Dialog bersama Rosli Ibrahim; Seputar Masharakat Chantek 18 February 2023 – Posted in: Interviews

Di Kawah Buku, kami bertuah kerana Saudara Rosli Ibrahim memberikan kepercayaan untuk menerbitkan buku terbaharu beliau. Sepanjang proses penerbitan ini kami harus jujur, terlalu banyak perkara yang kami dapat renungi dan pelajari khususnya perjuangan seorang OKU untuk terus hidup dalam masyarakat yang serba sempurna ini. Dialog bersama Rosli tentang buku Masharakat Chantek, kami titipkan di sini sebagai sebuah catatan renungan untuk kita semua.

Orang kampung jijik memandang sifatku. Pondok burok-ku dibakar hangus. Pabila besok fajar menyinsing, aku pergi jauh. Jauh dari masharakat chantek.” Rangkap ini adalah sebahagian dialog yang terungkap dalam filem Sumpah Orang Minyak, sebuah filem satira yang diarahkan oleh P.Ramlee dan skripnya oleh S. Sudarmaji. Dialog inilah kemudiannya telah menginspirasikan Saudara Rosli Ibrahim untuk menamakan buku baharunya dengan ‘Masharakat Chantek’ atau judul penuhnya Masharakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU yang telah diterbitkan oleh Soeloeh Merdeka, salah satu imprint kami di Kawah Buku.

Kalau diundur balik semula filem tersebut, Si Bongkok ingin keluar dari kampung itu kerana penduduknya jijik melihat Si bongkok yang buruk dan juga hodoh. Jadi, kita dapat memahami maksud kenapa Rosli menamakan buku ini sebegitu. Jawab Rosli kenapa menamakan buku ini Masharakat Chantek, kata beliau “sebab orang anggap OKU tak cantik. OKU itu bukan boleh dikatakan sebagai orang yang cantik sebab mereka cacat, mereka kurang upaya. Jadi dia semacam satu imaginasi kepada khalayak bahawa sebenarnya semua orang cantik. Tapi cantik dengan cara mereka sendirilah. Itu saja.

Maka istilah Masharakat Chantek ini boleh kita memandangnya daripada pelbagai sudut. Kita boleh melihatnya sebagai sebuah konsep citra tubuh (body image) masyarakat dalam memerihalkan OKU dalam masa yang sama ia juga boleh menjadi suatu sindiran dan kritik kepada sistem dan fungsi masyarakat dalam memaknai kecantikan. Apabila masyarakat meletakkan batas tertentu dalam melihat dan menerima kecantikan juga kesempurnaan anggotanya, maka akan berlaku penyisihan kepada yang dilihat sebaliknya.

Maka, buku ini hadir ke kancah masyarakat untuk mengubah dan mendefinisikan semula erti kecantikan yang merangkul tanpa menyisihkan mana-mana anggota masyarakat. Tambahan komuniti OKU yang selalu diterpa dengan pelbagai nista dan tanggapan negatif masyarakat, menambahkan tanggungjawab dalam kalangan OKU sendiri untuk tampil membawa obor kesedaran terhadap permasalahan dihadapi mereka ke tengah khalayak masyarakat.

Kegelisahan Rosli yang juga seorang OKU akan perkara ini telah membawa kepada kenapa buku ini ditulis, “…saya gelisah melihat masyarakat pandang serong terhadap OKU, ada macam-macam stigma, ada macam-macam tanggapan. Jadi, buku ini nak membersihkan tanggapan itu, nak menjelaskan kepada masyarakat bahawa sebenarnya apa yang kalian fikirkan (tentang) OKU itu tak betul. Jadi, kita nak datang menjelaskan kepada masyarakat bahawa inilah sebenarnya OKU dan OKU sendiri kena bertindak untuk menerangkan persoalan mereka kepada masyarakat.

Jika ditelusuri pada setiap garis tulisan Masharakat Chantek, kita dapat mengenalpasti garis-garis besar yang menjadi tulang belakang kepada berdirinya buku Masharakat Chantek sebagai sebuah buku yang sarat dengan nilai murni kemanusiaan.

Pertama, perbincangan tentang konsep citra tubuh (body image) yang begitu ditekankan Rosli dalam buku ini. Pada Rosli, definisi statik cantik yang dipegang oleh anggota masyarakat itulah yang menyebabkan bermulanya penyisihan kepada OKU, “cantik itu adalah pemula kepada bagaimana penyisihan terhadap OKU itu berlaku. Kalau kita memegang satu takrifan tertentu tentang cantik, maksudnya orang yang tidak cantik akan terkeluar daripada definisi yang kita mahukan. Selanjutnya, kerangka inilah menjadi asas utama mengapa perihal tanggapan terhadap citra tubuh OKU, cantik mahupun tak cantik, menjadi bualan penting sepanjang idea Masharakat Chantek diungkapkan.  

Kedua, kehalusan Rosli mengkritik proses kehidupan beragama yang telah mengetepikan fungsi sosial melainkan agama kini berperanan oleh ahlinya untuk merebut kesolehan individu semata-mata. “Sebenarnya, dalam kehidupan beragama, adakah kita tidak berinteraksi dengan masyarakat? ataupun dalam pertanyaan lain, adakah agama memiliki fungsi sosial? ataupun agama ini hanya sekadar untuk merebut kesolehan peribadi? adakah hanya sekadar itu? ataupun, agama ini adalah kedua duanya? Kita juga memerlukan kesolehan peribadi dan kita juga memerlukan kesolehan sosial. Maksudnya, kita harus taat, patuh kepada perintah Tuhan. Begitu juga kita kena berbaik, berinteraksi secara baik dengan segenap lapisan masyarakat,” beliau mempersoalkan.

Persoalan-persoalan yang diajukan Rosli ini perlu bingkas dipertanyakan kepada setiap individu dan para agamawan. Nescaya seandainya proses beragama ini diluruskan dengan menyeimbangkan antara matlamat peribadi dan masyarakat, secara idealnya ia membantu membuka minda masyarakat untuk menyantuni OKU lebih dari sekadar menghulurkan sedekah atau sekadar pemanjat doa semata-mata, malah menerima OKU sebagai sebuah komuniti yang perlu diupayakan hak sosialnya.

Ketiga ialah tentang penghargaan kepada sebuah kepelbagaian. Bagi Rosli tanpa asas nilai penghargaan ini, kita takkan dapat beranjak kepada tahap yang seterusnya iaitu menerima dan kemudian mengupayakan mereka yang memerlukannya, “kepelbagaian itu tidak hanya sekadar kepelbagaian jantina, gender, kepelbagaian juga ialah dari segi keupayaan seseorang itu, ataupun bentuk tubuh seseorang itu. Adakah kita menghargai kepelbagaian tadi? adakah setelah kita menghargai, kita mengupayakannya?

Penghargaan ini bukanlah sebuah penyataan yang berhenti di bibir, tetapi ia melibatkan proses kognitif yang menyalurkan reaksi melalui tingkah laku yang sesuai kepada komuniti OKU. Tanpa penghargaan kepada kepelbagaian ini, kita akan menemukan dengan lebih banyak dasar dan polisi secara tidak sengaja ataupun sengaja meminggirkan OKU dalam perkiraan mereka khususnya dalam menyediakan accessibility dan juga proses mengupayakan sosial kehidupan mereka.   

Pada Rosli akhirnya, persoalan OKU baginya bukanlah persoalan tentang mereka sahaja. Tetapi ia adalah persoalan yang dekat dengan kita semua, bahkan lebih dekat dengan diri kita sendiri, ia adalah sebuah renungan untuk kita menginsafinya, “satu sudut lain bahawa kekurangupayaan atau kurang upaya adalah hal yang sangat rapat dengan diri kita. Suatu ketika nanti kita akan tua dan kita juga akan mengalami keadaan kurang upaya. Dan ketika itu kita akan berdepan dengan halangan-halangan sosial. Dari segi faktor umur, kita akan susah untuk menaiki tangga (maka) kita perlukan ramp. Jadi, sebenarnya persoalan OKU ialah persoalan yang sangat dekat dengan diri sesiapa pun. Dia tidak boleh menghindari persoalan orang kurang upaya kerana itu adalah realiti yang dia akan hadapi juga suatu ketika nanti.

Masharakat Chantek akan memberikan renungan yang panjang apabila kita menghayati setiap helaian yang telah diilhamkan Rosli. Semoga keberadaan naskhah ini dalam masyarakat akan menyedarkan kita akan pertarungan mereka, seperti yang dititip dalam sari rangsang  Masharakat Chantek, “kepayahan menjadi objek syahwat khalayak tika mana mereka bertarung dalam nyanyi sunyi; tangan dan kaki terkebumi.


DAPATKAN NASKHAH

Azan Safar adalah pendiri Kawah Buku.