Wan Ahmad Fauzi Wan Husain

Wan Ahmad Fauzi Wan Husain diterima masuk sebagai seorang peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur pada 23 September 1996. Menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia dengan kelulusan LLB (Hons), juga berkelayakan sebagai seorang peguam Syar’ie bagi Negeri Terengganu dan Wilayah Persekutuan. Pernah terlibat aktif dalam industri pembinaan infrastruktur serta perusahaan minyak & gas sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan sehingga tersenarai dalam The Book of Malaysia Leaders: Political, Government & Corporate.

Berpengalaman sebagai Setiausaha Dewan Pangkuan diRaja Terengganu, Penasihat Undang-Undang Majlis YTM Dato’-Dato’ Undang dan YTM Tunku Besar Tampin Negeri Sembilan, Pengerusi Yayasan Tuanku Nur Zahirah dan ahli Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu. Beliau merupakan pengasas jurisprudens watan serta memperjuangkan pemikiran watan di Malaysia.

Beliau berjaya menamatkan pengajian peringkat PhD setahun lebih awal, pada tahun 2017, dengan tesis bertajuk “Konsep Kedaulatan Watan Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia menurut sejarah perundangan” serta dianugerahi Sijil Cemerlang Tesis PhD dan Sijil GoT (Graduate on Time) oleh Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau memenangi enam Anugerah Buku Negara sejak 2018. Terbaharu adalah Anugerah Perdana Buku Negara 2022 dalam kategori “Penulis Buku Ilmiah Diraja” bagi buku berjudul Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan.