Denys Lombard

Denys Lombard dilahirkan di Marseille pada 4 Februari 1938 dan meninggal dunia di Paris pada 8 Januari 1998. Ayahnya Maurice Lombard telah menjadi Pengarah Penyelidikan di Ecole Pratique des Hautes Etudes Paris (EPHE) dan seorang sejarawan terkemuka yang pernah menulis buku-buku mengenai Zaman Pertengahan dan Zaman Awal perkembangan tamadun Islam. Denys Lombard telah menjadi mahasiswa di Universiti Sorbonne, di Ecole Pratique des Hautes Etudes serta di Institut National des Langues et Civilisations Orientales (INALCO). Beliau telah mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang kesusasteraan (Docteur és Lettres) dan telah mendapat ijazah di INALCO (bahasa Melayu/Indonesia, bahasa Cina dan bahasa Thai). Beliau telah tinggal di Jakarta selama tiga tahun mulai tahun 1966 sehingga tahun 1969 sebagai pengkaji EFEO pada tahun 1993 dan bertugas untuk EFEO sehingga beliau meninggal dunia.

Beliau adalah salah seorang daripada tiga orang yang menubuhkan persatuan ARCHIPEL pada tahun 1971. Persatuan tersebut menerbitkan majalah ARCHIPEL sejak tahun itu. Beliau telah menulis beberapa buah buku serta puluhan artikel mengenai sejarah dan kebudayaan Dunia Melayu serta sejarah Asia Tenggara. Jasa Denys Lombard dalam hal memperkenalkan Dunia Melayu kepada masyarakat Perancis tidak sahaja terbatas pada karangannya yang amat banyak itu, tetapi beliau juga telah membimbing satu angkatan pengkaji Perancis yang baru tentang Dunia Melayu (terutamanya di EHESS, CNRS dan EFEO), dan sebilangan besar mahasiswa dari Dunia Melayu dan Asia Tenggara yang telah datang melanjutkan pengajian mereka di Perancis untuk mendapat ijazah kedoktoran.

Antara karya-karya yang telah beliau hasilkan ialah Le sultanat d’Atjeh au temps d’Iskandar Muda 1607-1636 (EFEO, 1996), Histoires courtes d’Indonésie; soixante-huit “tjerpén” (1933-1965) (EFEO, 1968), Le carrefour javanais: Essai d’histoire globale (Gramedia, 1996), dan pelbagai lagi.