripada parti pemerintah, maka dorongan untuk berkerjasama itu kelihatannya kuat, sekurang-kurangnya di kalangan pimpinan kedua-dua parti ini.

‘Keterpendaman Melayu’ Sebagai Survival Instrument

Walaupun cita-cita dan aspirasi nasionalisme Melayu yang dianggap terhalang menjadi sumber kepada kerjasama antara UMNO dan PAS, namun ianya juga boleh dijadikan instrument atau alat untuk melindungi dan mempertahankan kelangsungan kedua-dua parti ini serta elit-elit kepimpinan mereka.

Memandangkan ‘keterpendaman Melayu’ yang bersumberkan nasionalisme Melayu yang gagal ini berada di lapisan psikologi-sosial, maka sentimen emosi dan perasaan adalah ruang yang boleh dimanipulasi dan digembeleng untuk meraih sokongan dan seterusnya dijadikan sebagai alat survival buat parti dan elit-elit parti.

Proses penggembelingan perasaan dan emosi ini boleh dilakukan dengan menyeru dan memanggil kembali ‘keterpendaman Melayu’, yakni dibangkitkan semula cita-cita dan aspirasi nasionalisme Melayu yang gagal itu, dan sumber kegagalan ini akan ditujukan kepada ‘yang lain’ yang didakwa sebagai penghalang kepada cita-cita dan aspirasi nasionalisme Melayu.

Justeru, yang membolehkan ‘keterpendaman Melayu’ ini diseru dan dipanggil kembali adalah kerana ianya sudah tersedia ada. Dan kerana ianya tersedia ada, maka tidak menjadi suatu kepelikan jika ia dijadikan instrument atau alat yang digunakan ketika menghadapi gugatan yang dinilai sebagai merbahaya bagi survival sesuatu komuniti, pertubuhan atau elit-elit yang ada dalam pertubuhan tersebut.

Kedua-dua pertubuhan politik terbesar Melayu dan Islam ini sememangnya dalam situasi yang tergugat dan terdesak dengan pelbagai dakwaan mahkamah yang melibatkan rasuah dan juga tuduhan berbohong serta menipu dari sebahagian masyarakat awam. Justeru, ‘keterpendaman Melayu’ yang terbentuk daripada cita-cita nasionalisme Melayu itu boleh diseru, dibangkitkan dan dipropagandakan sebagai terancam.

Cita-cita nasionalisme Melayu yang sedang diancam adalah sumber sedia ada yang paling berkesan untuk digunakan sebagai alat penggembeling sokongan bagi melindungi pertubuhan masing-masing dan juga menyelamatkan diri elit-elit kepimpinan mereka sendiri.

Apatah lagi bila institusi politik yang dilihat mengancam itu sebahagian besarnya datang daripada DAP, sebuah parti yang dikuasai oleh kaum Cina yang dari sudut ideologi, tradisi dan sejarahnya, menolak cita-cita dan aspirasi nasionalisme Melayu.30

Rasa keterancaman itu tentulah diperkukuhkan lagi apabila parti yang dilihat menolak aspirasi nasionalisme Melayu ini telah pula menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah dan kini mempunyai akses kuasa yang lebih luas dalam membuat keputusan pemerintahan negara.

Sumber Propaganda Datang dari Kondisi Politik Semasa

Cita-cita nasionalisme Melayu yang terancam ini sebenarnya tidak susah untuk dipropagandakan bagi memicu sentimen dan perasaan manusia-manusia Melayu. Bahan untuk dipropagandakan itu datang daripada sumber yang muncul sejak berlakunya peralihan kuasa pada PRU14 yang lepas. Kewujudan internet, algoritma yang berada di luar kawalan kita dan tahap literasi digital yang rendah dalam kalangan masyarakat awam dalam menyaring dan menilai maklumat-maklumat yang diperolehi daripada media sosial, mempermudahkan lagi proses penggembelingan emosi dan perasaan.

Isu-isu yang muncul sejak kekalahan BN pada 9 Mei 2018 yang lepas seperti—cadangan pembukaan UiTM kepada bukan bumiputera, pelantikan jawatan Menteri Kewangan dan Peguam Negara, cadangan untuk meratifikasi ICERD, rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman Seafield, tuntutan untuk mengiktiraf Sijil UEC, pemberian dana jutaan ringgit kepada sekolah-sekolah dan kolej-kolej Cina, kenyataan Kulasegaran Menteri dari DAP yang mendakwa Melayu bangsa pendatang, kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad dan isteri beliau Aisyah, kenyataan awal Lim Guan Eng tentang kerjasama antara UMNO-PAS sebagai perisytiharan perang tehadap bukan Muslim, ADUN Mengkibol dari DAP yang mengeluarkan kenyataan berkenaan pembunuhan umat Islam di masjid Christchurch New Zealand, serta berbagai-bagai lagi insiden semasa yang lain—telah dipropagandakan sebagai usaha untuk memadamkan unsur-unsur yang ada dalam nasionalisme Melayu.

Semua kejadian ini dengan taktik dan strategi propaganda yang berkesan serta berterusan, tambahan pula dengan adanya media sosial yang tak terbatas dan luas capaiannya serta operasi algoritma internet yang cenderung picik (insular), sedikit sebanyak pasti telah berjaya menimbulkan rasa resah dan terancam yang bertumpuk-tumpuk buat sebahagian besar daripada manusia-manusia Melayu sejak daripada PRU14 sembilan bulan yang lepas.

Menangani Ledakan ‘Keterpendaman Melayu’

Rasa resah dan terancam yang menumpuk ini tentulah ada batasnya. Lama-kelamaan sentimen nasionalisme Melayu yang terpendam itu pasti meledak dan dizahirkan. Ledakan ‘keterpendaman Melayu’ yang bermula di perhimpunan anti-ICERD itu nampaknya diteruskan penzahirannya sehingga ke PRK Semenyih dan yang paling mutakhir ianya turut menjangkiti PRK DUN Rantau, pada 13 April 2019 yang baru lepas apabila UMNO menang besar mengalahkan calon Pakatan Harapan.

Justeru, untuk menangani ledakan ‘keterpendaman Melayu’ dan menghentikannya dari terus merebak dan memberi kesan kepada kestabilan politik negara, maka unsur-unsur yang membentuk nasionalisme Melayu terpendam ini perlulah dikenalpasti, difahami dan kemudian dicari jalan penyelesaiannya.

Terdapat pelbagai unsur yang membentuk nasionalisme Melayu. Unsur mana yang diangkat sebagai fokus perjuangan sesuatu kelompok itu bergantung kepada jalur ideologi pemikiran politik masing-masing. Justeru, harus difahami bahawa nasionalisme Melayu tidak bersifat tunggal. Sebaliknya pelbagai. Tapi disebalik kepelbagaian bentuk itu terdapat cita-cita dan aspirasi yang sama iaitu cita, aspirasi dan keinginan untuk memastikan rupa-bentuk, identiti dan keperibadian Melayu menjadi teras utama kepada wajah politi yang dinamakan Malaysia ini.

Penzahiran wajah politi yang berunsurkan keMelayuan ini penting dalam upaya untuk ia (baca: nasion) membezakan dirinya dengan politi-politi lain yang wujud dalam dunia ini. Dan hal ini adalah sesuatu yang lazim dan wajar sahaja bagi mana-mana komuniti nasional—yakni kecenderungan untuk menjadikan diri nasional (national-self) berkeperibadian khas dan unik dirinya sendiri berbeza daripada komuniti nasional yang lain; atau dalam istilah bahasa Latinnya sui-generis.

Dari pemerhatian saya terdapat tujuh unsur nasionalisme Melayu yang menjadi sumber kepada ‘keterpendaman Melayu’ ini.

Cita-Cita Politik

Unsur yang pertama adalah cita-cita politik—yakni keinginan untuk memastikan kepimpinan politik kepada politi Malaysia ini kekal di tangan Melayu.

Kepimpinan politik ini bukan hanya semata-mata diwakili oleh jawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri tetapi juga kedudukan dan jawatan penting yang strategik di dalam Kabinet Menteri, Jabatan Kerajaan dan juga Perkhidmatan Awam. Kerana itu perlantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara telah menimbulkan bangkangan dari sebahagian masyarakat Melayu.

Dalam ‘keterpendaman Melayu’ ini, unsur politik adalah dianggap paling penting kerana ia diyakini sebagai kunci utama yang membolehkan unsur-unsur nasionalisme lain ditegakkan dan dilaksanakan. Tanpa kunci utama ini (baca: kuasa politik), pintu-pintu lain yang ada dalam tubuh nasionalisme Melayu, dipercayai sukar untuk dibuka. Kerana itu ia menjadi unsur terpenting dalam cita-cita nasionalisme Melayu.

Cita-Cita Ekonomi

Unsur yang kedua adalah cita-cita ekonomi—yakni keinginan untuk memastikan agihan kekayaan negara Malaysia ini turut dapat dinikmati dengan lebih adil dan saksama di mana kemiskinan Melayu dapat dihapuskan dan jurang kekayaan antara Melayu dan bukan Melayu dapat dikurangkan.

Cita-cita ekonomi ini berakar-umbi dari sejarah kolonial pecah dan perintah yang sebahagiannya telah meminggirkan penglibatan orang Melayu daripada sistem ekonomi pasar kapitalisme (capitalism market-economy) sehinggakan di awal tahun-tahun kemerdekaan komuniti Melayu adalah antara komuniti paling miskin dan terkebelakang dari sudut ekonomi.

Cita nasionalisme ekonomi Melayu ini berterusan sehinggalah sekarang dan pencapaian kolektifnya masih lagi dilihat oleh ramai orang Melayu sebagai gagal. Cita-cita ekonomi ini saling bertaut dengan cita-cita politik nasionalisme Melayu.

Ini adalah kerana cita-cita ekonomi dipercayai hanya boleh ditegakkan dan dilaksanakan jika sekiranya Melayu mempunyai kuasa politik. Kehilangan kuasa politik cenderung diyakini sebagai hambatan atau penghalang untuk merealisasikan cita-cita ekonomi.

Kerana itu jugalah perlantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan misalnya, menjadi satu polemik dalam masyarakat Melayu dan dipropagandakan sebagai sesuatu yang negatif buat masa depan ekonomi bangsa Melayu. Disebabkan oleh cita-cita ekonomi yang terkandung dalam nasionalisme Melayu ini jugalah makanya Tun Mahathir Mohamad mewujudkan satu portfolio baru iaitu Menteri Hal-Ehwal Ekonomi dan melantik Azmin Ali untuk menerajuinya walau pun Lim Guan Eng sudah pun memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan. Ini tentunya dilakukan atas pertimbangan cita-cita ekonomi nasionalisme Melayu yang terpendam.

Cita-cita ekonomi adalah unsur nasionalisme Melayu yang sangat penting buat manusia Melayu dan sering kali menjadi agenda utama parti-parti politik Melayu tidak kira samada yang di sebelah pemerintah, mahu pun pembangkang.

Kenyataan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, yang mengatakan bahawa agenda memperkasakan ekonomi bumiputera perlu dilaksanakan dengan lebih gigih tanpa perlu meminta maaf,31 selepas kekalahan PH di PRK Semenyih misalnya, adalah penzahiran kepada unsur cita-cita ekonomi yang terkandung di dalam nasionalisme Melayu ini.

Cita-Cita Agama

Ketiga, unsur cita-cita agama—yakni keinginan untuk meletakkan Islam di kedudukan yang paling tinggi berbanding agama-agama lain. Kedudukan tinggi ini bukan hanya dicitakan dalam bentuk perlembagaan atau undang-undang semata-mata tetapi juga sebagai suatu sistem nilai, budaya dan kepemerintahan yang perlu diangkat menjadi teras utama pengaturan hidup bernegara dan bermasyarakat.

Kerjasama rasmi yang dijalin antara UMNO dan PAS misalnya adalah sebahagian daripada cita-cita agama yang terkandung di dalam nasionalisme Melayu. Kenyataan dari pemangku Presiden UMNO, Mohammad Hassan yang menganggap bahawa kerjasama antara UMNO dan PAS sebagai suatu langkah ke arah ‘penyatuan ummah’32 adalah contoh cita-cita agama yang ada di dalam nasionalisme Melayu.

Begitu juga dengan kenyataan daripada Menteri Hal-Ehwal Agama Islam, Mujahid Yusof Rawa yang mengatakan bahawa kerajaan PH tidak akan memberi sebarang pengiktirafan kepada gaya hidup dan amalan LGBT di negara Malaysia,33 adalah satu lagi contoh cita-cita agama yang terkandung di dalam nasionalisme Melayu yang terpendam ini.

Unsur cita-cita Islam dalam nasionalisme Melayu ini wujud dan hadir dalam setiap tubuh parti-parti Melayu samada parti pemerintah mahu pun pembangkang tapi dalam bentuk dan intensiti yang berbeza-beza. Malahan unsur agama ini seringkali digunakan untuk meraih sokongan daripada masyarakat Melayu dan Islam.

Dari sudut sejarah awal perkembangannya, cita-cita Islam ini bukanlah unsur yang paling dominan dalam nasionalisme Melayu. Akan tetapi mutakhir ini khususnya sejak dari zaman kebangkitan Islam di tahun-tahun 1970-an, sehinggalah ke hari ini, Islam telah menjadi unsur yang semakin penting dan berpengaruh di dalam menggembleng sentimen nasionalisme Melayu.

Kemungkinan yang boleh dikutip daripada fenomena ini ialah unsur agama yang ada dalam nasionalisme Melayu adalah unsur yang paling berdaya tahan dan paling mampu menghadapi cabaran-cabaran yang timbul daripada proses modeniti dan globalisasi, kerana di dalam unsur agama itu terkandung keyakinan yang bersifat transendental dan dianggap pula sebagai kudus.

Cita-Cita Budaya

Keempat, unsur cita-cita budaya—yakni keinginan untuk menempatkan budaya Melayu sebagai budaya teras yang mencirikan rupa-bentuk, identiti dan keperibadian Malaysia.

Budaya dalam erti-kata yang luas termasuklah tatacara pengelolaan kehidupan, nilai kolektif, pandangan dunia, tingkah-laku, adat-istiadat, warisan, tradisi dan juga artifak-artifak budaya dalam bentuk kesenian, kesusasteraan, seni bina, pakaian, makanan dan simbol-simbol keMelayuan yang terjelma darinya.

Memandangkan budaya sifatnya adalah anjal, berubah dan tidak statik—maka unsur ini senantiasa tertakluk kepada perubahan, khususnya yang diakibatkan oleh transformasi sosial dan perubahan struktural dalam masyarakat.

Justeru, tumpuan cita-cita budaya ini umumnya akan difokuskan kepada keinginan untuk menempatkan artifak-artifak budaya keMelayuan yang ketara dan boleh dipegang (tangible) khususnya dalam bentuk kesenian, kesusasteraan, pakaian, makanan, senibina, tradisi dan adat-istiadat sebagai suatu bentuk simbol, perwakilan dan perlambangan utama kepada politi Malaysia.

Cita-Cita Bahasa

Kelima, unsur cita-cita bahasa—yakni keinginan untuk mengangkat bahasa kebangsaan Malaysia iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa utama masyarakat Malaysia dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama yang digunakan seharian secara meluas.

Cita bahasa ini bukan hanya mahukan bahasa kebangsaan digunakan di sekolah kebangsaan tetapi juga di segenap ruang kehidupan awam baik di bidang politik, ekonomi, pendidikan, sosio-budaya, wacana keilmuan, universiti, undang-undang, ruang masyarakat sivil dan juga aktiviti-aktiviti awam yang lain.

Dari sudut sejarah perkembangan awalnya, cita bahasa ini adalah antara cita yang menjadi fokus penting buat nasionalisme Melayu dari jalur pemikiran kiri dan sering menjadi isu yang diangkat oleh tokoh-tokoh kiri seperti Ibrahim Yaakob, Burhanuddin al-Helmy, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, tokoh-tokoh dalam Gerakan ASAS 50 dan nasionalis-nasionalis Melayu kiri yang lainnya.

Namun di perkembangan sejarah cita bahasa ini yang selanjutnya, ia seperti kehilangan arah dan pengaruh—akibat daripada pemenjaraan tokoh-tokoh politiknya, kooptasi oleh negara ke atas pejuang-pejuangnya yang diserap masuk ke dalam struktur institusi dan birokrasi negara, keengganan sebahagian besar daripada bukan Melayu khususnya masyarakat Cina untuk menerima sepenuhnya cita bahasa kebangsaan, pengIslaman bahasa Melayu di mana ada istilah bahasa Melayu dan juga upacara agama selain daripada Islam yang dilarang menggunakan bahasa Melayu, pengIslaman sekolah kebangsaan yang merupakan wahana utama dalam perkembangan bahasa Melayu, permintaan dari pasaran pekerjaan yang memberi keutamaan kepada bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin, kewujudan pelbagai aliran sekolah yang menggunakan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, dasar kerajaan sendiri yang memperlemahkan penggunaan bahasa kebangsaan, tingkahlaku dan perangai elit-elit Melayu sendiri yang lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa kebangsaan, kelas intelektual Malaysia yang lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris dan ada di antara mereka yang tiada kefasihan berwacana dan menulis dalam bahasa kebangsaan, dan juga perubahan struktural sosio-ekonomi-teknologi dan mobiliti sosial masyarakat yang telah berlaku dengan pesatnya di Malaysia—kesemua ini mempengaruhi cita-cita bahasa yang terkandung di dalam nasionalisme Melayu sehinggakan intensitinya menjadi luntur.

Namun begitu ia tetap ada dan tak pernah padam. Malah dalam beberapa situasi punya keupayaan untuk diseru dan dipanggil semula sebagai sebahagian daripada sumber penggembelingan sentimen ‘keterpendaman Melayu’.

Cita-Cita Sejarah

Keenam, unsur cita-cita sejarah—yakni keinginan untuk terus mempertahankan dan meletakkan naratif sejarah khususnya sejarah awal Malaysia sebagai bermula dari politi-politi awal keRAJAan Melayu tradisional dan bangsa Melayu sebagai satu-satunya komuniti bumiputera—dari sekian banyak komuniti bumiputera lain—yang memulakan sistem pemeritahan berkeRAJAan dan berperundangan di wilayah politik yang dinamakan Malaysia ini.

Dalam erti kata lain cita-cita sejarah ini mahukan naratif sejarah Malaysia memberi keutamaan kepada sejarah bangsa Melayu manakala komuniti lain diberi peranan sampingan. Dalam cita-cita sejarah ini juga Melayu diangkat sebagai bangsa pentakrif kepada rupa-bentuk, identiti dan keperibadian Malaysia berdasarkan kepada dalil hujah bahawa bangsa Melayu adalah pemula kepada sistem kepemerintahan dan keperundangan yang bercorak keRAJAan yang institusinya kekal sehingga kini.

Bangsa Melayu menurut cita sejarah ini pernah mengecapi zaman keagungan dan kegemilangannya sebelum mengalami kejatuhan dan kemerosotan akibat dijajah oleh kuasa-kuasa imperial Eropah. Kemerdekaan yang diperolehi setelah dijajah selama beratus tahun dianggap sebagai satu peluang yang perlu digunakan untuk membetulkan kembali kesalahan-kesalahan penjajah dan mengembalikan semula kegemilangan bangsa.

Walau pun terdapat perbezaan cita-cita sejarah yang terkandung dalam unsur nasionalisme Melayu ini—sama ada mahu mengangkat zaman keRAJAan-keRAJAan yang rajanya menganut agama Hindu-Buddha atau membatasinya kepada keRAJAan-keRAJAan yang rajanya menganut agama Islam sahaja—tapi yang nyata, kedua-duanya sepakat dalam cita sejarah bersama iaitu kewujudan Malaysia adalah hasil daripada kesinambungan sejarah keRAJAan-keRAJAan Melayu silam—tidak kira yang beragama Hindu-Buddha atau Islam. Dan buat mereka, hal ini perlu ditonjolkan dan dipertegaskan dalam naratif sejarah Malaysia.

Pada hemat saya cita sejarah ini muncul dalam bentuk yang sebegini rupa sebahagiannya adalah akibat daripada pernyataan-pernyataan khususnya oleh bukan Melayu yang dilihat sebagai cubaan untuk menafikan keMelayuan dan/atau keIslaman politi-politi Melayu silam.

Penafian keMelayuan dan keIslaman politi-politi Melayu silam oleh bukan Melayu ini dirasakan oleh sebahagian daripada masyarakat Melayu sebagai suatu usaha untuk memperlemahkan klaim kebumiputeraan bangsa Melayu dan seterusnya menghilangkan pula sumber kepada wujudnya kedudukan istimewa Melayu dan Islam di dalam negara Malaysia ini.

Justeru, cita sejarah ini juga seringkali dijadikan sumber utama untuk mengabsahkan kebumiputeraan dan kedudukan istimewa Melayu serta Islam seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.

Cita-Cita Beraja

Ketujuh, unsur cita-cita beraja—yakni keinginan untuk terus melindungi dan mempertahankan institusi Raja-raja Melayu.

Unsur nasionalisme Melayu ini pada hemat saya adalah unsur yang dari sudut undang-undang telah pun dibatasi oleh Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Malaysia berkonsepkan Raja Berperlembagaan di mana kuasa Raja-Raja Melayu bukanlah mutlak seperti mana zaman silam tetapi dihadkan oleh undang-undang Perlembagaan hanya kepada urusan agama islam dan adat-istiadat Melayu sahaja.

Fungsi institusi Raja-raja Melayu dalam kehidupan bernegara pula lebih kepada bersifat simbolik dan keupacaraan (ceremonial). Namun begitu ia merupakan institusi yang cukup berpengaruh dan seringkali pula digunakan untuk memastikan beberapa unsur lain yang terkandung dalam nasionalisme Melayu terus diperjuangkan.

Terpendam Tapi Tak Pernah Padam

Tujuh unsur nasionalisme Melayu ini tidak semestinya menyatu dan padu. Pada masa yang sama pemisahan antara satu unsur dengan unsur yang lain itu tidaklah pula bersifat ketara atau beku. Terdapat kecairan dan juga saling bertindan-lapis antara satu unsur dengan unsur yang lain.

Ada kumpulan Melayu yang akan hanya memberi tumpuan kepada beberapa unsur tertentu sahaja dan ada yang akan memberi fokus kepada unsur-unsur lain yang ingin diperjuangkan dan ditegakkan. Ada pula yang menganggap seluruh unsur itu perlu diberi tumpuan dan diperjuangkan. Kesemua ini bergantung kepada jalur ideologi dan pemikiran politik masing-masing kumpulan.

Tetapi yang pasti ianya ada dan hadir di dalam jiwa dan perasaan sebahagian besar daripada manusia-manusia Melayu.

Begitu juga dengan kekuatan setiap unsur itu bergantung kepada konteks zaman dan situasi semasa serta perubahan-perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat yang akan mempengaruhi darjah kekuatan atau intensiti sesuatu unsur tersebut.

Secara umumnya, pola dan intensiti sentimen ‘keterpendaman Melayu’ ini berkait rapat dengan tindakan politik, ekonomi, sosial dan budaya yang dilakukan oleh komuniti bukan Melayu. Ia terbit sebagai satu bentuk reaksi tindak-balas yang bersifat timbal-balik. Tindakan politik, ekonomi, sosial dan budaya yang dilihat sebagai mengancam atau menggugat cita-cita nasionalisme Melayu akan diberi reaksi dan dibalas sebagai suatu upaya untuk mempertahankannya.

Walau apa pun pola atau darjah intensiti unsur-unsur nasionalisme Melayu itu, yang perlu disedari ialah ianya masih wujud di dalam perasaan dan terus berlangsung sehingga kini. Dan kemungkinan besar takkan padam-padam kerana ia sudah pun tersulam kejap dalam psike dan perasaan manusia-manusia Melayu.

Kelangsungan rasa ‘keterpendaman Melayu’ ini sebahagian besarnya adalah akibat daripada struktur sosial dan persekitaran masyarakat Malaysia yang kehidupan hariannya masih lagi terpisah-pisah mengikut garis etnik, agama dan bahasa, dan masih gagal terintegrasi dengan baik.

Kondisi terpisah ini tentunya tidak kondusif di dalam proses pembinaan bangsa. Malahan ianya menghambat proses interaksi yang lebih mendalam, intim dan bermakna antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu sehinggakan unsur-unsur nasionalisme Melayu yang terkandung di dalam ‘keterpendaman Melayu’ terus hidup subur dan mampu diseru, digembeling dan diperjuangkan jika keadaan memerlukannya.

Kalau tidak pun semua unsur-unsur nasionalisme Melayu itu diperjuangkan, saya yakin sebahagian atau sekurang-kurang satu daripadanya akan masih diangkat untuk ditegakkan oleh sebahagian besar daripada manusia-manusia Melayu dengan berbagai bentuk dan cara.

Komuniti Lain dalam Cita-Cita Nasionalisme Melayu

Sementara itu kedudukan komuniti-komuniti bukan Melayu, khususnya yang bukan bumiputera dalam cita-cita nasionalisme Melayu ini bergantung kepada sejauh mana intensiti sentimen dan bentuk nasionalisme yang diperjuangkan oleh masing-masing kumpulan Melayu.

Pada umumnya komuniti bukan Melayu akan dilibatkan sekali di dalam perkongsian Malaysia melalui jalinan kerjasama yang akan dirundingkan oleh elit-elit yang mewakili kumpulan-kumpulan Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak serta bukan Melayu. Penglibatan bukan Melayu dalam perkongsian Malaysia adalah sesuatu yang sudah menjadi tradisi dalam pemerintahan politi Malaya sejak kemerdekaan 1957 dan pembentukan Persekutuan Malaysia 1963.

Cita-cita yang terkandung dalam nasionalisme Melayu biasanya akan dilunakkan untuk menyesuaikan dan mengakomodasi hakikat kerencaman serta kepelbagaian suku-kaum, etnik, agama, budaya dan bahasa yang wujud di Malaysia ini.

Akan tetapi sentimen nasionalisme Melayu yang dipegang oleh sebahagian besar daripada manusia Melayu umumnya punya kecenderungan untuk memastikan ketujuh-tujuh unsur yang terkandung di dalamnya itu terus diperjuangkan dan ditegakkan.

Unsur-unsur Melayu dan keMelayuan dicita-citakan sebagai simbol dan teras utama yang melambangkan Malaysia, manakala unsur-unsur bumiputera yang lain dan bukan bumiputera umumnya akan diposisikan sebagai pendamping atau pendukung kepada unsur teras, yakni Melayu. Begitu juga dengan dasar-dasar negara, keutamaan umumnya akan diberikan kepada Melayu dan bumiputera yang lain.

Kecenderungan dan keutamaan ini tentunya dilihat oleh bukan bumiputera sebagai suatu bentuk diskriminasi dan ketidakadilan dalam kehidupan bernegara, dan ianya cenderung membuatkan bukan bumiputera merasa tidak diiktiraf dan tidak dirangkumkan serta tersisih daripada naratif yang diangkat dan diperjuangkan oleh nasionalisme Melayu.

Keterpendaman Bukan Melayu

Nasionalisme yang tidak berketerangkuman, menolak pengiktirafan dan menyisihkan keadilan buat bukan Melayu akan melahirkan pula keterpendaman yang lain—’keterpendaman bukan Melayu’. Keterpendaman dalam konteks ini bukan hanya boleh lahir dalam perasaan manusia-manusia Melayu semata-mata tetapi bisa muncul dalam komuniti-komuniti bukan Melayu juga.

Jika ‘keterpendaman Melayu’ lahir daripada kegagalan cita-cita dan aspirasi nasionalisme Melayu, ‘keterpendaman bukan Melayu’ pula pada hemat saya terbentuk daripada rasa tidak dirangkumkan, kekurangan pengiktirafan dan keadilan terbatas yang dirasai dan/atau dialami oleh komuniti-komuniti ini dalam kehidupan bernegara di Malaysia.

Justeru, persoalan seterusnya ialah bagaimana untuk membina sebuah nasionalisme yang lebih berketerangkuman, mengiktiraf yang lain, serta adil buat semua, dan pada masa yang sama mengimbangi cita-cita nasionalisme Melayu agar dapat pula menangani permasalahan dan kerumitan dalam kehidupan bernegara yang dipicu oleh ‘keterpendaman Melayu’ ini?


Bahagian Dua
DARI ‘KETERPENDAMAN MELAYU’ KE NASIONALISME MALAYSIA TERANGKUM

Pendahuluan

Keputusan PRK DUN Rantau dan Semenyih serta kerjasama antara UMNO dan PAS yang telah termaterai secara rasmi pada 5 Mac 2019 lepas, pada hemat saya adalah suatu bentuk penzahiran kepada ‘keterpendaman Melayu’. Sumber kepada ‘keterpendaman Melayu’ ini adalah cita-cita nasionalisme Melayu yang tak kesampaian. Lantaran ketidaksampaian cita-cita itu, maka ianya disimpan dan terpendam di dalam hati tapi mampu diseru kembali, dibangkitkan dan dizahirkan bila sudah cukup ramuan, bahan serta kena pula dengan situasinya.

Merujuk kepada kerjasama antara UMNO-PAS, unsur apakah daripada nasionalisme Melayu yang menjadi cita-cita mereka masih belum begitu jelas lagi buat masa sekarang. Apakah unsur cita-cita politik? Cita-cita ekonomi? Cita-cita agama? Budaya? Bahasa? Sejarah? Atau raja? Atau kesemuanya sekali menjadi cita-cita yang mendasari kerjasama antara UMNO dan PAS ini? Atau ada unsur yang menjadi fokus utama dan ada unsur yang menjadi fokus sampingan?

Walau pun kenyataan daripada kepimpinan kedua-dua parti menumpukan kepada aspek demi ‘penyatuan ummah’ tapi perincian tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘penyatuan ummah’ itu masih kabur dan belum ada agenda-agenda bersama yang diperincikan dengan jelas kecuali sebagai kerjasama politik untuk mengalahkan Pakatan Harapan bagi merebut kembali kuasa yang hilang.

Justeru, hanya masa yang akan menentukan sama ada jalinan kerjasama antara dua parti Melayu dan Islam terbesar ini mampu untuk menyatukan unsur-unsur nasionalisme Melayu yang berbeza yang diperjuangkan oleh parti masing-masing dan seterusnya kekal bertahan dalam kesatuan yang dibangunkan itu.

Kerja Buat Praktikal

Merujuk kembali kepada kekalahan Pakatan Harapan (PH) di PRK Rantau dan Semenyih, peralihan sokongan yang ketara oleh pengundi-pengundi Melayu kepada pembangkang, dan penzahiran ‘keterpendaman Melayu’ dalam beberapa siri protes dan demostrasi sejak PRU14 yang lepas, maka soalan yang lebih penting untuk diajukan ialah pertamanya, apakah yang kerajaan PH perlu lakukan untuk memastikan nasib di Rantau dan Semenyih tidak berulang di PRU15 nanti?; dan keduanya, apakah yang mampu kerajaan PH tawarkan untuk menandingi tawaran cita-cita nasionalisme Melayu yang akan muncul hasil dari kerjasama UMNO-PAS?

Pada hemat saya jawapan untuk soalan pertama memerlukan kerja buat berbentuk praktikal, manakala jawapan untuk soalan kedua pula memerlukan kerja buat berbentuk intelektual. Kerja praktikal dan intelektual ini seharusnya berjalan seiring.

Kerja-kerja praktikal adalah berbentuk jangka pendek dan bertujuan untuk memenuhi sebahagian besar daripada tuntutan para pengundi. Ianya adalah wajah luar kerajaan PH yang perlu ditunjukkan secara jelas dan konkrit untuk memuaskan hati mereka yang telah mengundi PH pada PRU14 yang lalu.

Kerja buat praktikal ini telah pun banyak dibincangkan dan diajukan oleh ramai penganalisis-penganalisis politik yang lain.

Kerja buat yang paling utama yang disarankan oleh ramai penganalisis politik ialah menunaikan sebahagian besar daripada janji-janji yang telah dibuat oleh kerajaan PH kepada pengundi pada PRU14 yang lepas. Daripada janji-janji berbentuk ekonomi hinggalah kepada janji-janji reformasi struktural dan institusi—sebahagian besarnya wajib ditunaikan.

Kerja-Kerja Intelektual

Namun begitu kerja buat pertama yang berbentuk praktikal itu pada hemat saya tidak mampu untuk mempertahankan PH dalam masa jangka panjang jika tidak didukung oleh kerja buat kedua iaitu kerja-kerja berbentuk intelektual.

Kerja-kerja intelektual adalah penting sebagai suatu bentuk pendidikan jangka panjang kepada rakyat dan pada masa yang sama boleh dijadikan sumber pemikiran buat kepimpinan PH sendiri untuk menandingi wacana dan naratif nasionalisme Melayu yang ditawarkan oleh UMNO dan PAS, dua parti terbesar bangsa Melayu dan umat Islam ini.

Andaian saya, semakin dekat dengan PRU15 nanti, jika kerjasama antara UMNO dan PAS tidak pecah, sentimen ‘keterpendaman Melayu’ ini akan dipergunakan semaksima mungkin baik secara langsung mahu pun tidak langsung untuk mengaut undi Melayu dan Muslim seperti mana yang telah pun dilakukan di sepanjang masa berkempen pada PRK Semenyih yang lepas.

Pengundi adalah Manusia Separa Rasional

Satu hal yang perlu disedari ialah pada akhirnya para pengundi adalah manusia-manusia yang separa rasional. Maknanya terdapat unsur-unsur bukan rasional (non-rational) seperti emosi, perasaan, psike dan sentimen yang akan turut mempengaruhi tindakan politik mereka.

Dan untuk pengundi-pengundi Melayu dan Muslim, saya percaya ‘keterpendaman Melayu’ yang bersumberkan unsur-unsur nasionalisme Melayu yang gagal, akan turut dijadikan pertimbangan ketika mereka membuat pilihan parti mana yang akan mereka berikan undi.

Justeru, apakah tawaran kerajaan PH untuk menandingi wacana dan naratif ‘keterpendaman Melayu’ yang diangkat oleh UMNO-PAS ini?

‘Naratif Malaysia’

Terdapat beberapa pemikir politik dari PH yang mengajukan sebuah naratif baru yang lebih terangkum yang mereka istilahkan “naratif Malaysia” sebagai naratif tanding. Saya fikir ini adalah suatu perkembangan yang baik dan sihat di dalam usaha untuk membentuk sebuah naratif tanding yang lebih berketerangkuman buat semua warga rakyat Malaysia.

Namun begitu setelah membaca beberapa rencana tulisan mereka, huraian tentang apa itu “naratif Malaysia” masih lagi kabur dan berbentuk abstrak. Dan beberapa cadangan yang diajukan pada hemat saya tidak mengambil-kira persoalan ‘keterpendaman Melayu’ yang telah pun saya huraikan di bahagian pertama tulisan ini.

Justeru, tulisan saya di bahagian kedua ini adalah suatu usulan yang sederhana sahaja sebagai suatu percubaan untuk merembah jalan keluar buat kerajaan PH dalam menghadapi permasalahan ‘keterpendaman Melayu’. Selain daripada itu, adalah juga menjadi tujuan saya di bahagian ini untuk merancakkan lagi wacana-wacana yang lebih bersifat ‘keMalaysiaan’ di era ‘Malaysia Baru’ tanpa melupakan kesinambungan sejarah lama masa silam yang kita warisi bersama-sama.

Untuk menjawab soalan—wacana dan naratif tanding apakah yang perlu diajukan oleh kerajaan PH kepada masyarakat Malaysia khususnya buat masyarakat Melayu dan Islam bagi melawan naratif nasionalisme Melayu versi UMNO dan PAS ini—saya memilih untuk memberi jawapan yang sedikit berbeza.

Sayugia diingatkan usulan saya ini bukan hanya buat kerajaan PH tetapi juga kepada semua pertubuhan bukan kerajaan, persatuan masyarakat, parti-parti politik yang ada pada hari ini, media massa sebagai wahana penting dalam penyaluran dan penyebaran idea, intelektual awam, para akademik, aktivis sosial serta individu-individu yang prihatin, peduli dan punya iltizam untuk terlibat bersama-sama dalam proses pembinaan negara-bangsa Malaysia.

Nasionalisme Melayu dalam Sejarah34

Perlu diakui bahawa dari sudut sejarah, nasionalisme Melayu adalah hakikat yang menggerakkan kewujudan negara merdeka yang kita kenali sebagai Malaysia ini. Tanpa adanya nasionalisme yang terasnya adalah nasionalisme Melayu, Tanah Melayu atau menggunakan istilah British, Malaya pada waktu itu takkan mungkin punya gerakan menuntut kemerdekaan.

Malahan idea nasionalisme ini bukan hanya hadir di Malaya ketika itu tetapi juga di semua negara-negara yang dijajah. Nasionalisme adalah idea yang membentuk gerakan-gerakan perlawanan di banyak negara-negara dunia ketiga untuk bangkit dan bangun menentang penjajah khususnya kuasa-kuasa imperial baik dari Eropah mahu pun dari Asia sendiri.

Nasionalisme menjadi idea dan pemikiran penting yang melahirkan gerakan kemerdekaan dan seterusnya pemangkin yang membebaskan anak-anak bangsa di seluruh wilayah yang dijajah daripada cengkaman dan kezaliman penjajahan.

Hal yang sama tak terkecuali turut berlaku di Malaysia. Semenjak dari zaman kolonial Inggeris lagi, di sebalik kewujudan pelbagai jalur di dalam pemikiran nasionalisme Melayu, ia masih merupakan satu-satunya gerakan kemerdekaan yang paling jelas bentuknya, isinya, cita-cita dan aspirasinya yang pada akhirnya berjaya memperolehi kemerdekaan daripada penjajah Inggeris.

Tapi nasionalisme Melayu ini adalah nasionalisme yang telah dilunakkan intensitinya kerana ia perlu menyesuaikan dirinya dengan hakikat kerencaman masyarakat Malaya pada waktu itu melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai pertubuhan politik bukan Melayu.

Kerjasama dan pelunakan nasionalisme Melayu ini dibuat oleh hampir semua pertubuhan-pertubuhan politik Melayu di waktu itu, baik dari jalur pemikiran kiri mahu pun kanan.

Walau pun cita-cita dan aspirasi nasionalisme Melayu itu gagal disempurnakan sepenuhnya tapi teras atau nukleus kepada gerakan yang membawa kemerdekaan Malaya adalah nasionalisme Melayu. Ini tak tersangkal lagi dan bersesuaian pula dengan pandangan seorang sejarawan Malaysia yang cukup berwibawa, Wang Gungwu, yang dalam tulisannya berjudul “Malayan Nationalism” menyatakan:

Nasionalisme Malaya yang sesungguhnya adalah Nasionalisme Melayu yang dilunakkan. Kalau kita mahu mengemukakan satu takrifan di peringkat ini barangkali yang adilnya adalah untuk kita mengatakan bahawa nasionalisme Malaya terbentuk daripada dua bahagian: teras nasionalisme Melayu yang dilingkari oleh perkongsian ideal antara Melayu-Cina-India.35

Penggabungan Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Malaya kemudiannya pada tahun 1963 untuk membentuk Persekutuan Malaysia tidak mengubah hakikat teras nasionalisme Melayu ini. Kerana itu, Singapura ‘ditendang’ keluar oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1965 apabila keberadaan Singapura di dalam Persekutuan Malaysia dilihat sebagai menggugat dan mengancam serta berkemungkinan mengubah teras Melayu yang menjadi asas kepada kewujudan Malaysia.36

Dengan Singapura ‘ditendang’ keluar dari Malaysia dan hanya Sabah dan Sarawak yang kekal bergabung dalam Persekutuan Malaysia, nasionalisme Melayu kembali ke kedudukan asalnya sebagai teras kepada kepemerintahan politi yang dinamakan Malaysia.

Situasi ini turut diperakui oleh seorang lagi sejarawan Malaysia yang berwibawa iaitu Cheah Boon Kheng. Dalam buku beliau Malaysia: The Making of a Nation, formulasi awal yang diusulkan oleh Wang Gungwu—”teras nasionalisme Melayu yang dilingkari oleh perkongsian ideal antara Melayu-Cina-India”—diolah kembali oleh Cheah Boon Kheng dalam bentuk “Melayu-Cina-India-Sabah-Sarawak” dengan unsur Melayu masih lagi ditanggapi oleh Cheah Boon Kheng sebagai unsur teras kepada perkongsian baru tersebut.37

Walau pun dengan kehadiran dua negeri daripada Borneo itu, bagi Cheah Boon Kheng ianya tidak membuatkan unsur teras nasionalisme Melayu hilang daripada sistem kepemerintahan politi Malaysia.

Saya sepakat dengan Cheah Boon Kheng dalam hal ini kerana daripada bukti-bukti yang ada, perjalanan sejarah politik di kedua-dua negeri Borneo ini sejak daripada pembentukan Malaysia pada tahun 1963 cenderung dipengaruhi oleh keputusan-keputusan politik daripada Semenanjung. Atau dengan kata lain, pertimbangan politik Sabah dan Sarawak umumnya akan mengambil-kira pandangan dan percaturan yang dibuat oleh elit-elit politik Melayu di Semenanjung.

Formula Nasionalisme Baru

Justeru itu, pada hemat saya walau apa sahaja naratif tanding yang cuba diketengahkan, unsur nasionalisme Melayu yang menjadi teras kepada kewujudan politi Malaysia ini sewajarnyalah diperkirakan dan dipertimbangkan di dalam usaha-usaha untuk membentuk ‘naratif Malaysia’ yang baru tanpa mengetepikan naratif-naratif dari komuniti lain khususnya daripada Sabah dan Sarawak juga.

Mencabut dan membuang teras nasionalisme Melayu ini pada pandangan saya hanya akan menggugat kestabilan dan kelangsungan kuasa pemerintahan kerajaan PH. Malahan jika ianya cuba dikuburkan kemungkinan besar ‘keterpendaman Melayu’ akan dizahirkan dengan darjah intensiti yang lebih kuat lagi.

Namun begitu kita juga harus mengakui bahawa menerima sepenuhnya unsur-unsur yang ada dalam nasionalisme Melayu ini juga tentulah sangat tidak adil buat warga rakyat Malaysia yang lain khususnya komuniti bukan bumiputera serta warga Sabah dan Sarawak yang secara demografinya lebih rencam dan malahan pula Melayu bukanlah etnik majoriti di kedua-dua negeri Borneo itu.

Malaysia pada hari ini hakikatnya bukan lagi Tanah Melayu tapi tanah air buat semua warga rakyat Malaysia tanpa mengira latarbelakang etnik, agama, budaya atau bahasa. Justeru, harus ada kesanggupan dan ketulusan hati untuk menerima hakikat tersebut.

Menerima hakikat tersebut, satu formulasi nasionalisme baru yang lebih adil, saksama dan terangkum tanpa mengetepikan kesinambungan akar sejarah silam yang mewujudkan Malaysia pada hari ini, hendaklah dilakukan. Dan ini memerlukan kerja-kerja intelektual yang kreatif lagi inovatif yang berterusan.

Dari Nasionalisme Melayu ke Nasionalisme Malaysia Terangkum

Mengambil kira realiti perkembangan dan konteks politik semasa serta kesinambungan sejarah masa lalu, saya mengajukan idea yang saya fikir sederhana sahaja iaitu mengolah semula nasionalisme Melayu menjadi nasionalisme Malaysia terangkum.

‘Nasionalisme Malaysia Terangkum’ adalah payung besar yang meneduhi apa saja ‘naratif keMalaysiaan’ yang mahu dibina dan dikembangkan.

Dalam takrifan yang cukup sederhana dan ringkas nasionalisme Malaysia terangkum adalah suatu idea yang mendakap prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan, kemanusiaan dan keterangkuman yang mempunyai unsur pentakrif identiti dan keperibadian Malaysia yang jelas dan berteraskan rasa kaseh, sayang dan cinta kepada tanah air milik kita bersama yang dinamakan Malaysia ini.

Saya yakin sebahagian besar daripada warga rakyat Malaysia tidak kira dari etnik mana atau agama apa, mempunyai rasa kaseh, sayang dan cinta kepada Malaysia.

Justeru, persoalannya sekarang ialah apakah unsur yang paling sesuai, strategik dan wajar yang boleh kita ambil daripada nasionalisme Melayu untuk membentuk nasionalisme Malaysia terangkum ini?

Unsur Pentakrif Nasionalisme Malaysia

Memandangkan nasionalisme Malaysia ini adalah nasionalisme Melayu yang diolah semula, maka sebahagian atau satu daripada unsur-unsur yang membentuk cita-cita nasionalisme Melayu yang dinilai dan dirumuskan sebagai lebih terangkum, wajar diperkongsikan bersama, lebih bersifat nasional dan boleh diterima serta disepakati oleh sebahagian besar daripada warga rakyat Malaysia—maka unsur ini hendaklah diangkat menjadi unsur pentakrif kepada nasionalisme Malaysia.

Unsur pentakrif ini menjadi rupa-bentuk, keperibadian, identiti dan jati-diri utama buat masyarakat Malaysia yang serba rencam. Ia juga berfungsi sebagai tali pengikat yang mengikat, mengintegrasikan dan menyatukan pelbagai komuniti yang ada di Malaysia dalam satu ikatan kesepaduan yang masing-masing mempunyai rasa kesepunyaan bersama terhadap unsur pentakrif ini dan seterusnya diharapkan dapat menjadi wahana kepada pembentukan memori atau ingatan bersama dan menguatkan lagi rasa kepemilikan kolektif serta identifikasi diri ke atas tanah air yang dinamakan Malaysia ini.   

Pada hemat saya dari ketujuh-tujuh unsur nasionalisme Melayu yang telah saya bentangkan di bahagian pertama tulisan ini, yang paling dekat dengan apa yang telah saya cirikan—terangkum, wajar diperkongsi bersama, bersifat nasional, mempunyai unsur mengintegrasi, boleh diterima dan disepakati ramai sebagai kepunyaan bersama—adalah unsur bahasa, yakni bahasa kebangsaan kita.

Unsur bahasa yang terkandung di dalam nasionalisme Melayu dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita ini, boleh dijadikan unsur pentakrif kepada keperibadian, identiti dan jatidiri Malaysia serta wahana yang mengikat kesatuan Persekutuan Malaysia daripada Perlis sampailah ke Sabah, tanpa menolak kehadiran dan penggunaan bahasa ibunda dalam komuniti masing-masing.

Justeru itu, jika unsur bahasa kebangsaan ini disepakati bersama sebagai unsur pentakrif kepada nasionalisme Malaysia yang baru, maka sewajarnyalah ia diangkat, diperjuangkan, dipraktikkan, dijiwai sepenuh hati dan diserlahkan secara giat serta meluas dalam seluruh bidang dan ruang kehidupan awam oleh semua pihak baik mereka yang di tingkat kepimpinan mahu pun mereka yang berada di akar umbi.

Cabaran Bahasa Sebagai Unsur Pentakrif

Namun begitu mengangkat unsur bahasa sebagai pentakrif kepada identiti dan keperibadian Malaysia mempunyai cabarannya yang khas pula.

Pertamanya—dasar bahasa yang digubal oleh kerajaan yang memerintah itu sendiri. Sejauh manakah kerajaan (baca: PH) punya iltizam untuk memastikan unsur bahasa kebangsaan ini benar-benar dipraktik secara meluas dalam segala bidang dan menjadi pentakrif utama kepada identiti dan keperibadian nasional?

Keduanya—cabaran daripada realiti kehidupan masa kini yang didorong oleh gerak modal dan pasar yang mengutamakan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan, misalnya dalam konteks hari ini bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin. Bagaimanakah kita mencari keseimbangan antara tuntutan nasional untuk membentuk identiti serta keperibadian kebangsaan dan tuntutan modal serta pasaran?

Ketiganya—kemandulan kelompok budayawan Melayu di dalam memperjuangkan agenda bahasa kebangsaan khususnya selepas mereka diserap ke dalam institusi-institusi bahasa yang dibangunkan oleh pemerintah dan menjadi birokrat-birokrat bahasa sepenuh masa. Hubungan ekonomi-politik yang saling bergantung antara pemerintah dan budayawan/birokrat bahasa ini adalah antara sebab kelompok ini akhirnya mandul dan tidak lagi mampu menjadi suara kritis terhadap tindakan dan dasar pemerintah tentang bahasa.

Keempatnya—tindakan, perangai, tingkah-laku dan praktik bahasa oleh elit-elit Melayu sendiri—baik elit politik mahu pun elit ekonomi—yang gagal untuk mengangkat dan memartabatkan bahasa kebangsaan kita khususnya di dalam penggunaan bahasa kebangsaan di acara-acara awam. Malahan dari kalangan elit-elit Melayu ini yang gagal menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik, tertib, betul dan menepati piawaian kefasihan sama ada dalam percakapan mahu pun penulisan.

Kelimanya—kelompok aktivis sosial, intelektual dan akademik Malaysia yang tidak punya iltizam di dalam usaha untuk memperkayakan ilmu pengetahuan dalam bahasa kebangsaan. Kekurangan iltizam ini boleh difahami khususnya bila berhadapan dengan gerak modal dan pasar serta dorongan proses pengantarabangsaan universiti tapi ianya bukanlah alasan untuk meminggirkan bahasa kebangsaan dalam kegiatan aktivisme, penulisan akademik dan wacana intelektual sama ada di universiti mahu pun di ruang awam.

Kurangnya penglibatan kelompok aktivis, intelektual dan akademik Malaysia dalam usaha mengangkat bahasa kebangsaan menyebabkan sebahagian besar daripada idea-idea mereka gagal untuk sampai kepada masyarakat Malaysia khususnya khalayak Melayu yang lebih luas.

Begitu juga dengan proses pembinaan istilah dan kosakata yang lebih canggih dalam bahasa kebangsaan turut terhambat apabila kelompok aktivis sosial, intelektual dan akademik Malaysia gagal untuk menggunakan bahasa kebangsaan dengan bersungguh-sungguh dalam kegiatan aktivisme dan intelektual mereka.

Keenamnya—keengganan sebahagian daripada masyarakat bukan Melayu khususnya Cina untuk mengangkat agenda bahasa kebangsaan turut menjadi cabaran besar kepada usaha menjadikan unsur bahasa kebangsaan sebagai pentakrif identiti dan keperibadian nasional. Namun permasalahan keengganan bukan Melayu ini tidak boleh difahami secara mudah. Proses pengIslaman bahasa Melayu dan pengIslaman sekolah kebangsaan adalah antara penghambat kepada penggunaan bahasa kebangsaan yang lebih meluas dan terangkum. Kesukaran untuk menarik lebih ramai bukan Melayu menggunakan bahasa kebangsaan dengan lebih giat baik dalam percakapan mahu pun penulisan adalah suatu isu yang cukup rumit dan ianya berkait rapat dengan struktur sosial dan sejarah masyarakat Malaysia dari zaman penjajah Inggeris serta persoalan keterangkuman, pengiktirafan dan keadilan yang masih belum selesai.

Justeru itu, tumpuan wacana kepada tiga persoalan utama di dalam kehidupan berbangsa dan bernegara yang mencakupi persoalan keterangkuman, pengiktirafan dan keadilan—RANGKUM, IKTIRAF, ADIL—perlu digerakkan dan dijadikan perbincangan nasional untuk melihat takrifnya, intinya, operasinya dan batasnya. Pada hemat saya wacana bahasa kebangsaan sebagai unsur pentakrif identiti dan keperibadian nasional tidak terpisah daripada wacana keterangkuman, pengiktirafan dan keadilan.

Sejarah Terangkum

Selain daripada unsur bahasa sebagai pentakrif identiti dan keperibadian nasional, unsur sejarah yang menjadi sebahagian daripada cita nasionalisme Melayu itu pada pandangan saya sebaik-baiknya diberikan pengolahan semula dengan memusatkan naratifnya secara lebih terangkum dengan menyerap masuk sumbangan-sumbangan komuniti bumiputera lain, bukan bumiputera, Sabah dan juga Sarawak secara lebih adil, saksama dan seimbang tanpa mengetepikan hakikat kesinambungan sejarah politi-politi Melayu silam yang membentuk Malaysia pada hari ini.

Pembingkaian sejarah yang selama ini diajar melalui buku-buku teks sekolah yang naratifnya cenderung Melayu-sentrik atau Islam-sentrik atau lelaki-sentrik atau Semenanjung-sentrik perlulah diolah semula untuk turut merangkul naratif-naratif daripada bukan Melayu, perempuan dan juga naratif Sabah serta Sarawak sebagai sebahagian daripada sejarah kebangsaan kita bersama.

Sejarah yang berketerangkuman akan melahirkan rasa nasional yang lebih kuat dan kukuh di jiwa setiap warga rakyat Malaysia kerana setiap komuniti yang membentuk Malaysia, baik Melayu mahu pun bukan Melayu, baik lelaki mahu pun perempuan, baik yang di Semenanjung mahu pun yang di Borneo, semuanya diwakili dan disertakan sekali di dalam naratif sejarah nasional bangsa Malaysia.

Keadilan, Kesaksamaan, Kemanusiaan dan Keterangkuman

Unsur-unsur nasionalisme Melayu yang selebihnya itu—politik, ekonomi, agama, budaya dan raja – sewajarnyalah dilunakkan intensitinya atau diolah semula secara kreatif dan inovatif sesuai dengan aspirasi dan cita-cita ‘Malaysia Baru’ untuk memastikan wujudnya keadilan, kesaksamaan, kemanusiaan dan keterangkuman buat seluruh warga rakyat Malaysia yang telah menumpahkan kaseh-sayang dan taat-setia mereka kepada Malaysia.

Apakah unsur-unsur yang perlu dilunakkan atau diolah semula itu dan bagaimana untuk melunakkannya atau mengolahnya, itu bergantung kepada perbincangan dan kesepakatan bersama serta semangat bertolak-ansur semua pihak-pihak yang berkepentingan di dalam usaha untuk membentuk ‘naratif Malaysia’ yang baharu dan mentransformasikan nasionalisme Melayu yang menjadi sumber ‘keterpendaman Melayu’ kepada nasionalisme Malaysia terangkum.

Suatu Tanggungjawab Bersama

Kerja-kerja mengolah semula unsur-unsur nasionalisme Melayu dan mentransformasikannya menjadi nasionalisme Malaysia terangkum memerlukan kerjasama intelektual yang berbentuk rentas-etnik, rentas-budaya dan rentas agama yang menggabungkan tenaga-tenaga intelektual dan aktivis dari pelbagai etnik dan agama, Semenanjung dan Borneo, lelaki dan perempuan, untuk sama-sama membikin formulasi nasionalisme Malaysia terangkum secara kreatif dan inovatif.

Kerja-kerja sebegini tentunya memerlukan jaringan aktivis dan intelektual yang luas selain daripada keperluan asasi dari sudut kekuatan pemikiran, kreativiti, inovasi dan keterbukaan fikiran serta keikhlasan hati-nurani untuk menerima hakikat bahawa Malaysia kini bukan lagi Tanah Melayu dan bukan hanya milik Melayu atau bumiputera semata-mata tetapi adalah milik bersama seluruh warga rakyat Malaysia dari pelbagai komuniti dari Perlis hingga ke Sabah, yang telah bernaung di bawahnya dan mencurahkan bakti serta keringat untuk membangunkan Malaysia bersama-sama.

Tidak dinafikan ianya adalah suatu kerja yang berat. Kerja intelektual sememangnya suatu pekerjaan yang memerlukan tumpuan penuh kepada hal-hal bersifat pemikiran, penulisan, pendidikan, pembinaan jaringan dan penyebaran serta penggembelingan idea-idea yang segar untuk diwacanakan bersama masyarakat awam tapi tetap berpijak kepada realiti sosial masyarakat dan membumi kepada akar sejarah serta budaya bangsa kita sendiri, yakni Bangsa Malaysia yang rencam tapi kaya dengan kepelbagaian nilai yang boleh kita pilih, saring, ambil dan perkongsikan bersama mana-mana unsurnya yang baik dan terangkum.

Walau pun ianya adalah tugas yang berat untuk digalas tapi ia perlu segera dilakukan sebagai suatu tanggungjawab bersama untuk membina bangsa Malaysia yang lebih adil, saksama, manusiawi dan berketerangkuman.


Nota Kaki

1. Malaysiakini. Rasmi: BN catat kemenangan hatrik di Rantau. https://bit.ly/3Q2qZJ8

2. Ibid.

3. Rujuk Malaysiakini — Undi.info. https://bit.ly/3P31Pc7. Mohammad Hassan telah memenangi DUN Rantau sejak daripada PRU tahun 2004 dan beliau sudah memegang jawatan ADUN Rantau selama tiga penggal sebelum PRK Rantau 2019.

4. Malaysiakini. Rasmi: BN catat kemenangan hatrik di Rantau. https://bit.ly/3Q2qZJ8

5. Ibid.

6. Malaysiakini — Undi.info. https://bit.ly/3Q46VGa

7. Malaysiakini. Ini hari PAS, UMNO ‘bersanding’. https://bit.ly/3bufyen

8. Utusan Malaysia. Kerjasama PAS, UMNO bukan lagi ‘taboo’, tapi keperluan. https://bit.ly/3SuFDKI

9. Malaysiakini — Undi.info. https://bit.ly/3Q46VGa

10. Ibid.

11. Malaysia Dateline. PRK DUN Semenyih: PH hanya menang tiga PDM. https://bit.ly/3JAH0Um

12. Malaysiakini. OFFICIAL: BN wins Semenyih with 50.44% vote share. https://bit.ly/2TtP6Gw

13. Free Malaysia Today. BN wins in Semenyih after record voter turnout since GE14. https://bit.ly/3vJun3r

14. Malaysiakini. OFFICIAL: BN wins Semenyih with 50.44% vote share. https://bit.ly/2TtP6Gw

15. Malaysiakini. Was Harapan really drowned by a ‘Malay tsunami’ in Semenyih?. https://bit.ly/3zD5QOR

16. Ibid.

17. Konsep ‘yang lain’ atau ‘the other‘ adalah konsep yang umumnya digunakan dalam bidang pengajian Falsafah, Antropologi-Budaya, Sosiologi, Sains Politik dan Psikologi untuk merujuk kepada kategori sosial yang digunakan oleh manusia bagi membezakan antara satu sama lain. Konsep Yang lain boleh merujuk kepada kategori sosial yang berasaskan kepada perbezaan ras, etnik, bangsa, budaya, agama, bahasa, gender, seksualiti, geografi dan lain-lain kategori sosial. Dalam tulisan ini ‘yang lain’ itu lebih merujuk kepada pembezaan yang berasaskan kaum—antara Melayu dan bukan-Melayu (termasuk penjajah Eropah). Untuk perbincangan tema dan sifat, punca dan implikasi ‘yang lain’ rujuk Edward W. Said. 2003. Orientalism. London: Penguin; Frantz Fanon. 2008. Black Skin White Masks. London: Pluto Press; Frantz Fanon. 2004. The Wretched of the Earth. New York: Grove Press dan; Aime Cesaire. 2000. Discourse on Colonialism. New York: Monthly Review Press.

18. Rujuk Walker Connor. “The Dawning of Nations”, dalam Atsuko Ichijo and Gordana Uzelec (Ed.). When is the Nation? Towards an understanding of theories of nationalism. 2005. New York: Routledge

19. Pemerhatian lapangan yang dibuat secara langsung ketika menghadiri Perhimpunan Anti-ICERD pada 8 Disember 2018 di Kuala Lumpur.

20. Rujuk Cheah Boon Kheng. 2012. Red Star Over Malaya: Resistance and Social Conflict During and After the Japanese Occupation of Malaya 1941-1946 (4th Ed.). Singapore: NUS Press

21. Rujuk Albert Lau. 1991. The Malayan Union Controversy, 1942-1948. Singapore: Oxford University Press.

22. Rujuk Leon Comber. 1983. 13 May 1969: A Historical Survey of Sino-Malay Relations. Kuala Lumpur: Heinemann Asia. Rujuk juga Goh Cheng Teik. 1971. The May Thirteenth Incident and Democracy in Malaysia. Kuala Lumpur: Oxford University Press

23. Dua buku penting yang menghuraikan fenomena nasionalisme Melayu secara terperinci dari dua sudut yang berbeza ialah pertamanya buku William R. Roff. 1994. The Origins of Malay Nationalism (2nd Ed.). Kuala Lumpur: Oxford University Press, yang membahaskan nasionalisme Melayu dari perspektif kondisi material dan gerakan; keduanya buku Anthony C. Milner. 1994. The Invention of Politics in Colonial Malaya: Contesting Nationalism and the Expansion of the Public Sphere. Cambridge: Cambridge University Press, yang membahaskan dari sudut idea dan wacana yang lahir dan diperdebatkan oleh pelbagai jalur pandangan yang muncul dari fenomena nasionalisme Melayu.

24. Rujuk Anthony D. Smith. 2001. Nationalism. Cambridge: Polity Press

25. Rujuk Rustam A. Sani. 2004. Ke Mana Nasionalisme Melayu?. Kuala Lumpur: R Publishing Services

26. Ibid. Rujuk juga Rustam A. Sani. 2008. Social Roots of the Malay Left. Petaling Jaya: SIRD

27. Malaysiakini. OFFICIAL: BN wins Semenyih with 50.44% vote share. https://bit.ly/2TtP6Gw

28. Malaysiakini. Was Harapan really drowned by a ‘Malay tsunami’ in Semenyih?. https://bit.ly/3zD5QOR

29. Rujuk kenyataan daripada Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki yang mengatakan bahawa tujuan kerjasama antara UMNO dan PAS adalah untuk menghalang DAP daripada meneruskan agenda Malaysian Malaysia mereka, dalam Utusan Malaysia. Kerjasama PAS, UMNO bukan lagi ‘taboo’, tapi keperluan. https://bit.ly/3SuFDKI

30. Ibid.

31. Malaysiakini. Azmin gesa agenda bumiputera dilaksanakan tanpa apologetic. https://bit.ly/3bug3oL

32. Malaysiakini. Ini hari PAS, UMNO ‘bersanding’. https://bit.ly/3bufyen

33. Utusan Malaysia. Kerajaan memang tidak iktiraf LGBT. https://bit.ly/3daP5D3

34. Rujuk William R. Roff. 1994. The Origins of Malay Nationalism (2nd Ed.). Kuala Lumpur: Oxford University Press dan; Anthony C. Milner. 1994. The Invention of Politics in Colonial Malaya: Contesting Nationalism and the Expansion of the Public Sphere. Cambridge: Cambridge University Press. Rujuk juga Suntharalingam R. dan Abdul Rahman Haji Ismail (Editor). 1985. Nasionalisme: Satu Tinjauan Sejarah. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti dan; Abdul Rahman Haji Ismail. 2006. “Perjuangan Kemerdekaan dan Nasionalisme Melayu: Wacana Persejarahan”, dalam Abdul Rahman Haji Ismail, Azmi Ariffin and Nazaruddin Zainun (Editor). Nasionalisme dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia: Pengamatan Sejarah. Pulau Pinang: Penerbit USM. Baca juga Cheah Boon Kheng. 1985. “Asal-Usul dan Asas Nasionalisme Malaya”, dalam Suntharalingam R. and Abdul Rahman Haji Ismail (Editor). 1985. Nasionalisme: Satu Tinjauan Sejarah. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti

35. Rujuk Wang Gungwu. 1981. Community and Nation, Essays on Southeast Asia and the Chinese. Singapore: Asian Studies Association of Australia

36. Rujuk Robert Cribb dan Li Narangoa. 2010. “Nations of Intent: From Counterfactual History to Counterfactual Geography”, dalam Journal of Historical Geography, Issue 36.

37. Rujuk Cheah Boon Kheng. 2002. Malaysia: The Making of a Nation. Singapore: ISEAS. Rujuk juga R.S. Milne dan Diane K. Mauzy. 1978. Politics and Government in Malaysia. Singapore: Federal Publications


Rujukan

Abdul Rahman Haji Ismail. 2006. “Perjuangan Kemerdekaan dan Nasionalisme Melayu: Wacana Persejarahan”, dalam Abdul Rahman Haji Ismail, Azmi Ariffin and Nazaruddin Zainun (Editor). Nasionalisme dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia: Pengamatan Sejarah. Pulau Pinang: Penerbit USM

Aime Cesaire. 2000. Discourse on Colonialism. New York: Monthly Review Press

Albert Lau. 1991. The Malayan Union Controversy, 1942-1948. Singapore: Oxford University Press

Anthony C. Milner. 1994. The Invention of Politics in Colonial Malaya: Contesting Nationalism and the Expansion of the Public Sphere. Cambridge: Cambridge University Press

Anthony D. Smith. 2001. Nationalism. Cambridge: Polity Press

Atsuko Ichijo and Gordana Uzelec (Editor). When is the Nation? Towards an Understanding of Theories of Nationalism. 2005. New York: Routledge

Cheah Boon Kheng. 2012. Red Star Over Malaya: Resistance and Social Conflict During and After the Japanese Occupation of Malaya 1941-1946 (4th Ed.). Singapore: NUS Press

Cheah Boon Kheng. 1985. “Asal-Usul dan Asas Nasionalisme Malaya” dalam Suntharalingam R. and Abdul Rahman Haji Ismail (Editor). 1985. Nasionalisme: Satu Tinjauan Sejarah. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti

Cheah Boon Kheng. 2002. Malaysia: The Making of a Nation. Singapore: ISEAS

Edward W. Said. 2003. Orientalism. London: Penguin

Frantz Fanon. 2004. The Wretched of the Earth. New York: Grove Press

Frantz Fanon. 2008. Black Skin White Masks. London: Pluto Press

Goh Cheng Teik. 1971. The May Thirteenth Incident and Democracy in Malaysia. Kuala Lumpur: Oxford University Press

Leon Comber. 1983. 13 May 1969: A Historical Survey of Sino-Malay Relations. Kuala Lumpur: Heinemann Asia

R. Suntharalingam R. dan Abdul Rahman Haji Ismail (Editor). 1985. Nasionalisme: Satu Tinjauan Sejarah. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti

Robert Cribb dan Li Narangoa. 2010. “Nations of Intent: From Counterfactual History to Counterfactual Geography”, dalam Journal of Historical Geography, Issue 36

R.S. Milne dan Diane K. Mauzy. 1978. Politics and Government in Malaysia. Singapore: Federal Publications

Rustam A. Sani. 2004. Ke Mana Nasionalisme Melayu?. Kuala Lumpur: R Publishing Services

Rustam A. Sani. 2008. Social Roots of the Malay Left. Petaling Jaya: SIRD

Wang Gungwu. 1981. Community and Nation, Essays on Southeast Asia and the Chinese. Singapore: Asian Studies Association of Australia

William R. Roff. 1994. The Origins of Malay Nationalism (2nd Ed.). Kuala Lumpur: Oxford University Press


RUHAN SHAHRIR adalah penyelidik bebas dan pemerhati politik nasional.

Artikel ini pertama kali disiarkan oleh The Malaysian Insight pada 12 Mac 2019.