Biografi Sasterawan Negara Abdullah Hussain: Tukang Cerita Bergelar Pujangga menyusun secara kronologi kisah kehidupan Abdullah Hussain, selain daripada memasukkan beberapa perkara penting yang mungkin telah tercicir daripada siri autobiografi belia. Abdullah Hussain sendiri mengakui bahawa beliau menulis (bercerita) dalam siri autobiografi tersebut berdasarkan ingatannya, selain daripada merujuk beberapa catatan yang dilakukannya secara teliti bertahun-tahun lamanya. Walau bagaimanapun, terdapat peristiwa-peristiwa yang muncul dalam siri autobiografi tersebut yang tidak dicatat tahun berlakunya peristiwa itu. Malah, terdapat juga beberapa nama tokoh yang tidak lengkap atau perkara-perkara yang tidak diberi penjelasan secara teratur (menurut kronologi). Penceritaan tempoh masa peristiwa yang berlaku dalam siri autobiografi itu juga berakhir pada fasa-fasa tertentu. Misalnya, buku Sebuah Perjalanan (1984) yang menampilkan kisah hidup Abdullah Hussain, latar belakang keluarganya, zaman persekolahan serta alam pekerjaan ditulis sehingga penghujung tahun 1960, apabila beliau meninggalkan Singapura untuk kembali ke Malaysia (ketika itu Persekutuan Tanah Melayu). Bagi tiga buah siri autobiografi beliau pula, iaitu Perjalanan Mencari Bahasa (2001), Perjalanan Mencari Hikmah (2003) dan Perjalanan Mencari Diri (2004), kisah-kisah yang ditampilkan adalah berdasarkan topik atau peristiwa tertentu dan tidak menggunakan bentuk penulisan mengikut tahap latar usia dan turutan peristiwa seperti yang dilakukan dalam buku Sebuah Perjalanan.
Oleh yang demikian, buku biografi ini cuba menyusun bahan-bahan penting mengikut kronologi tahun dan topik-topik terpilih daripada empat siri biografi tersebut, selain turut mengambil rujukan-rujukan lain daripada bahar bahan para pengkaji yang pernah menulis tentang diri Abdullah Hussain serta karya-karya beliau. Oleh itu, terdapat tambahan-tambahan maklumat baharu dan pandangan berbeza daripada orang lain terhadap diri Abdullah Hussain yang diselitkan dalam buku biografi ini. Antara perkara penting yang dibicarakan sebagai salah satu topik dalam buku int ialah polemik novel Interlok (1971) karya beliau yang bukan sahaja menggemparkan dunia sastera tanah air, malah dijadikan isu-isu politik dan perkauman oleh pihak-pihak tertentu. Setelah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1971, novel pemenang hadiah sagu hati Sayembara Menulis Novel Sempena 10 Tahun Merdeka itu menjadi kontroversi yang melibatkan persoalan hubungan sesama kaum meskipun sudah 40 tahun novel tersebut berada dalam dunia kesusasteraan tanah air.
Reviews
There are no reviews yet