Out of stock

Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN adalah Profesor Madya di Universiti Malaysia Pahang. Beliau juga merupakan seorang peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur.

DBP (Cetakan Pertama, 2021)
343 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM50.00

Out of stock

Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan membahaskan fungsi kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman di bawah Perlembagaan Persekutuan bersumberkan prinsip kedaulatan Yang di-Pertuan Agong. Daripada prinsip kedaulatan baginda maka lahirlah apa yang diistilahkan sebagai prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong. Prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong hanya dapat dihuraikan secara tuntas sekiranya premis perbincangan yang berlatarkan kedaulatan raja-raja Melayu dilihat dari perspektif watan. Kekuatan buku ini berpaksi pada kerangka watan yang digunakan dalam membicarakan setiap subjek berkaitan. Legitimasi kerangka watan diajukan untuk menjustifikasikannya sebagai satu kaedah pentafsiran berwibawa bagi menghuraikan kedaulatan dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong di dalam Perlembagaan Persekutuan. Lanjutan itu, amalan pemerintahan dibahaskan untuk membuktikan bahawa syura dalam bentuk Rulers-in-Council adalah berprinsipkan raja berperlembagaan yang diwarisi daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Yang di-Pertuan Agong ialah ketua utama negara Malaysia. Kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman kerajaan Persekutuan terletak pada Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Tidak dapat dinafikan bahawa jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957. Namun begitu perlu ditegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah seorang raja Melayu dan pada masa yang sama menjadi wakil Majlis Raja-Raja untuk memerintah Persekutuan Tanah Melayu, akhirnya berkembang pada hari ini menjadi Malaysia. Kedaulatan Yang di-Pertuan Agong perlu dikaitkan dengan raja-raja Melayu kerana Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan kedaulatan Malaysia berpaksi pada prinsip kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa yang diwarisi daripada kesultanan Melayu sebelum Merdeka.

Sebagai sebuah persekutuan yang diikat dengan perjanjian utama, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan kemudiannya dikembangkan melalui Perjanjian Malaysia 1963; prinsip kedaulatan, prerogatif dan amalan pemerintahan raja-raja Melayu mendasari aspek-aspek sama bagi Yang di-Pertuan Agong. Sekiranya diteliti peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan, di sana terdapat dua himpunan undang-undang bersifat substantif dan prosedural; terkandung peruntukan-peruntukan yang menyentuh prinsip kedaulatan, sistem politik, undang-undang dan prinsip perundangan. Sistem politik dalam bingkai besar bermaksud amalan pemerintahan yang melibatkan organ dan jentera pentadbiran kerajaan. Dari sudut sosiologi, sistem politik terbahagi kepada autoritarianisme, monarki dan demokrasi.

Meskipun Perlembagaan Persekutuan mengandungi pelbagai peruntukan yang membina prinsip-prinsipnya, sering kali berlaku sudut pandang berlawanan dalam pentafsirannya. Jurang pentafsiran prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan hanya akan dapat ditadbir dengan baik jika prinsip kedaulatannya difahami. Prinsip kedaulatan amat penting dalam pentafsiran undang-undang perlembagaan kerana di situlah letaknya ciri-ciri perundangan sesebuah kerajaan. Kedaulatan undang-undang hanya tertegak jika suatu undangundang itu berdiri atas prinsip kedaulatannya. Prinsip kedaulatan ialah ciri-ciri kedaulatan yang merangkumi aspek bentuk dan sifat. Prinsip kedaulatan dihuraikan secara khusus di dalam buku ini.

Prerogatif ialah hak istimewa dan kuasa budi bicara yang dikurniakan secara khusus oleh pemilik kedaulatan pada individu atau kelompok tertentu untuk memerintah, memutus, menggubal dan mengadili. Prerogatif itu boleh dipindahkan dalam bentuk perlembagaan atau statut. Kuasa dan bidang kuasa yang terkandung dalam perlembagaan atau statut memberikan kesan kepada keluasan prerogatif raja atau penguasa politik. Dalam kata lain, perlembagaan dan statut boleh mengekang atau membataskan prerogatif raja atau penguasa politik. Hal ini adalah kerana kuasa dan bidang kuasa yang termaktub dalam perlembagaan atau statut sekiranya dilaksanakan oleh pihak lain, akan membataskan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa raja atau penguasa politik. Walau bagaimanapun, seorang raja atau penguasa politik masih mempunyai kuasa tersimpan. Kuasa tersimpan itu boleh digunakan untuk mempertahankan prinsip kedaulatan, termasuklah kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan negaranya.

Prinsip kedaulatan Yang di-Pertuan Agong mencorakkan prerogatif baginda dalam kuasa eksekutif, begitu juga kuasa perundangan dan kehakiman Persekutuan. Prinsip kedaulatan itu bersumberkan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa rajaraja Melayu. Fungsi kuasa-kuasa tersebut kebanyakannya dilaksanakan oleh pihak eksekutif, Parlimen dan badan kehakiman. Oleh itu, Yang di-Pertuan Agong adalah entiti teratas dalam Parlimen dan kuasa kehakiman diperbuat atas nama baginda. Menurut amalan, Yang di-Pertuan Agong melaksanakan kewajipan baginda sebagai pemerintah tertinggi Malaysia berdasarkan budi bicara dan nasihat seperti dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu perlu dinyatakan, selain daripada peruntukan bertulis, Yang di-Pertuan Agong masih mempunyai kuasa prerogatif berteraskan prinsip kedaulatan baginda yang boleh dikuatkuasakan melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan premis tersebut, prinsip kedaulatan Yang diPertuan Agong mengikat pelaksana fungsi eksekutif baginda, begitu halnya ke atas ahli Parlimen dan badan kehakiman negara. Ciri-ciri kedaulatan raja-raja Melayu sesungguhnya mendasari prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan prinsip kedaulatan Malaysia. Sekiranya prinsip kedaulatan itu dilanggar maka sebarang undang-undang atau keputusan yang dibuat oleh mana-mana entiti di atas masih boleh dicabar. Dalam kata lain, amalan pemerintahan kerajaan hendaklah menjunjung prinsip kedaulatan seperti dijamin oleh Perkara 181 (1); itulah maksud sebenar kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Atas landasan sama, Perlembagaan Persekutuan menjamin kuasa tersimpan Yang di-Pertuan Agong kerana baginda mempunyai kewajipan untuk memelihara keluhuran perlembagaan, pemerintahan adil, keamanan dalam negeri dan prinsip kedaulatan undang-undang bersumberkan ajaran Islam. Kewajipan sedemikian terkandung dalam Sumpah Jawatan baginda seperti yang terdapat dalam Jadual IV Perlembagaan Persekutuan. Meskipun Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, “Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini” dan fungsi kuasa Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan oleh pihak yang diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan, kedudukan itu tidak sekali-kali menjejaskan kedaulatan seperti diwarisi oleh raja-raja Melayu.

Prakata

Bab Satu YANG DI-PERTUAN AGONG KETUA NEGARA

Pengenalan
Pengaruh dalam Perlembagaan

Bab Dua KEDAULATAN

Pengenalan
Fahaman Kedaulatan
Penjelasan Fahaman Kontinum
Penjelasan Fahaman Dikotomi

Bab Tiga PREROGATIF

Pengenalan
Prinsip Kontinum
Amalan Kontinum
Prinsip Dikotomi
Amalan Dikotomi

Bab Empat KEDAULATAN DALAM ADAT MELAYU

Pengenalan
Isu Kedaulatan
Kerangka Watan
Adat Melayu
Adat Mentakrifkan Prinsip Perlembagaan
Sumber Perundangan

Bab Lima PERKEMBANGAN PERLEMBAGAAN

Pengenalan
Sistem Perlembagaan
Pengaruh Asing dalam Hal Ehwal Negeri
Kerajaan Melayu Tidak Dijajah
Pertemuan Dua Fahaman
Ke Arah Berkerajaan Sendiri

Bab Enam SISTEM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Pengenalan
Struktur Teras Perlembagaan Watan
Teras Kenegaraan Persekutuan
Amalan Prinsip Kedaulatan
Undang-Undang Sedia Ada
Bidang Kuasa Jadual 9

Bab Tujuh RAJA BERPERLEMBAGAAN

Pengenalan
Prerogatif dalam Raja Berperlembagaan
Kuasa dan Bidang Kuasa Yang di-Pertuan Agong
Doktrin Nasihat
Jemaah Menteri Sementara
Amalan

Biodata Penulis
Lampiran 1
Lampiran 2
Lampiran 3
Lampiran 4
Lampiran 5
Lampiran 6
Lampiran 7
Lampiran 8
Lampiran 9
Lampiran 10
Lampiran 11
Glosari
Bibliografi
Indeks

Weight0.655 kg
Dimensions23.6 × 15.7 × 2.3 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.