Ringkasan Cherita Hikayat Hang Tuah 25 July 2018 – Posted in: Book Excerpts
Hang Tuah1 telah mengikut ibu bapa-nya berpindah ka-Bintan dari Sungai Ujong. Pada masa umor-nya sa-puloh tahun lebeh kurang, dia bersahabat karib dengan empat budak2 yang lain ia-itu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu yang sa-baya dengan-nya. Mereka besar bersama dan menjadi sahabat2 yang rapat sa-kali. Tidak berapa lama mereka pun di-ambil berkhidmat ka-bawah raja oleh sebab keberanian mereka yang luar biasa. (m. 1—43)
Dengan titah Sultan, kesemua pendudok negeri itu telah di-suroh berpindah ka-Melaka. Sultan telah menabalkan adek-nya sa-bagai Raja Muda. Tetapi tidak berapa lama lepas itu dia telah memalukan-nya dengan suatu tudohan menderhaka. Putera raja yang di-aibkan itu di-pelawa menjadi raja di-benua Keling. (m. 43—96)
Sa-telah suatu utusan di-raja kechewa meminang Tun Teja, Pateh Karma Wijaya, yang pada suatu masa pernah menjadi menteri di-istana Jawa, menchadangkan supaya tuan-nya yang sekarang berkahwin dengan puteri Betara Majapahit yang bernama Raden Mas Ayu. Chadangan ini di-terima dengan baik oleh kedua2 pehak yang berkenaan dan persediaan untok perkahwinan ini pun di-buat-lah. Sultan dengan di-iringi oleh Tuah dan juga pegawai2 lain pun pergi ka-Majapahit. Tuah berlawan dengan pahlawan Jawa yang mashhor bernama Taming Sari dan mendapat keris-nya yang sakti itu. Kemenangan-nya menyebabkan dia di-kurniakan gelaran Laksamana oleh Seri Betara. Sa-masa temasha perkahwinan sedang di-jalankan Tuah bersama2 dengan sahabat2-nya yang empat itu pergi ka-Gunong Merta Pura untok belajar ilmu pertapaan dan juga ilmu hulubalang daripada Sang Pertala. Apabila kembali mereka membalas dendam ka-atas Seri Betara dan Pateh Gajah Mada yang telah membuat ranchangan untok mengambil nyawa Tuah, dengan mencheroboh masok ka-dalam taman larangan Seri Betara. (m. 96—177)
Laksamana sekarang telah menjadi orang kesayangan Sultan dan ini menimbulkan chemburu di-kalangan sa-tengah pegawai2 termasok juga Pateh Karma Wijaya. Suatu tudohan tidak setia telah di-buat2kan terhadap-nya dan Sultan pun menghukum supaya dia di-bunoh. Bagaimana pun Bendahara dengan sa-chara diam2 menasihatkan-nya supaya pergi membuang diri dahulu. (m. 177—180)
Tuah pergi ka-Inderapura lalu membuat beberapa perhubongan yang berguna di-sana. Dia berhubong dengan anak perempuan Bendahara Seri Buana yang bernama Tun Teja yang telah menolak pinangan Raja Melaka dan yang sekarang sudah di-tunangkan dengan Megat Panji Alam dengan tidak sa-suka-nya. Tuah mengenakan guna2 kapada-nya, Teja dengan serta-merta telah naik berahi kapada-nya, sa-hingga Teja menurut-nya ka-Melaka. Sampai di-Melaka, Tuah menyembahkan-nya kapada Sultan,dan, dengan itu dia di-sukai kembali oleh tuan-nya. (m. 180—221)
Perkhabaran tentang pelarian Tun Teja telah di-sampaikan kapada Megat Panji Alam di-Terengganu. Dia pun berangkat kerana hendak menuntut bela atas Sultan Melaka. Laksamana mengadang-nya di-Inderapura dan di-sini dia telah di-bunoh. (m. 221—238)
Dalam pada itu Raden Mas Ayu telah melahirkan dua putera: Raden Bahar dan Raden Bachar. (m. 238—247)
Tidak beberapa lama-nya Seri Betara pun mendengar khabar tentang perkahwinan Sultan Melaka dengan Tun Teja. Ini menimbulkan kemurkaan-nya. Utusan2 pun di-hantar dengan alasan untok menengok keadaan di-Melaka yang menyebabkan menantu-nya sudah lama tidak memberi khabar apa2 pun ka-Majapahit. Tetapi yang sa-benar-nya tugas mereka ia-lah supaya Sultan terpaksa berangkat ka-Majapahit supaya tindakan2 yang sa-patut-nya di-ambil di-atas-nya kerana telah dengan tidak sa-chara langsong memberi malu kapada puteri Seri Betara. (m. 247—269)
Utusan2 ini berjaya di-dalam tugas mereka. Tidak berapa lama sa-lepas itu Sultan Melaka dengan di-iringi oleh pegawai-nya yang ter-handal, datang-lah ka-Majapahit. Beberapa perchubaan yang tidak diselindongi sangatz telah di-buat untok membunoh Tuah kerana dengan kematian-nya Sultan Melaka akan terpaksa menyembah ka-Majapahit. Tetapi kesemua perchubaan2 ini kechewa. Akhir-nya Sultan pun berangkat pulang dengan selamat-nya. (m. 294—301)
Tetapi Pateh Gajah Mada tidak berhenti sa-takat ini. Dia menghantarkan Marka Paksi ka-Melaka dengan enam orang hulubalang untok memusnahkan-nya dengan penyeludupan. Tetapi Laksamana dapat menangkap Marka Paksi lalu membunoh-nya dengan orang2-nya sa-kali.
Tuah bertambah lagi menjadi orang yang di-sayangi oleh Sultan. Sa-kali lagi pegawai2 yang dengki pada-nya dengan di-ketuai oleh Pateh Karma Wijaya menudoh-nya membuat perhubongan sulit dengan salah sa-orang dayang2 istana—suatu kesalahan yang sama besar-nya dengan ‘derhaka’. Sultan pun menitahkan supaya dia di-bunoh tetapi Bendahara yang bijaksana itu dengan bersulit2 menyembunyikan dia di-hulu negeri. Di-sana Tuah dudok bersama dengan sa-orang guru ugama. (m. 302—307)
Sementara itu Hang Jebat di-suroh mendudoki tempat yang di-tinggalkan oleh Tuah. Tetapi tidak berapa lama sa-lepas itu dia dengan sachara langsong menunjokkan bahawa dia hendak melawan kuasa raja untok membela kematian Tuah. Sultan pun meninggalkan istana-nya lalu mengumumkan Jebat bersalah kerana penderhakaan yang sa-besar2nya. Semua perchubaan untok membunoh-nya telah kechewa. Akhirnya Bendahara pun membuka rahsia-nya. Sultan pun bersukachita lalu Tuah di-jemput dengan segera-nya. (m. 308—331)
Suatu perjuangan yang amat menyedehkan pun berlaku. Dengan suatu helah-nya Tuah dapat mengenakan suatu tikaman yang membawa maut kapada Jebat. Jebat berasa sangat jemu dengan serba-serbi lalu dia mengamok sa-lama tiga hari sa-belum dia menghembuskan nafas-nya yang akhir. (m. 332—347)
Pada masa ini juga Pateh Gajah Mada mendapat khabar tentang kematian ketujoh2 surohan-nya yang di-hantar untok membuat huru-hara. Dia pun menghantarkan sa-orang lain yang lebeh handal lagi. Tetapi sa-kali lagi Tuah berjaya membunoh orang itu. (m. 348—356)
Sultan telah membuat keputusan hendak menghantarkan suatu utusan persahabatan ka-benua Keling. Tuah mengetuai utusan ini dan dia telah di-sambut dengan penoh hormat-nya. Dia tinggal di-sana beberapa lama dan telah memenangi suatu pertarongan dengan sa-orang pahlawanan. Raja benua Keling ini, yang pada suatu masa dahulu menjadi Raja Muda di-Melaka, hendak menghantar Tuah ka-negeri China. Utusan ini pun bertolak-lah, dan di-sambut dengan penoh hormat oleh Maharaja China (hal ini telah sangat2 mengechewakan saudagar2 Feringgi kerana wakil2 mereka tidak dapat mengadap Seri Maharaja). Utusan itu sampai balek ka-benua Keling dengan selamat-nya sa-lepas terjadi suatu pertemporan kechil dengan orang2 Feringgi di-lautan dekat pantai China. Sa-lepas itu utusan Melaka pun pulang-lah. (m. 357—392)
Apabila Seri Betara Majapahit mangkat, maka Raden Bahar pun di-tabalkan menjadi betara baharu. Laksamana mengiring-nya ka-Majapahit. Sa-masa dalam pelayaran-nya hendak balek, Laksamana di-sekat di-pertengahan jalan oleh sa-orang putera raja dari Berunai. Putera raja yang bernama Adipati Solok itu di-tawan dan di-bawa ka-Melaka. Dia di-layan dengan baik-nya dan tiada beberapa lama-nya dia pun di-kirim pulang ka-Berunai oleh Laksamana. Di-sana Laksamana di-kurniakan hadiah2 yang sa-wajar-nya oleh raja, bapa putera raja itu. (m. 393—404)
Untok mendapat gajah baka baik Sultan Melaka telah menghantar Tuah ka-Siam. Di-Siam Tuah telah membunoh beberapa orang Jepun yang telah menghinakan-nya. Uutusan ini balek dengan selamat-nya dengan membawa beberapa ekor gajah sa-sudah dengan jaya-nya mematahkan serangan suatu angkatan laut Jepun yang di-hantar untok membalas bela di-kuala sungai itu. (m. 405—413)
Ayu telah melahirkan sa-orang anak perempuan yang di-beri nama Puteri Gunong Ledang. Dan Teja pula telah mendapat dua orang anak laki2 yang bernama Mahmud dan Muhammad. Suatu utusan di-hantar ka-Selan (Ceylon) untok mendapatkan batu2 permata yang akan di-lekatkan pada pakaian2 kedua putera2 yang akan di-tabalkan itu. (m. 414—417)
Anak Raja negeri Ceylon bernama Raja Johan telah datang ka-Melaka untok meminang Puteri Gunong Ledang. Dia sangat suka menyabong ayam. Sementara persediaan perkahwinan di-buat dia meminta kebenaran pergi ka-Terengganu kerana dia berchadang hendak menyabong ayam di-sana. Di-Terengganu dia menemui suatu kechelakaan dan kapal-nya tenggelam. Apabila Puteri Gunong Ledang mendengar khabar ini dia mengadu kapada ayahanda-nya. Suatu angkatan di-ketuai oleh Laksamana pun di-hantar dengan serta-merta untok mena’aloki negeri Terengganu. Tuah mendapati negeri itu dalam huru-hara kerana ia sedang terbakar. Sa-masa dia merompak istana itu dia terjumpa dengan anak perempuan Bendahara Terengganu yang bernama Tun Sekanda Jaya dan juga putera Megat Kembar Ali ia-itu adek Megat Panji Alam yang telah di-bunoh oleh Laksamana dahulu di-Inderapura. Tuah pun membawa kedua2 tawanan itu pulang bersama2-nya. (m. 417—427)
Mahmud pun di-kahwinkan dengan puteri tawanan dari Terengganu itu dan di-tabalkan menjadi raja di-negeri Lingga. Muhammad pula dikahwinkan dengan puteri Bendahara Paduka Raja yang bernama Seganda Lela dan di-tabalkan menjadi raja di-negeri Bintan. (m. 428—433)
Sementara itu Teja menghantar anak Jebat yang bernama Hang Madim pergi menengok ayah-nya di-Inderapura. Sa-masa Madim di-sana Inderapura di-langgar oleh ikan todak. Banyak orang telah terbunoh dan Madim pun memberi suatu chadangan yang sangat baik untok mempertahankan Inderapura. Oleh sebab ini dia telah di-anugerahi dengan kurnia2 oleh Raja. Tetapi pegawai2 yang iri hati membuat ranchangan untok menganiayakan-nya. Dengan kematian Bendahara, hilang-lah orang yang dapat menyelamatkan-nya. Dia pun di-bunoh. Berita kematian kedua2 orang ini sangat mendukachitakan Teja. Aduan-nya kapada Sultan menyebabkan Sultan menghantar Laksamana ka-Inderapura untok mena’aloki-nya. Laksamana telah memaksakan pemerentahan Melaka ka-atas Inderapura lalu di-tangkap-nya kesemua yang terlibat dengan pembunohan Hang Madim itu. (m. 434—443)
Dengan di-iringi oleh Laksamana dan pegawai2 lain, Sultan pun belayar ka-laut bersuka2an. Sa-masa mereka mendekati pulau Singapura sa-ekor ikan emas telah ternampak di-bawah kapal. Sultan menchuba hendak menengok-nya; malang-nya mahkota yang di-pesakai-nya pun jatoh ka-dalam ayer; Laksamana terjun ka-ayer dengan keris di-tangan untok menchuba mengambil-nya. Sa-masa dia hendak naik balek ka-kapal sa-ekor buaya telah menyambar dan melarikan keris dari tangan-nya. Mahkota itu pun terjatoh sa-kali lagi lalu hilang. Semenjak peristiwa ini Sultan dan Laksamana tiada pernah lagi berasa sihat. (m. 444—447)
Sementara itu orang Feringgi yang telah mengalami kekalahan ditangan Tuah di-laut dekat pantai negeri China mengadukan hal mereka ka-negeri Feringgi. Suatu angkatan untok menyerang Melaka pun disiapkan. Berita kedatangan angkatan laut Feringgi ini pun di-sampaikan ka-Melaka. Sunggoh pun dia sakit Laksamana menjadi berang kerana tidak sabar hendak berjuang. Dia mengepalai angkatan laut Melaka yang menghalau keluar angkatan Feringgi dari perayeran Melaka. (m. 448-456).
Sultan berchadang hendak turun dari takhta-nya dan menabalkan puteri-nya Puteri Gunong Ledang sa-bagai raja. Oleh sebab ini dia menghantarkan suatu perutusan ka-Rum (Turki Uthmaniah) untok membeli meriam2 dan peluru2-nya untok mempertahankan Melaka dari serangan orang2 Feringgi. Perutusan ini yang di-ketuai oleh Laksamana telah berjaya dan membawa balek senjata2 yang banyak juga. Sa-lepas itu dengan rasmi-nya Sultan menabalkan puteri-nya sa-bagai raja baharu, tetapi dia maseh juga lagi memerentah. (m. 456—500)
Oleh sebab keinginan-nya hendak tahu tentang kehidupan sa-lepas mati Raja telah meminta siapa2 yang rela di-kuborkan hidup2 supaya tampil ka-hadapan. Tuah menawarkan diri-nya. Ma‘lumat2 yang diperolehi-nya menyebabkan raja itu menjadi alim. Dia membahagi2kan kekayaan-nya kapada ra’ayat-nya lalu turun dari takhta kerajaan-nya dan keluar mengembara sa-bagai sa-orang ahli suluk. (m. 500—505)
Sementara itu Bendahara dan Laksamana telah juga meletakkan jawatan mereka. (m. 504)
Orang2 Feringgi datang sa-kali lagi. Mereka menyuap dan menipu raja baharu itu dan juga menteri2-nya supaya memberi mereka sa-keping tanah. Di-atas tanah ini mereka dirikan satu tempat berniaga tetapi dengan sulit2 tempat ini di-perkuatkan dengan bedil2. Pada suatu malam mereka membedil kota Melaka. Penggemporan ini telah di-lakukan sa-rentak dengan kedatangan dua angkatan laut dari Manila dan negeri Feringgi. (m. 506—507)
Melaka pun kalah. Orang2 Melaka berundor ka-Selatan dan membuka Johor Lama. Orang2 Feringgi mendirikan suatu kubu batu di-sakeliling bukit itu. Lama sa-lepas itu datang pula Belanda. Dengan pertolongan orang2 Melayu Johor, orang2 Belanda telah dapat merebut Melaka daripada Feringgi. (m. 507—510)
Maka tentang hal Laksamana tidak-lah kedengaran lagi berita-nya. Tetapi dia tidak mati. (m. 510)
- Ringkasan ini berdasarkan edisi Balai Pustaka (1956), Djakarta.
Sumber: “Hujongan II: Ringkasan Cherita Hikayat Hang Tuah.” Perwatakan Dalam Hikayat Hang Tuah. By Kassim Ahmad. 4th ed. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1973. 61-66. Print.
Beli Siri Hang Tuah
-
Hikayat Hang TuahRM50.00
-
Hang TuahRM58.00 – RM78.00
-
Antara Sejarah dan MitosRM35.00
-
Hang Tuah dari Perspektif SejarahRM58.00
-
Hang TuahRM54.00