Membina Tradisi Ilmu 21 February 2023 – Posted in: Newspaper Archives, Speech Archives

Yang merunsingkan kini bukanlah semata-mata kurangnya minat membaca buku Bahasa Malaysia, tetapi nyata kurang membaca di kalangan masyarakat yang dikatakan terpelajar.

Kita telah banyak memperkatakan tentang kebangkitan Islam, akhlak Islamiah dan sebagainya. Malangnya satu kelemahan yang nyata bahawa kebangkitan itu tidak disusuli dengan tradisi ilmu dan tradisi akliah yang patut mendukungnya. Buku-buku yang dibaca itu ialah buku-buku biasa yang rendah tahap pencapaian ilmunya. Tidak banyak karangan atau karya baru atau terjemahan karya-karya besar yang diketengahkan. Dan tentu tidak banyak yang mengikuti dan membacanya. Oleh yang demikian ada satu kelemahan besar tentang apa yang disebutkan zaman kebangkitan Islam, kerana kebangkitan Islam, sebenarnya harus didukung oleh tradisi ilmu yang mampu melahirkan tamadun besar atau tamadun agung.

Jadi hal yang kita bicara sekarang ini adalah serius dan membimbangkan kerana yang tidak gemar membaca ini bukan sekadar golongan petani, tetapi golongan profesional, pemimpin politik, dan pegawai tinggi termasuk pensyarah-pensyarah universiti. Bagaimanakah kita dapat menyelesaikan masalah ini untuk melahirkan satu iklim atau suasana supaya lebih ramai yang berminat untuk membaca? Mungkin harus diperbaiki sistem persekolahan, atau harus diperbetulkan sistem universiti sekiranya kita tidak dapat melahirkan siswazah yang mempunyai kecintaan pada ilmu pengetahuan. Seringkali saya katakan bahawa kecintaan terhadap ilmu pengetahuan harus diperbetulkan segera, sekiranya tidak, tidak ada makna erti pembangunan, kerana cita-cita besar kita untuk melahirkan tamadun Bahasa Melayu tidak akan lahir tanpa kesungguhan dan minat membaca. Dan di kalangan golongan inteligensia atau terpelajar, harus didesak supaya lebih banyak mengikuti perkembangan semasa secara serius melalui pembacaan. Dalam The Closing of the American Mind, Allan Bloom memaparkan di antara masalah pendidikan di Amerika Syarikat khususnya ialah masalah tenaga pengajar, dan tentunya iklim dan persekitaran politik dan sosial yang tidak banyak mendorong masyarakat terutamanya masyarakat muda untuk membaca—tidak ada minat tentang falsafah, tidak ada idealisme dalam hidup, tidak ada minat atau kecenderungan untuk membawa pertimbangan etika dan moral. Boleh dikatakan tidak ada rasa prihatin tentang permasalahan masyarakat yang lebih serius, selain isu-isu politik yang mudah dan murah. Selain itu untuk menggarap isu-isu sosial yang lebih serius, falsafah atau isu moral, rasuah, keadilan dalam masyarakat dan sebagainya tidak dibahas secara mendalam dan bersungguh-sungguh.

Juga tidak ada usaha menghubungkan kita dengan satu kekuatan dan landasan sejarah zaman silam yang lebih agung. Sebab itulah saya sebut di peringkat awal tadi di antara kita yang mendukung aliran kebangkitan Islam itu sendiri pun tidak mengikat diri kita dengan tradisi ilmu yang ada dalam Islam. padahal kekuatan yang ada dalam Islam itu, bukan kekuatan dari segi akidah yang tidak mampu mencernakan atau memancarkan cahaya ilmu, akhlak dan sahsiah yang bersandarkan ilmu pengetahuan dan pertimbangan akal. Jadi bukan bebal, seperti yang dikatakan oleh Prof. Syed Hussein Alatas dalam bukunya Intellectuals in Developing Societies. Tetapi yang kita minta daripada semua pihak ialah supaya menunjukkan rasa prihatin, rasa bimbang, dengan maksud untuk memperbaiki diri kita kerana kita mempunyai keupayaan untuk memperbaiknya. Sebab itu saya cadangkan supaya pensyarah-pensyarah universiti, dinilai keupayaan ilmu akademik mereka, termasuk dengan meletakkan syarat menulis buku ilmiah atau menterjemahkan Karya-karya ilmiah ke dalam Bahasa Malaysia, sebelum dipertimbangkan untuk dinaikkan pangkat menjadi Profesor Madya. Untuk menghasilkan buku ini mengambil masa tujuh hingga lapan tahun dan dalam masa itu cukuplah jikalau dia hendak menulis sesebuah buku. Tetapi jikalau ini tidak dapat dilakukan, tentulah menunjukkan bahawa golongan sarjana sendiri ketandusan ilmu dan tidak dapat memberikan sumbangan pemikiran kepada masyarakat. Saya juga menyokong supaya perkara ini menjadi perhatian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menyediakan kemudahan dengan harapan membolehkan mereka menjalankan kerja penyelidikan, penulisan, dan kemungkinan menerbitkan buku-buku tersebut. Saya syorkan DBP menimbangkan segera penterjemahan karya-karya besar, karya-karya agung, kerana kebangkitan Islam didukung oleh tradisi ilmu dan khazanah ilmu dari Al-Ghazali, Ihya Ulumuddin kepada Ibnu Rushd, Al-Farabi, Al-Biruni, Syeikh Waliullah. Ini sahaja tidak cukup, jadi kita tidak harus bataskan semua terjemahan kepada karya-karya besar Islam, kerana saya fikir karya Aristotle, Machiavelli, Rousseau, Montesquieu itu dianggap sebagai khazanah-khazanah besar yang harus diikuti oleh masyarakat Malaysia. Tetapi sepertimana yang disebut oleh Alan Bloom, jikalau kita minta orang membaca begitu sahaja, tanpa suatu minat dan kesungguhan untuk memahami isinya, juga tidak akan memberikan kesan yang mendalam.

Dan lebih dari itu, usaha hendaklah dijalankan oleh media massa, sama ada media elektronik atau media cetak, untuk memberikan penghormatan kepada orang yang berilmu, memberikan galakan, seperti perbahasan, dialog dan polemik tentang buku-buku baru, ilmu-ilmu baru, novel-novel baru, dan pembicaraan tentang isu-isu penting dalam buku-buku dan karya-karya itu. Dalam menggalakkan masyarakat supaya membaca, Allan Bloom juga mengingatkan supaya bukan sekadar membaca, tetapi membaca the right books, bukannya membaca buku-buku lucah ataupun yang rendah mutunya. Baru-baru ini saya membaca Armageddon buku karangan Gore Vidal, seorang novelis Amerika yang terkenal. Ada beberapa bab yang menarik dalam buku beliau yang menampakkan kelemahan yang ketara dalam masyarakat Barat. Menurut Vidal, masyarakat Barat mempunyai kelemahan-kelemahan besar kerana tidak menunjukkan minat dan pengamatan terhadap ilmu pengetahuan dan perbahasan mengenai isu-isu yang lebih serius dan mendalam dalam masyarakat. Mereka penuh dengan prasangka, menggunakan istilah liberal tetapi sebenarnya menutup pemikiran dari mendengar dan menilai pandangan dari kalangan lain. Dan jikalau ini benar sebagai satu perkara yang berlaku di Barat, kita boleh bayangkan masalah kita, dan betapa tenatnya kita, walaupun kita ghairah membicarakan tentang pembangunan negara, identiti, moral dan perjuangan bangsa yang bermaruah dan bertamadun tinggi. Itu tidak mungkin berlaku tanpa pasukan pemikir, budayawan yang lebih peka, dan menganggap soal ketandusan ilmu ini sebagai satu kekurangan besar dalam masyarakat kita.

Buku pengajian tinggi dalam Bahasa Melayu amat kurang. Setakat ini sebanyak 1,500 judul telah diterbitkan oleh DBP, penerbit-penerbit universiti dan penerbit-penerbit lain. Itu pun tidak mendapat sambutan yang memuaskan, kerana yang mempunyai minat untuk membaca tidak begitu ramai. Jadi pihak penerbit dari semasa ke semasa mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan mengadakan peruntukan untuk menambahkan subsidi buku pengajian tinggi. Tetapi satu perkara penting selain daripada menambah subsidi ini ialah suatu gerakan yang melibatkan penerbit, pendidik, pensyarah, pegawai dan sekolah supaya menjalankan kegiatan untuk menggalakkan tabiat membaca. Di peringkat Kementerian Pendidikan, saya memberi jaminan akan mengambil langkah-langkah yang sesuai. Saya minta semua sekolah menyiapkan satu tempat untuk mempamerkan buku-buku dan di samping itu guru-guru yang bertugas diminta supaya sentiasa membuat review buku-buku terbaru supaya dibaca oleh para pelajar. Di maktab perguruan, selain buku-buku wajib, pelajar-pelajar harus diwajibkan membaca lebih daripada senarai yang ditetapkan. Saya kira sedikit sebanyak kejutan dan paksaan perlu, sehingga tradisi ini menjadi suatu hobi. Saya rasa kita perlu memberi saranan dan gesaan ini walaupun tidak popular, tetapi mudah-mudahan boleh melahirkan satu generasi yang berminat membaca lebih daripada apa yang ada sekarang.

Saya bersetuju jikalau dikatakan bahawa kita masih kurang buku-buku akademik, bukan tidak ada langsung seperti anggapan setengah-setengah orang; kerana ada di antara mereka begitu prasangka dan menganggap rendah buku-buku yang ada, yang bersifat tempatan. Mereka kata novel-novel tempatan tidak setanding dengan buku-buku seperti Empire oleh Gore Vidal, Invisible Cities (Italo Calvino), Perfume (Patrick Suskind), The Name of the Rose (Umberto Eco). Saya tanya, “Novel-novel terbaru dalam Bahasa Malaysia saudara sudah baca atau belum?” Mereka jawab, “Belum?” Mereka kata, “Kita tak baca sebab levelnya tak sama.” Mentaliti jenis ini disebut oleh Prof. Syed Hussein Alatas, sebagai the captive mind (mentaliti perangkap) ataupun apa yang disebut oleh pelajar-pelajar Islam sebagai isti‘mar al-fikr wa al-ruh (penjajahan fikiran dan jiwa). Jadi dia berasa kagum dengan apa yang ada di Barat dan menolak sama sekali atau prasangka terhadap apa yang dihasilkan oleh negara sendiri.

Saya tidak nafikan bahawa tidak mudah untuk melahirkan orang-orang seperti orang yang saya sebutkan tadi pada zaman ini, apatah lagi hendak dihubungkan dengan sasterawan agung. Tetapi karya-karya yang dibaca akan menjadi lebih besar sekiranya didukung oleh masyarakat pembaca. Dan ini ada hubung kait dengan mereka yang mampu membaca tetapi tidak membaca dan mengharapkan karya-karya yang lebih besar dilahirkan dalam iklim orang yang tidak mempunyai minat untuk membaca. Sebab itu saya rasa perhatian juga harus ditumpukan di kalangan profesional, usahawan, saudagar baru yang kaya raya. Sekarang tidak ada tradisi membaca di kedai-kedai kopi di kampung, ataupun di restoran-restoran besar, dan di hotel-hotel besar pun tidak disediakan buku-buku. Jadi saya harap di kalangan kita yang mempunyai kesedaran ini, akan menanamkan semangat ini dan menyebarkannya. Dan saya harap kalau boleh rakan-rakan kita terutamanya pendidik di sekolah, ketua jabatan, pemimpin politik dan pensyarah di universiti turut memainkan peranan. Terutama dalam hubungan ini, dalam soal tradisi membaca, kita tidak boleh lari daripada tumpuan terhadap tenaga pengajar universiti. Kerana betapa pun masalah yang menyangkut sistem persekolahan, selagi pensyarah dan profesor tidak member penekanan dan gesaan kepada mahasiswa supaya banyak membaca, kita tidak akan dapat wujudkan apa-apa pembaharuan yang bermakna di dalam masyarakat kita. Mereka harus memimpin tetapi kebanyakan mereka ambil sambil lewa sahaja terhadap masalah yang saya sebutkan ini. Merekalah yang harus memikirkan, seperti Allan Bloom yang saya sebutkan tadi. Perkara ini kita bahaskan, DBP bahaskan, saya bahaskan, kerana di antara lain kegagalan universiti untuk membahaskannya. Isu ini sebenarnya isu universiti, isu dalaman universiti. Isu ini harus diketengahkan oleh pensyarah-pensyarah yang harus berasa gelisah, bimbang, ragu dan gundah gulana kerana melahirkan siswazah yang sebegini rupa. Setelah 30 tahun merdeka, kita tidak mampu menjual buku akademik yang hanya dicetak 500 naskhah; maknanya buku ini yang ditulis oleh pengarang iaitu guru kepada mahasiswa ini, tidak dibeli oleh mahasiswa sendiri setelah menjadi pegawai atau Ahli Parlimen. Ini saya katakan suatu kegagalan kerana setelah tiga empat tahun berada di universiti kita masih tidak dapat menanamkan kecintaan terhadap ilmu pengetahuan.

Saya sangat bimbang apabila melihat masyarakat kita yang tidak ada tradisi membaca, yang tidak membaca, sama ada buku lama atau baru, boleh berasa tenang dan gembira, sedangkan orang lain yang jauh lebih maju daripada kita, yang tidak ada masalah tradisi membaca seperti di Amerika, Perancis, Jerman dan negara-negara lain kini mula mempersoalkan rakyat mereka kerana tidak mahu membaca buku-buku yang penting dan utama dan mengikat diri mereka dengan sejarah, dalam usaha untuk membebaskan diri daripada tekanan dan kepalsuan hidup ini.

Jikalau benar kita ini berfikir, dan jikalau benar kita ini cendekiawan, sepatutnya kita berasa resah dan bimbang dengan suasana ini. Kita mesti mempunyai cita-cita dan idealisme untuk membetulkan kelemahan-kelemahan in. Kita harus memaksa diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita meneruskan perjuangan untuk membawa perubahan dengan mempertahankan tradisi ilmu ini.


Sedutan ucapan Sdr. Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan, sempena Pelancaran Pameran Buku Pengajian Tinggi pada 12 Disember 1987 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Tulisan ini disiarkan dalam Dewan Masyarakat, edisi Februari 1988 pada halaman 6-9.