Nuruddin al-Raniri, Bustan al-Salatin dan Hal-Hal Yang Seputar Dengannya. 30 May 2018 – Posted in: Book Excerpts

Syeikh Nuruddin al-Raniri bukan daripada bangsa Melayu Beliau dilahirkan di dalam sebuah keluarga keturunan Quraisy di Ranir, Gujerat,India dan diberi nama penuh Syeikh Nuruddin Muhammad Ibn Ali bin Hasanji Ibn Muhammad Hamid al-Raniri. Beliau telah pun mula mempelajari bahasa melayu semasa kecil di Gujerat.

Beliau telah menunaikan fardu haji pada tahun 1031 Hijrah bersamaan 1621 Masihi dan dipercayai beliau juga telah menggunakan peluang ini untuk bergaul dengan jemaah haji Melayu sambil memperdalami ini pengetahuan bahasa Melayunya.

17 tahun kemudian, atas pengaruh yang diterima daripada bapa saudaranya, Muhammad Jailani Ibn Hassan al-Raniri, Nuruddin pun sampai di Aceh iaitu pada 31 Mei 1637. Pada masa itu aceh diperintah oleh Sultan Iskandar Thani.

Sebelum Nuruddin tiba di Aceh untuk tinggal beberapa lama di situ, beliau telah tinggal beberapa lama di Semenanjung Tanah Melayu untuk melanjutkan pelajarannya.

Voorhoeve menyatakan bahawa Nuruddin menghalusi pengajian bahasanya di Semenanjung dan pernah menelaah beberapa karya kesusastraan Melayu yang tersebar pada masa itu seperti Hikayat Iskandar Zulkarnain, Taj al-Salatin dan Sejarah Melayu.

Pengaruh ketiga tiga karya ini jelas dapat dilihat dalam buku yang dikarangnya kemudian iaitu Bustan al-Salatin.

Apa jua persamaan yang ditemui dalam Bustan al-Salatin bukanlah satu kebetulan tetapi sengaja dipilih dan diatur demikian dalam hubungannya dengan Taj al-Salatin dan Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu).

Malah Voorhoeve mencadangkan bahawa kedua-dua judul teks itu juga telah memainkan peranan yang kuat dalam melahirkan nama untuk Bustan al-Salatin.

Besar kemungkinan Nuruddin al-Raniri membawa diri ke Semenanjung selepas kedatangannya pada tahun 1637 kerana pada masa itu ulama yang terpengaruh ialah Syeikh Syamsuddin Pasai, yang menjadi guru kepada Sultan Iskandar Muda dan mendapat naungannya.

Semasa berada di Semenanjung Nuruddin telah sempat mengarang dua buah kitab, iaitu:

  1. Durrat al-Fara’id (sebelum 1045H)
  2. Hidayat al-Habib (selepas 1045H)

Nuruddin datang kali kedua ke Aceh setelah Syeikh Shamsudin Pasai meninggal dunia dan setelah mangkatnya Sultan Iskandar Muda.

Pengalamannya semasa di Semenanjung, khasnya di Pahang, membolehkan beliau menjadi begitu akrab dengan Sultan yang baharu, iaitu Sultan Iskandar Thani, yang berasal daripada Pahang.

Kerana itu, dalam masa yang singkat dan begitu mudah Nuruddin memperoleh kedudukan istimewa sebagai ulama dan penasihat sultan yang dahulunya diduduki oleh Syeikh Shamsudin Pasai, musuhnya.

Kedua-dua buah kitab yang dikarangnya di Semenanjung dibawa dan dipersembahkan kepada Sultan

Syeikh Syamsuddin yang dahulunya menjadi penasihat Sultan Iskandar Muda adalah murid dan pengikut setia Hamzah Fansuri.

Nuruddin mendapati dengan kedudukan yang baru dicapainya, dapatlah beliau peluang menentang fahaman Wujudiyah yang telah di sebabkan oleh Hamzah Fansuri dan Syamsudin Pasai itu.

Atas tujuan itulah maka Nuruddin mula mengarang bukunya Bustan Al-Salatin yang dimulakan penulisannya pada 17 Syawal 1047 bersamaan tahun 1638.

Nampaknya Nuruddin hanya dapat tinggal di Aceh sepanjang zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani sahaja (1637-1641). Sultan Tajul Alam yang menaiki takhta kerajaan selepas Sultan Iskandar Thani, tidak menyenangi Nuruddin.

Pada tahun 1643, Nuruddin dipecat oleh sultan tersebut. Beliau pulang ke Ranir dan meninggal dunia pada tahun 1658

Nuruddin al-Raniri telah menghasilkan pelbagai karya agung semasa beliau tinggal di Aceh selama lebih kurang tujuh tahun itu (1637-1643).

Antara yang paling terkenal dan paling banyak dibincangkan oleh para sarjana ialah hujah-hujah tentangan yang dikemukakannya terhadap kepercayaan sufi yang dipegang oleh Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Pasai.

Begitu menarik perdebatan itu hingga karangannya yang terkenal, iaitu Bustan Al-Salatin dengan isinya yang begitu pelbagai, dapatlah kita memahami mengapa sebenarnya buku itu belum dikaji sepenuhnya oleh pengkaji.

Bustan Al-Salatin adalah sebuah karya terpenting hasil tulisan Nuruddin Al-Raniri. Memandangkan bahawa pengarangnya bukanlah seorang anak melayu jati, kitab ini lebih bermakna kerana memperlihatkan kemampuan berbahasa yang dicapai pada abad ke-17 itu. Apatah lagi jika diteliti setiap isi yang dibentangkan dalam bab-bab kitab tersebut.

Mengikut Teuku Iskandar (1966) pembahagian kepada bab-bab dan fasal demikian banyak memperlihatkan persamaan dengan Taj-al Salatin karangan Bukhari al-Jauhari.

Di samping untuk mengkritik Hamzah Fansuri dan Syeikh Syamsuddin, Nuruddin mengarang Bustan al-Salatin juga dengan maksud menandingi Taj al-Salatin sebagai cermin bagi raja-raja. Maka kerana itulah Nuruddin menamakan bukunya Bustan al-Salatin fi dhikr al-awwalin walakhirin iaitu Kebun Segala Raja-Raja, dan Menyatakan Permulaan Segala Kejadian dan Kesudahannya.

Nuruddin sendiri menyatakan bahawa tidak lama selepas beliau menjejaki bumi Aceh, beliau menerima perintah daripada Sultan Iskandar Thani untuk menulis Bustan al-Salatin.

Bahawa membasakansuatu kitab dengan bahasa Jawi padahal mengandungi perkataan segala yang mengediami tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. … Dan mengatakan kelakuan segala raja-raja yang dahulu dan kemudian. Maka, dijunjung fakir titah yang maha mulia serta singkat pengetahuannya lagi kurang fahamnya pada bahasa Jawi pada hal berpegang ia kepada Tuhan yang menjadikan seru sekalian alam. 

Bustan al-Salatin, MS Melayu, Raffles, No. (Grinter 1979:10)  

Sungguhpun tidak diketahui secara pasti bila Nuruddin selesai mengarang buku ini dan masa yang diambilnya untuk menulis buku tersebut, terbukti bahawa buku itu telah siap tertulis pada tahun 1640 (1050H).

Walaupun difahami bahawa Nuruddin memang berkebolehan bekerja keras mengerang pelbagai kitab, besar kemungkinan bahawa Bustan al-Salatin, setebal 1250 halaman manuskrip, dan meliputi pelbagai bidang, telah mula dikarang sebelum Nuruddin tiba di Aceh.

Hasratnya untuk menentang ajaran Hamzah Fansuri dan Syeikh Syamsuddin telah pun tertanam semenjak kedatangannya yang pertama ke Aceh, sebelum dia membawa diri ke Semenajung Tanah Melayu.

Grinter (1979) berpendapat sistem rujuk balas dan rujukan kepada bahan-bahan zaman silam dan zaman mendatang yang terdapat dalam Bustan al-Salatin pasti memerlukan persediaan teratur dan berencana oleh pengarang. Tiga tahun mungkin tidak mencukupi.

Artikel ini adalah sebahagian pengenalan teks oleh Siti Hawa Haji Salleh di dalam buku Bustan al-Salatin (DBP 2010). 

Buku ini juga boleh di dapatkan dengan klik link di sini.

 

Bustan al-Salatin