At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman ditulis oleh pengarang, Muhammad Hassan bin To’ Kerani Muhammad Arshad, setelah dititahkan penulisannya oleh Tuanku Pemangku Sultan (Regent), iaitu Duli Yang Teramat Mulia Tunku Ibrahim ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah, pada 5 Januari 1927. Penulisan ini bertujuan menyebarkan maklumat tentang sejarah Kedah kepada masyarakat umum. Dengan menggunakan manuskrip tersebut maka tercetaklah buku dalam tulisan Jawi pada tahun 1928 untuk edaran atas usaha Jelutong Press Pulau Pinang yang dimiliki oleh Syed Syeikh Al-Hadi, seorang tokoh agama, pendidik dan novelis yang awal di Malaysia. Beliaulah yang mula sekali mengangkat Muhammad Hassan, pengarang buku ini sebagai seorang penulis sejarah kesultanan yang terawal.
Berikutnya, 40 tahun kemudian, yakni pada tahun 1968, telah diusahakan pula penerbitan semula buku judul ini oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tulisan rumi. Penerbitan buku berhuruf rumi tersebut telah diusahakan oleh Mohd Zahid bin Mohd Shah dengan melakukan sedikit perubahan gaya bahasa dengan harapan lebih difahami oleh sidang pembaca ketika itu. Kini, karya besar ini telah mencapai umur 96 tahun. Penerbitan semula buku ini amat perlu bagi mengemas kini fakta-fakta yang belum ditemui dalam selenggaraan tahun 1968. Contohnya, kedudukan Pengkalan Gelung sebelum ini dikatakan dalam mukim Gelung, daerah Kubang Pasu, namun kedudukan sebenarnya adalah di tepi sungai besar berdekatan Kampung Titi Gajah, Kepala Batas. Contoh lain, ungkapan di Uwai sebelum ini dikatakan sebagai Dawai. Ada banyak lagi interpretasi yang dianggap kurang tepat cuba diperbaik dalam penerbitan baharu ini.
Penerbitan semula buku ini sangat penting kerana buku ini merupakan buku rujukan untuk ahli sejarah, pengkaji, peminat-peminat sejarah tempatan, malah menjadi buku rujukan oleh pihak kerajaan negeri Kedah, terutama berkaitan dengan salasilah kesultanan. Sehingga kini, inilah buku yang paling lengkap menyenaraikan nama Sultan Kedah yang pernah memerintah mengikut urutannya dan lengkap dengan tarikhnya. Buku ini menyenaraikan sebanyak 29 orang sultan yang memerintah Kedah, sejak tahun 1136 Masihi apabila diisytiharkan Kerajaan Islam Kedah Darul Aman. Kisah dalam buku ini tamat pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-26. Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Hamid Halim Shah ialah nenda kepada Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah ke-29 yang sekarang sedang memerintah negeri Kedah, mulai tahun 2017.
Reviews
There are no reviews yet