Biografi Sasterawan Negara Keris Mas: Melepasi Gerhana memerihalkan latar kehidupan Keris Mas, meliputi riwayat hidupnya, pengalaman penting dalam hidup yang dilaluinya dan keterampilan Keris Mas sebagai tokoh sastera sama ada sebagai sasterawan mahupun sebagai birokrat sastera. Keris Mas antara tokoh penting, malah tokoh yang memimpin Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 yang mendukung kuat fahaman “Seni untuk Masyarakat”, dan turut memberi isi dan arah seperti terlihat dalam Memoranda ASAS 50 yang membentangkan cita-cita dan perjuangan pertubuhan itu. Semasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, cita-cita Keris Mas untuk memberikan seluruh perhatian kepada perkembangan sastera Melayu telah berhasil dengan tertubuhnya Bahagian Perkembangan Sastera pada tahun 1971, yang kemudian diperbesarkan menjadi Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera mulai tahun 1976.
Anugerah Pejuang Sastera yang membawa ganjaran wang tunai sebanyak RM10,000 berserta watikah telah dianugerahkan kepada beliau oleh Perdana Menteri pada 29 Mei 1976. Kerana kebolehan dan rasa tanggungjawabnya pada tugasan dan kesusasteraan, Keris Mas telah dilantik oleh Perdana Menteri menjadi Setiausaha Panel Hadiah Karya Sastera (1971-1976), dan pada tahun 1979 pula, beliau telah dipilih sebagai salah seorang Anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Panel Anugerah Sastera akhirnya telah bersetuju untuk memilihnya sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang pertama pada tahun 1981. Penyampaian anugerah ini telah berlangsung di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia, pada malam 26 April 1981 yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Reviews
There are no reviews yet