Muḥammad Sammān Kati

Tuan Guru Muḥammad Sammān Kati dilahirkan pada 15 September 1922 di Kampung Relang, Batu Kurau, Perak. Kerita berumur tujuh tahun, beliau mula bersekolah di Sekolah Melayu Akar, Batu Kurau sehingga tamat darjah lima, kemudian menuntut di Madrasah al-Rushdiyyah, Jelai, Batu kurau selama enam tahun. Kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang hadith di Madrasah al-Idrisiyyah di bawah pimpinan Shaykh Abdullah Fahim, sehingga mendapat ijazah al-Hadith. Sekitar tahun 1911 sehingga 1915, beliau sempat mendaftarkan diri menjadi tentera Jepun ke Singapura, sebelum berhelah kembali ke kampung dan mencari rezeki. Kemudiannya, beliau mendaftarkan diri sebagai polis di Sungai Siput, kemudian berpindah ke Chenor untuk mengajar agama, menjadi ketua keamanan kampung daripada ancaman komunis, dan bergiat kuat dalam penentangan Malayan Union.

Pada tahun 1951, beliau belayar menunaikan haji dan tinggal di kota Makkah untuk menyambung pengajian ilmu agama di Masjid al-Haram. Beliau menuntut di bawah Shaykh ‘Abd al-Qadir bin ‘Abd al-Muttalib al-Mandili, Shaykh Hasan Muhammad al-Mashat, Shaykh Muhammad Yasin bin Muhammad ‘Isa al-Fadani dan Shaykh ‘Umar Hamdan. Tempoh yang singkat tidak menghalang beliau dari mendapat keberkatan ‘ilmu yang banyak sepanjang keberadaannya di kota Makkah, sebelum pulang ke tanah air.

Pada tahun 1953, beliau mengajar di sebuah sekolah agama ra‘yat di Kampung Lintang. Sekitar tahun ini beliau mengarang Bidayat al-‘Tawḥīd dan Masā’il al-‘Tawḥīd. Pada tahun 1954, beliau menjadi mudir di Madrasah Nur al-Kamāliyyah di Kampung Kati, Kuala Kangsar dan menjadi ketua imam di Masjid Kati. Beliau dijemput bersharah dan mengajar hingga ke Taiping, Pulau Pinang dan Kedah. Digelar “Ḥāji Muḥammad Sammān Kati” oleh Tuan Guru Haji ‘Abd al-Rahman Merbok, Kedah dan gelaran itu berkekalan hingga ke akhir hayatnya. Setelah tamat perkhidmatannya di Madrasah Nur al-Kamāliyyah pada tahun 1957, beliau mendirikan sebuah surau sebagai pusat pengajian cara pondok dan markaz Ṭariqat al-Sammāniyyah. Dalam tahun 1958, beliau mengarang Tashdīd al-Maṭlūb dan al-Ṭarīq ilā’Llāh.

Pada tahun 1964, beliau dilantik menjadi guru agama Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Idris ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah, lalu berpindah ke.
Buku Chandan, Kuala Kangsar dan meletakkan jawatan tersebut pada tahun 1969 kerana bertanding pilihan raya, namun tewas. Kemudiannya beliau mendirikan surau di Kampung Pasir, Kamunting, Taiping sebagai pusat pengajian agama dan pengembangan Ṭariqat al-Sammāniyyah. Pada tahun 1986, beliau dilantik menjadi Orang Besar Enam Belas Perak dengan gelaran Toh Indera Paduka. Pada tahun 1988, beliau dianugerahkan Tokoh Ma‘al Hirah 1988. Beliau kembali ke rahmatullah pada hari Selasa, 2 Mei 1995 dan disemadikan di tanah perkuburan lama Masjid Taiping, Perak.