Kesultanan Melayu Melaka

MUHAMMAD YUSOFF HASHIM adalah Profesor Emeritus dalam bidang kesusasteraan Melayu lama dan sejarawan yang tersohor.

DBP (Edisi Kedua Cetakan Pertama 2015)
615 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM65.00

In stock

ISBN: 9789834618278 Product ID: 4395 Subjects: , , Sub-subjects: , ,

Kesultanan Melayu Melaka menghuraikan beberapa aspek sejarah yang melingkari kesultanan tersebut dengan merujuk kepada manuskrip dan catatan penjajah termasuklah Portugis. Kajian dan penulisan tentang Kesultanan Melayu Melaka telah banyak dibuat sama ada oleh sarjana tempatan mahupun oleh sarjana luar. Kajian dan penulisan yang paling diminati ialah sejarah kesultanan tersebut. Oleh sebab itu, hasil-hasil kesusasteraan dalam bidang dan disiplin sejarah seperti inilah yang paling banyak kita temui dalam berbagai-bagai bahasa seperti Melayu-Indonesia, Inggeris, Portugis, Belanda, Perancis, Cina, Tamil dan Jepun. Apabila membahaskan bahasa Melayu klasik, linguistik, Islam dan berbagai-bagai genre kesusasteraan dan kebudayaan per se untuk jangka masa kesultanan berkenaan, maka termasuk juga bahasa Polish dan Rusia.

Hal ini menggambarkan betapa popularnya kesultanan ini dalam ruang lingkup sejarah dan kebudayaan Melayu. Walau bagaimanapun, kebanyakan hasil tulisan ini adalah dalam bentuk rencana yang dimuatkan dalam jurnal, majalah berkala, bab atau sebahagian daripada buku dan kertas kerja. Tiada suatu pun penulisan yang pertaliannya baik, berbentuk buku, yang khusus membahaskan berbagai-bagai bidang sejarah dan persejarahan Kesultanan Melayu Melaka yang wujud sekitar tahun 1400 sehingga tahun 1511 yang dari segi geopolitiknya disebut Melaka sekarang.

Mulai dari tahun 1536, apabila terdapatnya teks Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu (yang dipercayai sebagai resensi terawal dan pertama wujud yang memperkatakan secara naratif dan secara “berhikayat” tentang sejarah sebuah kerajaan atau kesultanan Melayu di pinggiran timur pantai Selat Melaka dan yang terletak di bahagian barat tebing sebuah muara sungai di Semenanjung Tanah Melayu. Dengan adanya teks tersebut, maka wujudlah secara dokumentasi dan bukti bertulis tentang berbagai-bagai bidang bagi disiplin sejarah kerajaan atau kesultanan tersebut.

Sejarah Melayu telah dapat membuktikan kewujudan Kesultanan Melayu Melaka, walaupun sebagai dokumentasi sosial, teks ini bercorak dalaman. Sebaliknya, sebagai penulisan sastera yang bercorak sejarah, magnumopus Melayu ini telah menjadi pembekal sumber maklumat yang paling berharga untuk kita pada masa sekarang, iaitu tentang kesultanan Melayu yang telah wujud selama lebih kurang 111 tahun, sepanjang abad ke-15 dan pada awal abad ke-l6. Pembuktian sejarah ini diperkuat dan disokong pula oleh hasil penulisan semasa yang wujud seperti hasil kesusasteraan Melaka yang bercorak undang-undang. Oleh itu, sejarah dan kewujudan Kesultanan Melayu Melaka telah mula diketahui ramai.

Maklumat tentang Melaka beberapa dekad awal abad ke-15, sebenarnya diperkaya oleh laporan pelawat dan pedagang yang menyertai misi diplomat China ke Melaka, mewakili pihak Maharaja Yung-lo daripada Dinasti Ming. Namun hanya sekitar penghujung tahun 1960-an, barulah maklumat daripada laporan ini timbul dan seterusnya diselidik, kemudian digunakan sebagai sumber rujukan. Kewujudan laporan China ini sebenarnya telah disedari sejak lebih daripada setengah abad sebelum itu. Pada dekad akhir abad ke-19, Willem P. Groeneveldt, ketika menulis nota tentang Gugusan Kepulauan Melayu, Indonesia dan Tanah Melayu, menyebut bahawa rujukan untuk penulisannya diambil daripada sumber China yang turut menyebut tentang Melaka.

Apabila diketahui adanya sumber dari China ini, seterusnya digunakan untuk rujukan dan tafsiran, maka berbagai-bagai masalah tentang sejarah Melaka yang selama ini menimbulkan persoalan dan kekeliruan sejarah, telah dapat dijelaskan. Salah satu aspek masalah sejarah yang menonjol ialah perihal salasilah Kesultanan Melayu Melaka. Apabila sumber peribumi daripada tradisi hikayat dan sumber Portugis gagal menghuraikan masalah salasilah ini, maka sumber China telah menjadi alternatif yang amat membantu untuk menghuraikannya. Hanya beberapa tahun selepas tahun 1511, terbit pula sebuah buku tentang Melaka, iaitu The Suma Oriental.

Penulisnya, Tomé Pires, yang berbangsa Portugis, melakarkan suatu gambaran yang jelas, khusus tentang masyarakat Melaka dari tahun 1400 sehingga tahun 1515, walaupun didakwa mengikut sudut pandangannya. Lakaran sejarah tersebut dibuat ketika beliau berada di kota kosmopolitan Melaka dari tahun 1512 sehingga tahun 1515, iaitu tahun-tahun awal penaklukan dan pendudukan (bangsa Portugis Eropah yang pertama ini di Melaka). Mungkin disebabkan Tomé Pires menyaksikan sendiri suasana pada dekad-dekad awal zaman peralihan, iaitu daripada penguasaan Melayu kepada penguasaan Portugis, maka beliau bersikap condong ke arah Portugis, sambil cuba mempertahankan, mengekalkan dan memuji (?) nilai-nilai tulen keportugisannya dari segi etos, agama, kepercayaan dan pandangannya tentang dunia.

Tomé Pires telah menyaksikan suatu suasana baharu yang mungkin asing baginya dalam sebuah bandar pelabuhan, iaitu suasana keruntuhan secara geopolitik sebuah kuasa politik Melayu yang didakwanya lemah. Sekiranya kita ketemukan dua watak manusia, yang telah menggambarkan atau menaratifkan Melaka selama lebih seabad itu, iaitu antara watak Tomé Pires dengan watak Tun Seri Lanang atau perawi (seseorang yang menyalin semula sebuah naskhah lama dan dengan sesuka hati menokok tambah atau membuang kandungan naskhah yang disalin mengikut matlamat dan cita rasanya) Sejarah Melayu, iaitu salah satu daripada versi yang tertua, kita akan dapat melihat perbezaan hitam dan putih antara kedua-duanya.

Satu watak dengan sifat kemelayuan dan yang satu watak lagi dengan sifat keportugisan. Dalam konteks inilah maka sumber dari China tadi memainkan peranan sebagai “pihak tengah” yang cukup penting. Walau bagaimanapun, keistimewaan lakaran Tomé Pires terletak pada kedudukan individunya, iaitu beliau mengamati sesuatu yang paling hampir dengan masa hidupnya. The Suma Oriental merupakan sumber primer dalam salah satu bahasa Eropah yang pertama tentang Melaka.

Oleh itu, semasa menulis tentang Melaka, mungkin Tomé Pires masih dapat menyaksikan kepulan asap yang telah menghanguskan Istana Melaka, masih dapat melihat air mata wanita Melayu Melaka yang belum kering sebab meratapi suami mereka yang gugur dalam peperangan, dan masih dapat melihat sisa-sisa serta kesan peninggalan sebuah kesultanan Melayu. Oleh yang demikian, dengan sendirinya sumber primer Portugis yang lain tentang Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 menjadi kurang penting. Braz de Albuquerque, iaitu anak Afonso de Albuquerque, telah menulis buku yang bertajuk The Commentaries of the Great Afonso de Albuquerque, Second Viceroy of India (diselenggarakan oleh Walter de Gray Birch) tentang Melaka dan kegiatan ayahnya di sana, sedangkan beliau sendiri tidak pernah ke Timur. Beliau menulis berdasarkan catatan diari ayahnya sahaja. Beliau memuji ayahnya dengan menggunakan daya imaginasi yang sungguh keterlaluan. De Eredia telah menulis perihal Kesultanan Melayu Melaka kira-kira 100 tahun selepas kuasa Melayu ini lenyap dari bumi Melaka, walaupun beliau lahir dan dibesarkan di Melaka pada abad ke-l7.

Francois Valentyn yang berbangsa Perancis menuliskan hal yang sama hampir 200 tahun selepas tahun 1511, iaitu pada dekad-dekad awal abad ke-18. Begitu juga dengan hasil tulisan orang Portugis yang lain tentang Melaka pada abad ke-15. Penulis seperti Joao de Barros, de Castanheda, de Diogo de Couto, Duarte Barbosa dan de Correa (catatannya dalam Lendas da India), semuanya berlandaskan sumber sekunder belaka, dengan tafsiran masing-masing tentang masyarakat Melayu di Melaka yang beraneka ragam. Ketiga-tiga kelompok sumber yang saling berasingan tentang Melaka ini, iaitu sumber peribumi Melayu, China dan Portugis, merupakan landasan sumber bagi membahaskan berbagai-bagai aspek sejarah kebudayaan dan Kesultanan Melayu Melaka. Kesemuanya menjadi sumber primer. Bermula daripada ketiga-tiga kelompok sumber inilah maka lahir dan muncul hasil tulisan yang lain tentang Melaka, sama ada dalam bahasa tempatan mahupun dalam bahasa asing.

Oleh sebab hampir kesemuanya dicetak dan diterbitkan, maka hasil tulisan ini menjadi sumber sekunder. Apabila sumber primer dan sumber sekunder digabungkan, maka sekarang terdapatlah berbagai-bagai hasil tulisan semasa tentang Kesultanan Melayu Melaka. Ada juga penulis dan pengkaji yang dapat menampilkan sumber primer yang baharu dan sumber yang belum pernah diketahui selama ini. Perbezaan hasil tulisan penulis ini hanya disebabkan oleh kaedah yang mereka gunakan untuk mendekati bidang masing-masing. Hal ini termasuk cara penyampaian mereka berdasarkan disiplin yang digunakan dengan tafsiran yang berlainan, merujuk pemahaman masing-masing terhadap sumber primer yang sedia ada dan bahan-bahan sekunder yang pernah ditulis dan yang mereka peroleh.

Kesan-kesan dan bahan tinggalan purba yang bukan bercorak tulisan dapat menambah koleksi sumber primer tentang Melaka. Sumber primer yang bercorak demikian yang terdapat pada hari ini termasuklah batu nisan beberapa orang raja Melaka, keping-kepingan wang logam yang tercatat nama raja dan jangka masa pemerintahan mereka, dan berbagai-bagai jenis keris Melayu yang terdapat di Museu do Oriente di Portugal. Daripada bahan-bahan rujukan seperti inilah berbagai-bagai aspek sejarah Kesultanan Melayu Melaka dapat dihuraikan dalam buku ini. Huraiannya, secara relatif, terbahagi kepada tiga bahagian yang umum, iaitu pertama, bahagian sumber yang membekalkan pengetahuan kepada kita tentang kesultanan tersebut; kedua, bahagian sejarah yang dibina dan ditafsirkan daripada nilai, pendapat dan pengamatan penulis buku ini sendiri, dengan merujuk maklumat dan fakta daripada sumber yang dibekalkan tadi; dan ketiga, bahagian persejarahan Melaka dalam konteks persejarahan negara ini, persejarahan Selat Melaka dan persejarahan alam Melayu ini secara umumnya.

Sekapur Sirih
Prakata
Pendahuluan

BAHAGIAN I – PERSEJARAHAN

1. Sumber Sejarah Kesultanan Melayu Melaka, 1400-1511
2. Sejarah Melayu: Hasil Kreatif dan Sejarah Melayu tentang Kesultanan Melayu Melaka serta Permasalahan Naskhahnya
3. Sultan Mahmud Syah (Marhum Kampar): Penelitian Interpretatif daripada Sejarah Melayu
4. Hubungan Tradisional Melaka-Siak Dilihat melalui Penulisan Hikayat Siak atau Sejarah Raja-raja Melayu

BAHAGIAN II – SEJARAH

5. Sultan Melaka: Permasalahan Salasilah
6. Misteri Sultan Alauddin Riayat Syah I Melaka
7. Ikon-ikon Terpilih Kesultanan Melayu Melaka Sepanjang Zaman
8. Sistem Pentadbiran dan Politik Melaka
9. Pemikiran tentang Undang-undang dalam Kesultanan Melayu Melaka
10. Islam dalam Sejarah Perundangan Melaka
11. Perdagangan dan Perkapalan Melayu Melaka
12. Masyarakat Melaka 1400-1511
13. Epilog: Melaka dalam Tradisi Sejarah Serantau dan Sejarah Negara

Lampiran A – V
Bibliografi
Indeks

Weight0.915 kg
Dimensions22.6 × 15.1 × 3.1 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.