Ulama Patani: Ketokohan dan Keilmuan menyentuh pelbagai sudut kehidupan iaitu riwayat hidup, pemikiran, sumbangan dan penglibatan ulama dalam masyarakat di Patani. Antara tema-tema yang terpilih termasuklah pembentukan ulama Patani daripada perspektif sejarah; pengajian akidah, hadith dan tasawuf perundangan Islam; pemikiran, dakwah dan politik dan Bahasa dan kesusasteraan. Penulisan yang dimuatkan dalam buku ini dihasilkan dari sudut pandang peneliti yang banyak membuat kajian terhadap ulama Patani yang terdiri daripada peneliti Patani sendiri juga di luar Patani. Ulama merupakan kelompok penting dalam masyarakat. Mereka merupakan golongan yang dihormati dan disanjung tinggi lantaran ilmu yang dimiliki dan usaha bakti yang dicurahkan dalam melahirkan generasi berilmu dan beramal saleh. Kewujudan mereka telah mempengaruhi kehidupan sesebuah masyarakat itu. Ramai tokoh ulama besar lahir pada setiap zaman dalam sesebuah kelompok masyarakat, namun maklumat tentang diri, pemikiran dan peranan mereka itu tidak ditonjol dengan sewajarnya.
Hal ini akan memberi kesan kepada masyarakat dalam melahirkan generasi cemerlang pada masa akan datang. Pada dasarnya, pembentukan ulama Patani banyak dipengaruhi dan ditentukan melalui pendidikan yang dilalui, para guru yang banyak mengasuh dan kitab-kitab yang dipelajarinya. Buku ini tampil membicarakan secara khusus mengenai ketokohan ulama Patani yang menjadi sebahagian daripada ulama Alam Melayu. Usaha menghasilkan buku berkaitan ulama Melayu sesuatu yang sangat mencabar lantaran kekurangan bahan mengenainya diperoleh di samping banyak maklumat perlu ditapis lantaran status mereka ini sebagai golongan istimewa yang mewarisi tugas para anbia. Walaupun rantau Melayu menghasilkan sebilangan ulama yang masyhur dan menghasilkan kitab dalam pelbagai bidang ilmu, tetapi maklumat mengenai mereka masih langka. Hal ini akan lebih serius jika usaha menulis semula mengenai mereka ini tidak dilakukan. Buku ini berkait langsung dengan ulama Patani.
Anonymous (store manager) –
Anonymous (store manager) –