Zabidin Haji Ismail

Zabidin Haji Ismail atau nama penanya M Zaki Arif dilahirkan di Kampung Batu Masjid Temoh, Perak Darul Ridzuan. Mempunyai kelayakan akademik dalam Diploma Pentadbiran Awam (UiTM); Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Komunikasi dan Sains Politik (UKM); Sarjana Sastera (UM) dan Ph.D (UPSI). Beliau juga seorang penulis, editor, penyelidik sastera dan sejarah tempatan. Antara penulisan beliau termasuklah “Dikotomi Pemikiran” (Esei Kritikan, 2019); Sebuah Memoir Bersama Tamar Jalis (2019); “Salju Sarajevo” (Sajak, 2019); “Puigrafi” (Sajak Biografi, 2019); “Malam Salju di Istanbul” (Cerpen, 2019); Biografi Penulis Perak Jilid 1 & 2 (2020/2021); dan Sungai Manik Berdarah (DBP, 2021). Di samping menulis, beliau aktif dalam persatuan dan organisasi. Beliau ialah Presiden Persatuan Karyawan Perak, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Jalinan Rao (Rawa) Malaysia (JARO). Penerima anugerah ijazah kehormat Doktor Persuratan (Doctor of Literature, Litt.D.) daripada World Academy of Arts and Culture, California, Amerika Syarikat (2013), Anugerah Pejuang Sastera Darul Ridzuan (2014), Tokoh Budaya Perak (2015) dan Tokoh Maal Hijrah Daerah Batang Padang (2019).