Pembangunan Wacana dan Wacana Pembangunan menghimpunkan tulisan penyelidik muda dalam bidang sains sosial yang menyambung wacana pembangunan dan seterusnya membangunkan wacana tersebut. Wacana pembangunan (development) adalah korpus ilmu yang dibangunkan sebagai reaksi balas terhadap wacana pertumbuhan (growth) yang pada suatu ketika mendominasi wacana dan dasar ekonomi, sosial serta politik di seluruh dunia. Wacana pembangunan mengambil posisi yang lebih menyeluruh dan progresif dalam mentakrifkan kemajuan berbanding wacana pertumbuhan yang banyak menumpukan kepada sisi ekonomi semata-mata. Akibat pertembungan wacana ini, maka berlakulah persaingan yang memerlukan bukan sahaja pengembangan wacana pembangunan tetapi juga pembangunan wacana itu sendiri bagi memastikan idea dan gagasan pembangunan yang menyeluruh ini terus disambung untuk dikembangkan. Membangunkan wacana dan wacana pembangunan adalah dua kegiatan yang berbeza, namun sangat berkait rapat. Pembangunan wacana merupakan tindakan aktif agensi dalam meluaskan dan memperdalam lagi perbahasan sesuatu tema perbincangan. Manakala wacana pembangunan adalah perbahasan mengenai sains pembangunan.
Oleh sebab sifat sains pembangunan yang luas, rentas dan pelbagai bidang maka hampir semua wacana memiliki perspektif sains pembangunan dalamnya. Pembangunan wacana ialah kerja intelektual aras tinggi (higher end of knowledge). Ia menyumbang kepada pembangunan idea, konsep, perspektif bahkan teori. Adakalanya pembangunan wacana itu menyumbang kepada penerobosan sempadan ilmu. Tanpa pembangunan wacana, kehidupan ilmu dan intelektual seakan-akan lesu serta sukar untuk berkembang jauh. Meskipun kenyataan ini kedengaran polos dan mudah, namun asas inilah yang sering menghambat perkembangan ilmu dalam kalangan komuniti ilmuwan dan juga institusi ilmu seperti universiti. Pembangunan wacana adalah sebahagian kegiatan akademik yang perlu untuk perkembangan sains sosial mandiri. Tugas pembangunan wacana dan wacana pembangunan tentulah tidak mudah kerana, jika tidak, sudah pasti akan dikerjakan oleh ramai orang. Oleh yang demikian, kehadiran karya ini boleh dipuji kerana menyanggupi tugasan yang sukar ini apatah lagi diusahakan pula oleh sekumpulan ahli sains sosial muda.
Reviews
There are no reviews yet